Masa Depan Kerjaya AI Dan Kesejahteraan Digital Jadi Tumpuan Hari Kedua iFUTURE 2025
Usai Forum Menteri, Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur yang memasuki hari kedua hari ini diteruskan dengan forum bertajuk “Masa Depan Kerjaya AI dan Ketersediaan Belia (AI Future Jobs and Youth Readiness)”.
Forum berkenaan dikendalikan oleh Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd Shafri Mohd Rahim yang membincangkan bagaimana kecerdasan buatan (AI) sedang mengubah pasaran kerja, sekali gus mewujudkan jurang antara kemahiran sedia ada dengan keperluan industri masa depan.
Menampilkan Naib Presiden Kanan Operasi Global Western Digital, Dr. Chandra Anamirtham, serta Pengarah Eksekutif YTL AI Labs, Yeoh Pei Lou, sebagai ahli panel, forum itu menekankan keperluan belia meningkatkan kecekapan teknikal, mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat, serta menguasai kemahiran insaniah seperti pemikiran kritis dan kreativiti bagi menghadapi cabaran pasaran kerja moden.
Pada sebelah petang, dua sesi selari turut diadakan; Timbalan Pengarah Institute Kajian Masa Depan Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), C. Scott Jordan, membincangkan topik “Suara Masa Depan dan Ketersediaan (Voice for Future World and Readiness)” yang menekankan kepentingan memberi peluang kepada belia untuk menyuarakan pandangan serta terlibat secara aktif dalam membentuk masa depan yang mereka inginkan, bukan sekadar menjadi penerima perubahan.
Beliau menegaskan bahawa kesediaan menghadapi masa depan bukan hanya melibatkan kemahiran pekerjaan semata-mata, tetapi juga keupayaan berfikir secara kritis, menjangka perubahan serta menyesuaikan diri dalam dunia yang penuh ketidakpastian.
Dalam sesi selari kedua bertajuk “Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Digital (Mental Health and Digital Wellbeing)”, perbincangan menyorot kepentingan belia mengurus penggunaan teknologi secara sihat dan seimbang bagi memelihara kestabilan emosi serta keyakinan diri.
Sesi itu menampilkan Naib Presiden merangkap Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Penyelidikan) Open University Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mohd Tajuddin Md Ninggal, dan Miss World Malaysia 2024, Saroop Roshi, dengan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, sebagai hos.
Para panel turut mengupas bagaimana kehidupan digital, khususnya media sosial, memberi kesan besar terhadap kesihatan mental golongan muda, termasuk tekanan untuk kelihatan sempurna, perasaan cemas akibat perbandingan sosial serta risiko ketagihan gajet.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, bersama Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim, dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, turut menyertai kesemua sesi yang diadakan, selain melawat reruai pameran Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sambil beramah mesra dengan para peserta.
Penganjuran iFUTURE 2025 selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyediakan platform wacana bertaraf antarabangsa yang membolehkan pemimpin mahasiswa berdialog secara langsung dengan kepimpinan negara mengenai isu-isu strategik yang bakal membentuk masa depan mereka.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 530