iFUTURE 2025: YAB Perdana Menteri Tekankan Aspek Ilmu, Nilai Dan Keadilan Sebagai Teras Pembinaan Malaysia MADANI
Pendidikan tinggi negara perlu menjadi wahana utama dalam membina masyarakat berilmu, berakhlak dan berdaya saing bagi memperkukuh gagasan Malaysia MADANI, kata Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kejayaan sistem pendidikan tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi melalui keupayaan universiti melahirkan pelajar yang berfikir secara bebas, kreatif dan kritikal dalam mencari kebenaran serta menegakkan keadilan.
“Tanda kejayaan sistem pendidikan ialah kesediaan membuka ruang berbicara secara terbuka, kreatif dan kritis,” katanya dalam sesi 'In Conversation with Prime Minister' sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) siang tadi.
Terdahulu, YAB Perdana Menteri menzahirkan penghargaan kepada KPT atas inisiatif menganjurkan platform wacana berimpak tinggi itu yang memberi ruang kepada pemimpin muda dalam kalangan pelajar tempatan dan antarabangsa untuk bertukar pandangan mengenai masa depan pendidikan, teknologi dan kemanusiaan sejagat.
Tegasnya, Kerajaan mengekalkan sektor pendidikan sebagai penerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2026, selaras dengan komitmen menjadikan ilmu dan pembangunan modal insan sebagai teras kemajuan negara.
“Keamanan dan kestabilan rantau ASEAN membolehkan kita menumpukan kepada agenda ilmu dan kemanusiaan. Jika negara berhadapan konflik seperti di Timur Tengah, bajet pastinya perlu dialih kepada pertahanan,” katanya.
Menjawab pertanyaan pelajar mengenai hubungan Malaysia–Indonesia, YAB Perdana Menteri menegaskan pentingnya generasi muda memperkukuh semangat serumpun yang berasaskan sejarah, bahasa dan budaya bersama.
“Perbezaan tidak seharusnya menimbulkan permusuhan. Yang perlu kita lawan ialah kejahilan, bukan perbezaan,” katanya sambil menegaskan bahawa sikap prejudis antara masyarakat hanya lahir daripada kejahilan terhadap budaya sesama jiran serantau.
Dalam konteks pembangunan teknologi, YAB Perdana Menteri menegaskan bahawa kecerdasan buatan (AI) perlu dibangunkan berasaskan nilai kemanusiaan agar tidak mencipta jurang digital baharu antara bandar dan luar bandar.
“AI mesti berkhidmat untuk kemanusiaan dari perspektif manusia sejagat, bukan semata-mata dari perspektif Barat,” katanya sambil menambah bahawa kandungan dan algoritma teknologi perlu berpaksikan nilai budaya, agama dan etika.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap potensi Negeri Sarawak sebagai hab tenaga dan inovasi AI negara melalui kekuatan sumber hidroelektrik serta pembangunan tenaga hijau yang menyokong agenda digital dan kelestarian nasional.
Dalam aspek ekonomi, YAB Perdana Menteri menjelaskan bahawa kerajaan menambah hasil melalui tadbir urus berintegriti dan pembanterasan rasuah, membolehkan peruntukan pendidikan, kesihatan dan infrastruktur dipertingkat tanpa menaikkan cukai.
Beliau turut mengumumkan pelaksanaan pendidikan percuma secara berperingkat bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah mulai tahun hadapan, selain memperluas latihan TVET dan keusahawanan untuk memperkasa golongan belia menghadapi cabaran ekonomi baharu, sebagaimana pembentangan Belanjawan 2025 minggu lalu.
Dalam isu kemanusiaan sejagat, YAB Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia kekal lantang mempertahankan hak rakyat Palestin dan semua masyarakat tertindas atas dasar maruah manusia sejagat.
“Kita bangsa kecil tetapi berjiwa besar. Kita tidak boleh berdiam diri terhadap penindasan di mana-mana,” katanya sambil menyeru mahasiswa menjadi pembawa obor keadilan dan kemanusiaan sejagat berasaskan nilai Malaysia MADANI.
Program iFuture 2025 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi menjadi platform berimpak tinggi yang menghubungkan kepimpinan negara dengan mahasiswa universiti awam dan antarabangsa bagi memperkukuh hala tuju pendidikan tinggi negara.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Ts. Datuk Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; serta Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 209