Datuk Dr. KSU Pengerusikan Mesyuarat JKPA Suku Pertama Tahun 2026, Lawat IPTA di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh

14 April 2026 | Pagoh, Johor
Kelestarian tadbir urus kewangan yang mantap secara berkala menjadi tunjang utama dalam memastikan agenda pendidikan tinggi negara dapat dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti.
Justeru itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun (JPKA) Suku Pertama Tahun 2026 sebagai platform penilaian prestasi fiskal semasa serta tahun ke hadapan Kementerian.
Mesyuarat yang berlangsung di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) siang tadi telah dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim.
Dalam perutusan pembukaannya, YBhg. Datuk Dr. Anesee menekankan bahawa disiplin kewangan adalah elemen yang tidak boleh dikompromi bagi mencapai kecemerlangan organisasi dan memastikan tiada ketirisan berlaku.
Seterusnya, YBhg. Datuk Dr. KSU telah turut dibawa melawat ke tiga (3) buah institusi utama di kawasan hab tersebut iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Politeknik Tun Syed Nasir (PTSN).
Lawatan itu bertujuan untuk meninjau secara dekat keadaan infrastruktur akademik, kemudahan gunasama, serta perkembangan projek-projek fizikal yang dibiayai oleh kementerian.
YBhg. Datuk Dr. Anesee turut mengambil kesempatan untuk melawat Poliklinik Primer Sejahtera bagi memastikan aspek kebajikan dan kesihatan warga hab pendidikan tersebut sentiasa diberikan keutamaan.
Melalui lawatan itu, Kementerian dapat mengenal pasti keperluan mendesak di peringkat institusi bagi tujuan penyelarasan peruntukan yang lebih efisien pada masa hadapan.
KPT akan terus komited melaksanakan pemantauan berkala seperti ini bagi memastikan ekosistem pendidikan tinggi negara kekal dinamik serta kondusif untuk semua pihak.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah serta barisan pengurusan tertinggi Kementerian.
- Last updated on .
- Hits: 330
