KPT Perkasakan Pengurusan Sumber Manusia dan Kebajikan Warga Melalui Pelancaran Garis Panduan Lapor Diri 2026

4 November 2026 | Bangi
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh pengurusan bakat sektor pendidikan tinggi menerusi penganjuran Persidangan Pengurus Sumber Manusia (HRMC) 2026 bermula hari ini.
Persidangan berimpak tinggi anjuran Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) KPT ini telah menghimpunkan semua Pengurus Sumber Manusia dari jabatan, agensi, universiti awam (UA) dan hospital pengajar universiti (HPU).
Majlis perasmian persidangan berkenaan telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim.
Menerusi ucaptamanya, beliau menggesa pengurus sumber manusia memperkemas prosedur dan proses kerja pentadbiran agar penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap serta bebas daripada kerenah birokrasi lapuk.
Beliau turut menyeru agar pembangunan kompetensi pegawai dipertingkat secara berterusan menerusi penyertaan aktif dalam latihan relevan bagi mendepani cabaran dan keperluan masa hadapan.
Selain itu, aspek pemerkasaan jaringan kerjasama merentas agensi dan penjagaan kesejahteraan psikologi serta kesihatan mental warga kerja turut ditekankan berteraskan prinsip 'kita jaga kita'.
Majlis berkenaan turut menyaksikan peluncuran Garis Panduan Lapor Diri KPT 2026 bagi menyeragamkan proses kemasukan dan orientasi (onboarding) warga baharu secara lebih teratur dan profesional.
KPT pada masa sama merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen seluruh pihak terhadap pelaksanaan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) demi tadbir urus sumber manusia yang inklusif.
Inisiatif Audit Kendiri Perjawatan dan Organisasi (AKPO) turut diberi pengiktirafan wajar dalam memastikan struktur perjawatan serta operasi kementerian kekal cekap dan optimum.
Persidangan bersepadu ini menjadi platform strategik kementerian dalam memperkasa modal insan yang berdaya tahan bagi memacu dan melestarikan agenda transformasi pendidikan tinggi negara.
- Last updated on .
- Hits: 43
