Anugerah TVET STAR POLYCC 2025: Platform Martabatkan Ikon Bakat TVET Negara

Anugerah TVET STAR POLYCC 2025: Platform Martabatkan Ikon Bakat TVET Negara

14 April 2026 | Kuala Lumpur

Kecemerlangan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini menjadi penanda aras utama dalam mencorak masa depan Malaysia yang lebih gemilang melalui penguasaan kemahiran dan sahsiah yang unggul.

Program Talent Assembly in Education and Training 2026 (TALENT’26) yang bertemakan 'Shaping the Future' menjadi manifestasi transformasi radikal Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam melahirkan ikon pelajar yang berdaya saing dan berimpak tinggi.

Teks ucapan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, telah dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim, pada majlis kemuncak Anugerah TVET STAR POLYCC 2025 di ibu negara semalam.

Penganjuran anugerah tersebut bertujuan untuk menghargai pencapaian holistik pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah menyerlah dalam aspek kepimpinan, inovasi, serta pembangunan kendiri.

Sebanyak 10 kategori utama telah dipertandingkan bagi menilai bakat pelajar secara menyeluruh merangkumi Kategori Kepimpinan, Kokurikulum, Kebudayaan dan Warisan, Orator, Kesukarelawanan, Keusahawanan, Sukan, Inovasi, Kemahiran, dan Kategori Inklusif.

Kemuncak majlis menyaksikan pelajar Politeknik Ibrahim Sultan yang juga pemegang rekod 400 meter kebangsaan, Umar Osman, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Utama TVET STAR POLYCC Menteri Pendidikan Tinggi hasil prestasi luar biasa beliau.

Selain itu, Anugerah Khas TVET STAR POLYCC Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti pula dirangkul oleh Muhammad Danish Danial Hairi dari Politeknik Nilai serta Muhammad Akmal bin Mohd Rashdan dari Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Penganjuran tersebut membuktikan bahawa institusi POLYCC kini menjadi pilihan utama dalam melahirkan tenaga kerja masa hadapan yang memiliki ketangkasan dan keberanian untuk berubah mendepani cabaran global.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; serta Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah. 

  • Last updated on .
  • Hits: 449
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 24 April 2026, 08:22:27.

logo-sirim