Forum Menteri iFUTURE 2025 Kupas Kesan AI Terhadap Tenaga Kerja Masa Depan
Pada hari kedua Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pagi tadi, telah berlangsungnya sesi Forum Menteri bertajuk Impak Kecerdasan Buatan kepada Tenaga Kerja Masa Hadapan (The Impact of Artificial Intelligence on the Future Workforce".
Sesi forum tersebut menampilkan Menteri Digital, YB Tuan Gobind Singh Deo dan Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil sebagai ahli panel bagi mengupas isu ini secara mendalam dari perspektif dasar dan pelaksanaan kerajaan.
Forum yang dikendalikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Azman Hj Mokhtar itu dihadiri oleh seramai 800 pemimpin mahasiswa dari seluruh negara serta 50 negara lain.
YB Tuan Gobind Singh Deo dalam ucapannya menekankan kepentingan membina sebuah ekosistem digital yang holistik merangkumi infrastruktur, data, dan kerangka tadbir urus amanah bagi merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara AI menjelang 2030.
Beliau turut menyeru semua pihak untuk memulakan perbincangan, bersikap realistik, dan bekerjasama secara menyeluruh atau ‘whole-of-nation’ bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam gelombang teknologi baharu ini.
Sementara itu, YB Datuk Fahmi Fadzil menggariskan bahawa di sebalik kemajuan teknologi AI, elemen insani seperti kreativiti, pemikiran kritis, dan keupayaan untuk menyoal adalah kemahiran yang tidak boleh diganti dan perlu terus dipupuk dalam kalangan generasi muda.
Beliau menasihatkan para pemimpin mahasiswa untuk mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat dengan sentiasa bersedia untuk belajar, menyah-belajar, dan mempelajari semula (learn, unlearn, and relearn) bagi menyesuaikan diri dengan landskap pekerjaan yang sentiasa berubah.
Sehubungan itu, KPT turut komited dalam mempersiapkan modal insan negara untuk mendepani cabaran dan memanfaatkan peluang yang dibawa oleh era Kecerdasan Buatan (AI) bagi memastikan kebolehpasaran graduan masa hadapan.
Penganjuran forum ini selari dengan matlamat KPT untuk menyediakan platform wacana peringkat tertinggi yang membolehkan pemimpin mahasiswa berdialog secara terus dengan barisan kepimpinan negara mengenai isu-isu strategik yang bakal membentuk masa depan mereka.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; dan Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafri Mohd Rahim.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 645