Program Revitalisasi Pengurusan Tertinggi KPT 2026 Perkukuh Kesepakatan dan Kesejahteraan Kepimpinan

Program Revitalisasi Pengurusan Tertinggi KPT 2026 Perkukuh Kesepakatan dan Kesejahteraan Kepimpinan

12 April 2026 | Kuala Tahan, Pahang

Program Revitalisasi Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Tahun 2026 telah berlangsung dari 9 hingga 12 April 2026 di Mutiara Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang, dengan penyertaan barisan pengurusan tertinggi kementerian.

Program anjuran Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) KPT dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ini bertujuan meningkatkan kesejahteraan fizikal dalam kalangan peserta, di samping memperbaharui motivasi, semangat dan iltizam dalam melaksanakan tanggungjawab kepimpinan.

Selain itu, program ini turut memberi penekanan kepada pengukuhan hubungan silaturahim, kerjasama serta semangat kebersamaan melalui pelbagai aktiviti berimpak tinggi yang dirangka secara strategik.

Peserta berpeluang menyertai lawatan bot ke beberapa lokasi menarik di Taman Negara seperti Lata Berkoh yang terkenal dengan keindahan air terjunnya, serta Kelah Sanctuary (Lubuk Tenur) yang menawarkan pengalaman interaktif memberi makan ikan kelah, spesies yang dilindungi dan dikenali sebagai “Raja Sungai”.

Turut diadakan ialah lawatan ke perkampungan Orang Asli Batiq yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai cara hidup masyarakat tersebut, termasuk demonstrasi menyalakan api dan penggunaan sumpit sebagai kemahiran tradisional.

Bagi memperkukuh kesepakatan dan keupayaan bekerja secara berpasukan, peserta turut terlibat dalam aktiviti berkumpulan yang menekankan elemen komunikasi berkesan, kepercayaan serta kolaborasi strategik dalam kalangan pengurusan tertinggi.

Pendekatan bersepadu melalui aktiviti fizikal dan kolaboratif ini dilihat berupaya memperkasa kepimpinan yang lebih dinamik, seimbang dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran semasa.

Menurut Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim, program ini secara keseluruhannya berjaya mencapai objektif penganjuran dengan menyemai nilai kepimpinan holistik melalui penghayatan alam semula jadi yang berusia lebih 130 juta tahun, sekali gus menjadikannya pengalaman yang bermakna dan berimpak tinggi kepada semua peserta.

Selain pengurusan tertinggi KPT, program ini turut melibatkan Ketua-Ketua Jabatan/ Agensi di bawah KPT serta pengurusan tertinggi UMPSA. 

  • Last updated on .
  • Hits: 228
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 24 April 2026, 08:22:27.

logo-sirim