KSU KPT Puji Kecemerlangan Kolej Komuniti Kok Lanas, Kekal 100 Peratus Kebolehpasaran Graduan

11 Jun 2026 | Kota Bharu, Kelantan
Pemerkasaan agenda Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) terus menjadi teras strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, berdaya tahan serta memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan industri negara.
Komitmen tersebut dizahirkan menerusi lawatan kerja rasmi Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim ke Kolej Komuniti Kok Lanas (KKKL), Kelantan pada petang tadi bagi meninjau pencapaian pengurusan institusi serta memperkukuh pelaksanaan agenda TVET dan PSH di peringkat akar umbi.
Dalam lawatan berkenaan, beliau menzahirkan penghargaan terhadap prestasi cemerlang KKKL yang berjaya mengekalkan kadar kebolehpasaran graduan pada tahap 100 peratus, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan pendidikan berteraskan industri yang diterapkan oleh institusi tersebut.
Pencapaian itu turut disokong oleh peningkatan enrolmen pelajar dalam beberapa program berimpak tinggi seperti Sijil Multimedia Kreatif Pengiklanan, Sijil Dandanan Rambut serta Sijil Terapi Kecantikan dan Spa yang terus mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.
Bagi memastikan penyampaian pendidikan dan latihan kekal relevan dengan perkembangan teknologi serta kehendak industri, KPT telah meluluskan peruntukan berjumlah RM579,050 bagi pelaksanaan fasa pertama penggantian peralatan usang dan perolehan perkakasan akademik baharu.
Peruntukan tersebut melibatkan pemantapan kemudahan pembelajaran termasuk penaiktarafan prasarana makmal digital dan studio pengajian, sekali gus menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif serta menyokong penghasilan graduan yang kompeten.
Dalam pada itu, aspek pengurusan sumber manusia turut diberikan perhatian melalui penekanan terhadap keperluan mengisi baki kekosongan jawatan akademik bagi memastikan kelangsungan penyampaian perkhidmatan pendidikan yang berkualiti dan berimpak tinggi.
Keupayaan KKKL mengekalkan skor 100 peratus bagi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) selama tiga tahun berturut-turut, di samping pengiktirafan sebagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) Cemerlang dalam pengurusan bayaran, mencerminkan tahap tadbir urus organisasi yang cekap, berintegriti dan berakauntabiliti.
Pada masa yang sama, YBhg. Datuk KSU turut menyarankan agar jalinan kerjasama strategik bersama komuniti melalui inisiatif PSH terus diperkasakan, termasuk peluasan program berasaskan kemahiran seperti Kursus Asas Pendawaian yang dilaksanakan di Pondok Tahfiz Al Manar.
Menurut beliau, pendekatan pendidikan yang inklusif dan responsif terhadap keperluan masyarakat bukan sahaja mampu mendemokrasikan akses kepada pendidikan kemahiran, malah berpotensi meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti setempat menerusi pemerkasaan aspek kebolehpasaran, keusahawanan dan pembelajaran sepanjang hayat (PSH).
Turut hadir, Pengarah Kanan (Akademik) JPPKK merangkap Presiden FIRA Malaysia Chapter, Dr. Mohd Daud Isa Pengarah Kolej Komuniti Kok Lanas, Mohd Nizat Abd. Kadir; serta warganya.
- Last updated on .
- Hits: 92
