Global Educator Award 2026 Iktiraf Kecemerlangan Lapan Pendidik Antarabangsa

Global Educator Award 2026 Iktiraf Kecemerlangan Lapan Pendidik Antarabangsa

5 November 2026 | Tanjong Malim, Perak

Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Penyampaian Anugerah Pendidik Global (Global Educator Award, GEA) 2026 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini semalam.

Keberangkatan baginda turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad; serta Menteri Pendidikan, YB Dato’ Seri Fadhlina Sidek.

Dalam sembah ucapannya, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry menyifatkan pendidik sebagai barisan hadapan ilmu, nilai dan kemanusiaan yang berperanan membentuk pemikiran, keperibadian serta masa depan generasi.

Beliau berkata pendidikan bukan sekadar menyampaikan ilmu, sebaliknya perlu melahirkan generasi yang mampu berfikir secara kritis, menghormati perbezaan pandangan serta membuat keputusan secara bertanggungjawab.

Katanya, perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital dalam pendidikan perlu diseimbangkan dengan nilai kemanusiaan serta pertimbangan etika, selaras dengan hala tuju Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang memberi penekanan kepada pendidikan berteraskan manusia dan keperluan masa depan.

Beliau berharap GEA yang memasuki tahun kedua penganjurannya dapat berkembang sebagai platform antarabangsa yang mengiktiraf kecemerlangan pendidik, menggalakkan inovasi serta memperluas kerjasama pendidikan merentas negara berasaskan integriti dan kredibiliti.

Majlis itu menyaksikan lapan (8) penerima menerima pengiktirafan dalam kategori masing-masing, dengan setiap penerima membawa pulang geran penyelidikan bernilai USD5,000 berserta trofi dan sijil penghargaan, manakala penerima Anugerah Pendidik Legasi (The Legacy Educator Award) menerima geran penyelidikan bernilai USD10,000 berserta trofi dan sijil.

Anugerah Guru Perintis (Avant-Garde Teacher Award) diberikan kepada Prof. Madya Dr. Jayanthi Arasan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), manakala Anugerah Penyelidik Pendidikan Terkemuka (Eminent Education Researcher Award) diterima Dr. Mahdi Kolahi dari Ferdowsi University of Mashhad, Iran.

Anugerah Jangkauan Komuniti (Community Outreach Award) diberikan kepada Encik Peter Mokaya Tabichi dari Keriko Secondary School, Kenya, sementara Anugerah Pendidik Guru Terbilang (Esteemed Teacher Educator Award) diterima Prof. Madya Dr. Evania Yafie dari Universitas Negeri Malang, Indonesia.

Dr. Roslinda Alias dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerima Anugerah Institusi Pendidikan Transformatif (Transforming Educational Institution Award), manakala Anugerah Kecemerlangan Inovasi Teknologi Pendidikan HONOR (The HONOR EdTech Innovation Excellence Award) diberikan kepada Puan Siti Ainulmursyida Shamsudin dari SMK Orkid Desa, Kuala Lumpur.

Anugerah Pemimpin Pendidikan Inspirasi (Inspiring Educational Leader Award) diterima Puan Kashmira Jaiswal dari Navrachana International School, India, manakala Anugerah Pendidik Legasi (The Legacy Educator Award) diberikan kepada Encik Chan Hung dari Principal Chan Free Tutorial World, Hong Kong.

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry turut merakamkan penghargaan kepada UPSI, Education Malaysia Global Services (EMGS), rakan strategik, penaja, jawatankuasa penganjur serta juri antarabangsa yang menjayakan penganjuran GEA 2026.

Beliau turut berkata, legasi sebenar seorang pendidik bukan diukur berdasarkan sebanyak mana ilmu yang disampaikan, tetapi sejauh mana kehidupan manusia dapat diubah melalui ilmu dan bimbingan yang diberikan.

  • Last updated on .
  • Hits: 36
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 10 November 2026, 10:27:55.

logo-sirim