Kolaborasi Strategik Industri-Universiti Jana Endowmen RM80 Juta Untuk UMPSA
 
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut baik inisiatif strategik institusi pendidikan tinggi (IPT) dalam mempelbagaikan sumber penjanaan pendapatan demi kelestarian kewangan jangka panjang, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan Kerajaan.
Kejayaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengumpulkan dana Endowmen Terkumpul bernilai lebih RM80 juta melalui sumbangan strategik pihak industri, komuniti dan alumni disifatkan sebagai satu pencapaian yang wajar dicontohi.
Majlis Jamuan Teh Tuanku Canselor UMPSA bersama Industri yang berlangsung di ibu negara semalam telah diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pada majlis yang sama, Baginda Tuanku Canselor turut berkenan melancarkan Endowmen Tuanku Canselor yang bertujuan menyokong aktiviti pendidikan, penyelidikan serta kebajikan demi kecemerlangan universiti secara holistik.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir berkata, usaha UMPSA ini selari dengan hasrat KPT untuk melihat universiti awam membina jaringan kolaborasi berimpak tinggi dengan pihak industri bagi memacu agenda penyelidikan dan inovasi negara.
Dana endowmen ini merangkumi lima (5) teras utama iaitu Endowmen Kepengerusian, Penyelidikan, Biasiswa dan Kebajikan Pelajar, Komuniti serta Alumni yang setiap satunya menyumbang kepada ekosistem pendidikan tinggi yang mampan.
Antara sumbangan terbesar yang diterima termasuklah cek cura bernilai RM50 juta daripada Pahang Aerospace City (PACDB) dan Kintsugi (K2) bagi penubuhan Venture Studio pertama universiti yang memfokuskan kepada bidang kecerdasan buatan (AI) dan sistem autonomi.
Inisiatif ini turut diperkukuh dengan sumbangan bukan kewangan (in-kind) daripada Malaysia Rail Link (MRL) Sdn. Bhd. berupa landasan ECRL terpakai sepanjang 10 kilometer bernilai RM19 juta bagi pembangunan projek Electric Smart Light Rail Transit (eSLRT) di dalam kampus.
Kejayaan ini membuktikan keyakinan dan kepercayaan pihak industri terhadap kepakaran serta hala tuju UMPSA sebagai sebuah hab TVET Termaju yang mampu melahirkan graduan berdaya saing tinggi dan menyumbang kepada pembangunan teknologi untuk masyarakat.
Turut hadir, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak; Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor; Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar; dan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 592
 
        