logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI 

PENUTUPAN RASMI
KONVENSYEN KEUSAHAWANAN TEKNIKAL WANITA (WTC 2022)

16 JUN 2022


PENDAHULUAN

  1. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama dalam Majlis Penutupan Rasmi Konvensyen Keusahawanan Teknikal Wanita (WTC)
  1. Terima kasih kepada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) kerana menjemput saya untuk menyempurnakan majlis penutupan pada petang ini.
  1. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada UTeM atas kejayaan menganjurkan Konvensyen Keusahawanan Teknikal Wanita atau WTC 2022, yang buat julung kalinya diadakan. Lebih bermakna, penganjuran konvensyen ini adalah bersempena dengan Sambutan Minggu TVET Negara yang akan bermula pada 18 Jun 2022 nanti.

KEUSAHAWANAN TEKNIKAL ATAU TECHNICPRENEURSHIP

Hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,

  1. Seperti apa yang dikatakan oleh Yang Berbahagia Profesor Teknologis Dr. Massila Kamalrudin sebentar tadi, kita sering mendengar istilah “Teknousahawan” atau “Technopreneur”. Tetapi, kita jarang atau kurang mengetahui tentang istilah “Usahawan Teknikal” atau “Technicpreneur”.
  1. Dalam hal ini, satu kredit harus diberikan kepada UTeM kerana telah berjaya mengenal pasti satu bidang tujahan baharu untuk dipelopori, iaitu “Keusahawanan Teknikal” atau juga boleh kita sebut sebagai “Technicpreneurship”.
  2. Saya amat menyokong usaha ini kerana ia bertepatan sekali dengan bidang tujahan UTeM sebagai sebuah universiti teknikal yang berteraskan TVET. Malah, langkah yang diambil dalam mengetengahkan konsep Keusahawanan Teknikal ini juga adalah seiring dengan hasrat untuk memperkasakan Agenda TVET Negara.
  1. Bukan itu sahaja. Konvensyen yang mensasarkan peserta wanita ini juga dilihat berupaya menjadi pemangkin yang secara tidak langsung akan meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan. Tahniah dan syabas sekali lagi kepada UTeM!

WANITA DALAM BIDANG KEUSAHAWANAN DAN TEKNIKAL

Hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,

  1. Bercakap tentang penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan dan teknikal ini mengingatkan saya tentang beberapa fakta.
  1. Pertamanya, berkaitan dengan jumlah perniagaan milikan wanita di negara ini, yang merangkumi 20.6 peratus[1] atau 186,855 daripada keseluruhan jumlah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara.
  1. Fakta kedua pula adalah berkenaan dengan betapa perniagaan milikan wanita ini secara relevan menyumbang sebanyak 1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), di samping turut membuka peluang kepada hampir 800,000 peluang pekerjaan.
  2. Sungguhpun demikian, fakta ketiga, yang menyentuh tentang jurang gender, seperti yang dilaporkan dalam Global Gender Gap Report, 2021 (GGGP 2021) oleh World Economic Forum (WEF), memperlihatkan Malaysia berada di kedudukan ke-104, daripada 156 buah negara, dari segi penyertaan wanita dalam sektor ekonomi. Fakta ini sebenarnya menunjukkan penurunan berbanding dengan tahun 2020 di mana Malaysia berada di posisi ke-97. Ini secara tidak langsung memberitahu kita bahawa masih banyak ruang dan peluang yang boleh diterokai dalam upaya meningkatkan keterlibatan wanita di arena keusahawanan.
  1. Dari sudut bidang teknikal pula, pada tahun 2021, penyertaan wanita dalam bidang profesional dan teknikal di Malaysia ialah 41.5 peratus berbanding dengan 58.5 peratus lelaki[2].
  1. Saya kongsikan di sini juga bahawa pada tahun 2021, iaitu sehingga November 2021, Malaysian Technical University Network atau MTUN kita telah berjaya mengeluarkan seramai 6,457 orang graduan wanita, iaitu 47.1 peratus daripada keseluruhan keluaran[3]. Jumlah ini meningkat sedikit berbanding dengan keluaran pada tahun 2020, iaitu 46.96 peratus daripada keseluruhan keluaran MTUN.
  1. Tambahan kepada itu, bagi graduan TVET keluaran IPT di bawah KPT, kadar kebolehpasaran graduan TVET pada tahun 2021 ialah 94.17 peratus, iaitu meningkat sebanyak 1.4 peratus berbanding 92.27 peratus pada tahun 2020.
  1. Fakta ini sedikit sebanyak memberikan indikator yang positif, bukan sahaja kepada Kerajaan, tetapi juga pihak-pihak berkepentingan yang lain, dalam usaha merancang dan menentukan hala tuju strategik pembangunan graduan, khususnya graduan TVET kita. Dalam erti kata lain, saya yakin bahawa strategi menggabung jalin elemen keusahawanan dan teknikal akan menjadikan seseorang itu lebih berjaya. Insya Allah.

KONVENSYEN KEUSAHAWANAN TEKNIKAL WANITA 2022

Hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,

  1. Saya difahamkan penganjuran konvensyen dua hari ini adalah sebagai wadah kepada golongan wanita untuk mempelajari bidang keusahawanan teknikal daripada pakar dalam bidang tersebut. Pelbagai aktiviti menarik juga telah dilaksanakan. Antaranya, saya diberitahu, ada bengkel latihan keusahawanan yang dianjurkan dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara atau INSKEN, iaitu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Terdapat juga bengkel tatarias diri bersama i-LEAD, agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan.
  1. Selain itu, saya juga dimaklumkan bahawa para peserta berpeluang terlibat dengan forum meja bulat di samping turut serta dengan pelbagai lagi aktiviti keusahawanan. Macam tadi, saya sempat meninjau tapak pameran keusahawanan dan juga inovasi yang disediakan. Banyak saya lihat inovasi keusahawanan yang dipamerkan, yang saya kira sangat berpotensi untuk dikembangkan lagi.
  1. Malah, saya sangat gembira dengan kehadiran peserta yang begitu ramai! Bukan sahaja dalam kalangan pelajar wanita dari UTeM, tetapi juga dari universiti-universiti awam yang lain, politeknik dan kolej komuniti. Saya boleh nampak dari sini ada juga dalam kalangan peserta ialah para usahawan wanita termasuk yang ibu tunggal, ahli-ahli dari pertubuhan wanita, ahli akademik wanita, dan alumni wanita UTeM. Kalau boleh saya anggarkan, mungkin dalam seribu lebih semuanya!
  1. Syabas saya ucapkan kepada semua kerana berjaya menghadirkan diri dalam konvensyen ini! Anda semua sangat bertuah kerana banyak ilmu dan kemahiran keusahawanan teknikal yang boleh diperoleh melalui konvensyen ini.
  1. Hakikatnya, usahawan teknikal wanita bukan sahaja mampu meningkatkan ekonomi keluarga dan negara, tetapi secara tidak langsung, turut menyumbang kepada kemakmuran negara. Justeru, pemilihan tema konvensyen, iaitu “Usahawan Teknikal Wanita: Penjana Kemakmuran” adalah sangat tepat dan sesuai, lebih-lebih lagi dalam upaya kita untuk merancakkan keterlibatan wanita dalam bidang keusahawanan teknikal. Jadi saya amat berharap bahawa penganjuran konvensyen ini bukan sekadar melihat kepada sudut output semata-mata, tetapi juga aspek outcome.

KOMITMEN KPT MEMPROMOSIKAN TVET SEBAGAI AGENDA NASIONAL

  1. Kerajaan sangat komited serta serius untuk terus memperkasakan sektor teknikal, khususnya TVET, selaras dengan penekanannya dalam RMKe-12. Sebab itu di KPT, TVET ini kita tetapkan sebagai agenda nasional. Dalam siri lawatan kerja ke luar negara saya baru-baru ini, saya turut mengambil peluang untuk mempromosikan TVET Malaysia di pentas antarabangsa.
  1. Misalnya, ketika di World Education Forum (WEF) 2022 di London baru-baru ini, saya telah berkongsi perspektif Malaysia berkaitan dengan pembangunan pendidikan inovatif termasuklah tentang Transformasi TVET. Di samping itu, peluang lawatan ke institusi pengajian tinggi terkemuka UK, iaitu University of Oxford, University of Cambridge, University of Surrey dan Imperial College of London, turut digunakan secara optimum oleh delegasi KPT untuk menyebar luas peluang pendidikan di Malaysia.
  1. Bahkan, ketika berucap di EduData Submit di New York, USA minggu lepas, saya turut berpeluang untuk berkongsi tentang pengalaman Malaysia melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat melalui platform TVET, secara mampan dan inklusif dengan berpandukan Edudata.
  1. Dalam pada itu, baru-baru ini juga, kita telah mendapat perkhabaran yang menggembirakan apabila buat pertama kalinya 24 IPT di Malaysia telah tersenarai dalam penarafan QS World University Rankings pada tahun ini. Pencapaian kali ini merupakan yang tertinggi pernah kita capai. Lebih-lebih lagi apabila terdapat dua penyertaan baharu, iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Tun Hussein Onn.
  1. Meskipun UTeM telah tersenarai dalam QS World University Rankings by Subject dalam dua bidang utama, iaitu bidang kejuruteraan mekanikal, aeronautik dan pembuatan, serta bidang sains komputer dan sistem maklumat, saya berharap UTeM tidak berasa terlalu selesa. Sebaliknya, saya cabar UTeM untuk turut menempa nama di persada QS World University Rankings secara keseluruhannya dalam tempoh dua tahun akan datang!
  1. Dalam beberapa hari lagi, iaitu bermula pada 18 Jun 2022 hingga 24 Jun 2022, kita akan menganjurkan Sambutan Minggu TVET Negara bertempat di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam. Sambutan ini merupakan yang kali pertama diadakan. Ada pelbagai program dianjurkan, ada pameran, seminar, dan termasuklah juga forum meja bulat.
  1. Dan, insya-Allah, perasmiannya akan disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri. Jadinya, saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak semua yang ada pada hari ini untuk turut hadir memeriahkan lagi acara sambutan ini. Saya jemput yang ada pada hari ini untuk datanglah bersama jika ada kesempatan!

PENUTUP

Hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,

  1. Ed Markey, Senator dari Massachutes, United States pernah berkata bahawa, “Technical Education is not only a ladder of opportunity, but it is also an investment in our future.” Jadi, saya percaya, wacana seumpama ini akan memberikan impak positif yang insya-Allah akan memperhebat lagi keterlibatan wanita di arena keusahawanan teknikal.
  1. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua pihak yang menyumbang kepada penganjuran dan kejayaan konvensyen ini. Mungkin selepas ini, pihak UTeM boleh mempertimbangkan untuk mengadakan konvensyen ini secara tahunan atau dwitahunan. KPT akan sokong, dan dengan komitmen yang ditunjukkan oleh UTeM, saya yakin ia mampu dilaksanakan. Insya-Allah.
  1. Dengan kata-kata itu, dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dengan sukacitanya menutup Konvensyen Keusahawanan Teknikal Wanita – WTC 2022 secara rasmi. 

Sekian.
Wabillahitaufiq wal hidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih.

 

[1] Pengerusi SME Corp., Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee dalam ucapan perasmian Bengkel Sentuhan Kecantikan Menjana Pendapatan pada 17 April 2021 anjuran Tri-D Event Management Sdn Bhd.

[2] Global Gender Gap Report 2021 oleh World Economic Forum

[3] Sumber: MyMOHES

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBMPT Konvensyen Keusahawanan Teknikal Wanita (WTC 2022) (258 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 10284
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 14 Jun 2024, 19:20:56.