Kejohanan 19th Malaysia FIRA Cup 2026: Politeknik Port Dickson Dinobat Juara Keseluruhan

11 Jun 2026 | Kelantan
Penguasaan teknologi pintar, automasi dan kecerdasan buatan (AI) merupakan pemacu kritikal dalam mentransformasikan Malaysia daripada sekadar pengguna kepada pencipta teknologi robotik tempatan yang berdaya saing dan mandiri selaras dengan Pelan Hala Tuju Robotik Kebangsaan 2021-2030 (NRR).
Komitmen strategik tersebut ditegaskan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Kejohanan 19th Malaysia Federation of International Robot-sports Association (FIRA) Cup 2026 siang tadi.
Dalam majlis itu, Politeknik Port Dickson (PPD) telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan selepas mempamerkan kecemerlangan dalam pelbagai kategori pertandingan berteraskan teknologi pintar dan inovasi robotik.
Beliau menyifatkan kejayaan para pemenang serta komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh seluruh peserta sebagai bukti bahawa modal insan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara memiliki daya saing tinggi untuk mendepani tuntutan ekonomi digital serta Revolusi Perindustrian Keempat.
Kejohanan bertemakan ""Robotik Mencetus Penyelesaian Masa Hadapan (Robotics Igniting Future Solutions" itu berjaya menghimpunkan 1,465 peserta daripada pelbagai peringkat institusi pendidikan dari dalam dan luar negara, sekali gus membuktikan peningkatan minat generasi muda terhadap bidang robotik dan teknologi masa hadapan.
Penganjuran edisi ke-19 ini turut menyaksikan penyertaan 41 kontinjen tempatan serta satu kontinjen antarabangsa daripada Politeknik Negeri Batam, Indonesia, menjadikan kejohanan tersebut sebagai platform penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama pendidikan teknikal dan perkongsian kepakaran rentas sempadan.
Pelbagai kategori pertandingan yang dipertandingkan, termasuk melibatkan teknologi robot humanoid, robot sukan dan penyelesaian berasaskan automasi, mencerminkan kesungguhan KPT dalam membudayakan pembelajaran berteraskan pendidikan STEM dan TVET berimpak tinggi, selari dengan aspirasi "Reformasi POLYCC Memacu Lonjakan TVET Negara".
Sehubungan itu, KPT menyeru agar jaringan strategik Triple Helix yang melibatkan kerajaan, akademia dan industri terus diperkasakan bagi memastikan hasil penyelidikan serta produk reka cipta pelajar bukan sahaja berjaya di peringkat pertandingan, malah berpotensi dikomersialkan demi manfaat masyarakat dan pembangunan ekonomi negara.
Dalam masa yang sama, kejayaan menganjurkan kejohanan berskala besar ini turut memperkukuh keyakinan terhadap keupayaan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang kini sedang dalam proses membida penganjuran 32nd FIRA RoboWorld Cup and Summit 2027 di Kanada pada Julai ini, sekali gus membuka peluang untuk Malaysia terus menyerlah sebagai hab pembangunan bakat robotik di peringkat antarabangsa.
KPT akan terus komited mengangkat TVET sebagai laluan pendidikan utama yang progresif dan dinamik dalam melahirkan generasi pencetus perubahan serta arkitek dunia baharu yang berteraskan inovasi, kreativiti dan teknologi canggih.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Pengarah Kanan (Akademik) JPPKK merangkap Presiden FIRA Malaysia Chapter, Dr. Mohd Daud Isa; Pengarah Politeknik Kota Bharu, Ts. Hj. Mohd. Hisham Makhtar; serta pegawai-pegawai kanan JPPKK.
- Last updated on .
- Hits: 73
