Inisiatif Celik MADANI ASNB: KPT dan PNB Sasar Sejuta Mahasiswa Melabur Menjelang 2030

Inisiatif Celik MADANI ASNB: KPT dan PNB Sasar Sejuta Mahasiswa Melabur Menjelang 2030

13 April 2026 | Kuala Lumpur

Pembangunan modal insan yang holistik menerusi penguasaan literasi kewangan menjadi teras utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam membina generasi MADANI yang bijak mengurus ekonomi masa hadapan.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir menekankan bahawa amalan menabung perlu diterapkan bermula dari kampus bagi memastikan kestabilan kewangan mahasiswa sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Beliau menyatakan demikian sewaktu merasmikan Majlis Pencapaian dan Hala Tuju Celik MADANI yang berlangsung di mercu tanda negara, Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur pada siang tadi.

Inisiatif strategik hasil kerjasama KPT dan Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) tersebut menetapkan sasaran penyertaan seramai 1 juta pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) menjelang tahun 2030.

YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry memaklumkan bahawa setakat Disember 2025, program tersebut telah mencatatkan pencapaian memberangsangkan dengan penyertaan 200,000 pelajar yang menepati sasaran tahunan ditetapkan.

Kerajaan memperuntukkan dana pelaburan berjumlah RM50 juta bagi membolehkan mahasiswa menerima pelaburan awal RM50 dalam bentuk unit saham Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Amanah Saham Malaysia (ASM) sebagai pemula pelaburan mereka.

Program tersebut mendapat sokongan padu KPT bagi memastikan graduan yang dilahirkan bukan sahaja cemerlang akademik malah bebas daripada belenggu isu insolvensi serta bijak mengurus aset.

Pelaksanaan hala tuju program bagi fasa 2026 hingga 2030 akan memberikan tumpuan khusus kepada pembentukan "Generasi Labur" yang berdaya tahan serta berpengetahuan luas.

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dinobatkan sebagai juara kategori ijazah keseluruhan diikuti Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta Universiti Sains Malaysia (USM), manakala kategori ijazah tahun pertama dimenangi oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diikuti Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan PNB, YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda; Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Dato’ Abdul Rahman Ahmad; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman; Timbalan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Dato’ Rick Ramli; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Muzzaffar Hisam; dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa, Hirman Awang. 

  • Last updated on .
  • Hits: 423
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 24 April 2026, 08:22:27.

logo-sirim