Tuan Yang Terutama Tun Musa Rasmi Masjid UMS Sandakan, 'Jom Infak' Dilancar

Tuan Yang Terutama Tun Musa Rasmi Masjid UMS Sandakan, 'Jom Infak' Dilancar

4 Mac 2026 | Sandakan, Sabah

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melakar satu lagi sejarah penting apabila Masjid UMS Sandakan dirasmikan dalam satu majlis penuh bermakna yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah merangkap Canselor UMS, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman semalam.

Majlis yang berlangsung bersempena 13 Ramadan 1447H itu turut diisi dengan Iftar Perdana UMS 2026 yang menghimpunkan warga universiti dan komuniti setempat dalam suasana penuh keberkatan.

Ketibaan Tuan Yang Terutama Tun disambut oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Dr. Haji Megat Sani Megat Ahmad Supian mewakili Menteri Pendidikan Tinggi dan barisan kepimpinan universiti serta kerajaan negeri termasuk Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abd Rahman Dahlan dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Haji Mansor.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMS dalam ucapan aluannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian Tuan Yang Terutama Tun berangkat menyempurnakan perasmian masjid yang menjadi mercu tanda baharu Hab Pendidikan Batu 10, Sandakan. Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana hasrat membangunkan sebuah institusi ibadah yang inklusif dan berfungsi sebagai pusat penyatuan ummah akhirnya direalisasikan.

Terdahulu, projek masjid UMS Sandakan telah dimulakan dengan majlis pecah tanah pada 2 Januari 2022 dan mula dibina secara rasmi pada 11 Januari 2023. Dengan kos hampir RM5 juta, pembinaannya mencerminkan komitmen berterusan antara KPT dan UMS dalam memperkasa kemudahan prasarana pendidikan tinggi yang holistik, merangkumi aspek akademik dan pembangunan sahsiah.

Masjid yang mampu menampung sehingga 1,000 jemaah pada satu-satu masa ini turut dilihat sebagai pelengkap kepada pembangunan Pusat Islam Sandakan di Kampung Sungai Kayu. Kewujudannya membuka ruang kerjasama strategik antara universiti dan kerajaan negeri dalam aspek perkongsian ilmu, pemindahan kepakaran, penyelidikan serta khidmat sosial demi manfaat masyarakat sekitar.

Majlis turut menyaksikan lafaz perasmian dan simbolik penandatanganan plak oleh Tuan Yang Terutama Tun sebagai tanda rasmi pembukaan Masjid UMS Sandakan. Dalam majlis sama, turut diadakan pelancaran inisiatif 'Jom Infak' Tabung Masjid UMS Sandakan serta penyampaian sumbangan zakat kepada kakitangan UMS terpilih yang mencerminkan keprihatinan universiti terhadap kebajikan warganya.

UMS melalui Pusat Islamnya telah dilantik sebagai Ejen Pungutan dan Agihan Zakat bagi Majlis Ugama Islam Sabah. Pelantikan ini memberi impak signifikan kepada kebajikan pelajar dan kakitangan melalui pelbagai bentuk bantuan termasuk elaun sara hidup, bantuan yuran pengajian serta sumbangan Ramadan dan Aidilfitri.

Majlis pada petang tersebut diakhiri dengan tazkirah Ramadan, majlis berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah serta rakaman takbir raya, sekali gus menyemarakkan semangat Ramadan dalam kalangan warga universiti dan komuniti setempat. Perasmian Masjid UMS Sandakan ini diharap menjadi pemangkin kepada pengukuhan syiar Islam serta mempererat hubungan antara universiti, kerajaan negeri dan masyarakat sekitar Sandakan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri N.51 Sungai Manila, YB Hazem Mubarak Tun Musa; Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Walter Kenson; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Awang Juri Ag Tahir; Pegawai-pegawai Utama Kerajaan Negeri dan Persekutuan; Ahli-ahli Lembaga Pengarah UMS; Pegawai-pegawai Utama dan Kanan UMS; Pemimpin-pemimpin Setempat, Warga UMS; serta komuniti berhampiran. 

  • Last updated on .
  • Hits: 132
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 09 Mac 2026, 04:59:26.

logo-sirim