KDYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong Berkenan Rasmikan Masjid UPNM Sultan Ibrahim

KDYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong Berkenan Rasmikan Masjid UPNM Sultan Ibrahim

4 Mac 2026 | Sungei Besi, Kuala Lumpur

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan bercemar duli menyempurnakan pemasyhuran Masjid UPNM Sultan Ibrahim di sini semalam.

Keberangkatan tiba KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong di kampus Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah disambut penuh takzim oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir serta Menteri Pertahanan, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin.

Kewujudan institusi masjid di kampus tersebut secara langsung memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara dengan mengimbangi pencapaian keunggulan intelektual, latihan ketenteraan yang mampan, dan utuhnya pembinaan spiritual mahasiswa.

Mengimbau proses pelaksanaannya, pusat ibadah yang menampilkan seni bina Islamik moden itu telah mula dibina pada Mei 2022 dan berjaya disiapkan sepenuhnya pada Jun 2024.

Pembangunan fasiliti kerohanian yang menelan kos dianggarkan bernilai RM16 juta itu merupakan hasil sumbangan dana secara langsung daripada tokoh korporat merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah UPNM, Tan Sri (Dr.) Syed Azman Syed Ibrahim.

Dibangunkan di atas tapak seluas dua (2) ekar dengan keluasan lantai mencecah 3,760 meter persegi, masjid tersebut direka khusus bagi menawarkan keselesaan serta mampu menampung kapasiti sehingga 3,500 jemaah secara serentak.

Penggunaan nama KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dipersembahkan sebagai satu bentuk pengiktirafan tertinggi yang selaras dengan kedudukan baginda selaku Ketua Agama Islam, di samping menyanjung keteguhan prinsip serta wawasan jauh baginda.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Haji Malek Razak Sulaiman; Pro-Canselor UPNM, Laksamana Tan Sri Dato' Setia (Dr.) Mohd Anwar Hj Mohd Nor (Bersara); Pengerusi Lembaga Pengarah UPNM, Tan Sri (Dr.) Syed Azman Syed Ibrahim; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; serta Naib Canselor UPNM, Lt. Jen. Datuk Wira Arman Rumaizi Hj Ahmad. 

  • Last updated on .
  • Hits: 200
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 11 Mac 2026, 09:02:26.

logo-sirim