PTPTN Sasar BMS 2025 Kumpul Deposit RM220 Juta

PTPTN Sasar BMS 2025 Kumpul Deposit RM220 Juta

Amalan menabung untuk pendidikan tinggi merupakan satu pelaburan jangka panjang yang amat penting bagi membina masa depan anak-anak dalam persekitaran kos pendidikan yang semakin meningkat.

Sehubungan itu, komitmen untuk memperkukuh budaya penabungan dalam kalangan masyarakat Malaysia terus diperkasa melalui Majlis Pelancaran Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025 yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim.

Majlis pelancaran peringkat nasional ini telah berlangsung di Pusat Beli-belah Central i-City di sini siang tadi.

Program bitara tahunan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dianjurkan sejak tahun 2018 ini bertujuan mempromosikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pilihan utama, sekali gus mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman pendidikan.

Mengangkat tema "Pengembaraan (Adventures)" dan mengekalkan cogan kata "Jom Jadi Superhero Anak Anda", inisiatif ini menyimbolkan kasih sayang serta tanggungjawab ibu bapa dalam menyediakan bekalan kewangan agar anak-anak lebih yakin mengejar impian pendidikan mereka.

Dalam ucapan perasmiannya, YBhg. Datuk Dr. Anesee menyatakan bahawa sehingga 31 Ogos 2025, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM22.31 bilion membabitkan 7.09 juta akaun, membuktikan keyakinan utuh para pendeposit terhadap produk simpanan itu.

Bagi kempen BMS 2025 yang berlangsung di seluruh negara, PTPTN telah menetapkan sasaran jumlah terimaan deposit sebanyak RM220 juta.

Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan sepanjang program berlangsung untuk menarik penyertaan orang ramai, antaranya ialah pertandingan Action Song, PTPTN E-sport Challenge, pertandingan mewarna dan lumba bayi merangkak.

Inisiatif PTPTN ini adalah selari dengan hasrat KPT dalam memperkukuh akses kepada pendidikan tinggi serta memastikan pembiayaan pendidikan yang mampan untuk pembangunan modal insan secara holistik.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Muhammad Khalid; Ketua Pegawai Kewangan PTPTN, Azhar Ahmad; serta rakan-rakan strategik BMS 2025. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 611
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 24 Oktober 2025, 04:17:19.

logo-sirim