KPT Serah Surat Tawaran IPT Kepada Bakal Mahasiswa Di Tempat Kerja

KPT Serah Surat Tawaran IPT Kepada Bakal Mahasiswa Di Tempat Kerja

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud mengambil inisiatif proaktif yang unik, iaitu menyerahkan sendiri surat tawaran kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) terus ke lokasi berkerja kepada bakal mahasiswa.

Pendekatan 'turun padang' ini adalah cerminan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memastikan akses pendidikan tinggi yang menyeluruh dan mempermudahkan urusan semua lapisan masyarakat.

Program santunan istimewa ini bertujuan menyantuni mereka yang mempunyai kekangan masa untuk hadir ke pusat-pusat pendaftaran atau menghadapi kesukaran lain, terutamanya bagi mereka yang sudah mula bekerja selepas tamat persekolahan. Ini membuktikan bahawa KPT sentiasa dekat dengan rakyat dan memahami cabaran yang dihadapi oleh golongan muda yang bersemangat untuk menyambung pengajian.

Inisiatif penyerahan di lokasi kerja ini bukan sekadar proses menghantar dokumen. Ia membawa mesej jelas bahawa kerajaan melalui KPT, mengiktiraf dan menghargai kesungguhan serta pengorbanan anak-anak muda ini yang memilih untuk bekerja sambil mengejar cita-cita akademik mereka.

Terdahulu, YB Timbalan Menteri berkesempatan menyerahkan surat tawaran kepada enam (6) orang bakal mahasiswa, bukan sahaja ke rumah mereka malahan turut menjejaki bakal mahasiswa tersebut ke lokasi mereka yang masih terikat dengan komitmen kerja harian.

YB Timbalan Menteri berkata, inisiatif turun padang menjejaki bakal mahasiswa ke rumah-rumah telah digerakkan oleh universiti awam di seluruh negara untuk mencari dan membantu golongan B40 yang dikenal pasti kerana kita tidak mahu ada yang mendapat surat tawaran tetapi ibu bapa mereka tidak mendapat maklumat dan menyebabkan ada yang tercicir selain menghadapi masalah kewangan.

Pada program tersebut, YB Datuk Ts. Mustapha menyampaikan surat tawaran kemasukan ke universiti selain turut menyerahkan sumbangan Yayasan Perkasa Siswa berjumlah RM1,000 serta bantuan tambahan daripada Parlimen bagi memudahkan urusan pendaftaran pelajar terbabit.

“Kita mahu memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa akses ke universiti kini lebih mudah. Masuk dahulu, jangan bimbang tentang yuran. Pihak kementerian bersama agensi dan yayasan akan membantu menyediakan kemudahan pembiayaan,” jelas beliau.

Untuk rekod, KPT telah mengarahkan semua universiti awam untuk menangguhkan bayaran yuran pendaftaran. Pelajar boleh mendaftar dahulu, dan urusan bayaran hanya perlu diselesaikan selepas memperolehi pembiayaan.

Hadir sama, Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah, Prof. Madya Dr. Rozita @ Uji Mohammed; Penolong Pendaftar Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Mohamad Jamal Atong dan pegawai-pegawai dari kementerian. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 907
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 24 Oktober 2025, 04:17:19.

logo-sirim