Kunjungan Hormat Perpisahan ke Atas YB Menteri Pendidikan Tinggi Oleh Duta Besar Oman ke Malaysia

11 Jun 2026 | Putrajaya
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Duta Besar Oman ke Malaysia, TYT Sheikh Al Abbas Ibrahim Hamed Al Harthi pada pagi ini. Kunjungan ini diadakan bersempena dengan berakhirnya tempoh perkhidmatan beliau di Malaysia pada hujung Julai 2026.
YB Menteri menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada TYT Duta Besar atas komitmen cemerlang beliau sepanjang sembilan (9) tahun berkhidmat dalam memperkukuh hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara.
Dalam pertemuan ini, kedua-dua pihak berbincang mengenai usaha memperluas agenda pendidikan tinggi menerusi pengukuhan program mobiliti pelajar serta rancangan pertukaran pensyarah dan pakar akademik. Langkah ini bakal memacu perkongsian kepakaran dan menyuburkan lagi ekosistem intelektual antara institusi pendidikan di Malaysia dan Kesultanan Oman.
Bagi menyokong agenda tersebut, Malaysia komited untuk terus mempermudah urusan kemasukan pelajar antarabangsa melalui pelbagai inisiatif strategik bagi meningkatkan daya tarikan negara sebagai hab pendidikan global. Ini termasuklah usaha berterusan dalam menambah baik proses dokumentasi serta penyediaan kemudahan sokongan seperti laluan khas di lapangan terbang antarabangsa demi keselesaan dan kelancaran ketibaan pelajar.
Selain daripada kerjasama akademik, YB Menteri turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan Kesultanan Oman sebagai mediator dalam mendepani pergolakan dan konflik geopolitik semasa. Malaysia menaruh harapan tinggi agar situasi global dan wilayah yang terkesan akan kembali pulih serta mencapai keamanan yang mampan.
- Last updated on .
- Hits: 70
