TEKS UCAPAN
YB DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI
MAJLIS PENGHARGAAN PETUGAS BARISAN HADAPAN
15 OGOS 2022 (ISNIN)
- Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT, kerana dengan keizinan-Nya, dapat kita bersama-sama pada petang ini dalam Majlis Penghargaan Petugas Barisan Hadapan, bagi agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.
- Saya berasa sangat bertuah hari ini, dan pada masa yang sama turut terharu, kerana dikelilingi oleh insan-insan hebat. Petugas Barisan Hadapan sekalian, yang telah banyak mencurah keringat, mengadbikan komitmen, sepanjang tempoh pandemik COVID-19 yang lalu.
- Mewakili pihak Kerajaan, khususnya KPT, saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua. Anda semua sangat berani! Anda juga sangat kuat dan hebat!
- Justeru, syabas diucapkan kepada Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Universiti Kebangsaan Malaysia, khasnya kepada Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz atas inisiatif menganjurkan majlis yang istimewa ini!
Hadirin dan hadirat yang saya kasihi sekalian,
- Apabila bercakap tentang pandemik COVID-19, saya percaya, semua yang ada di sini sudah pun biasa mendengarnya.Mana tidaknya, pengalaman dua tahun lebih bergelumang dengan “tetamu tidak diundang” ini sudah cukup membuatkan kita mensejarahkan segala kenangan, yang lebih banyak pahitnya daripada yang manis.
- Pastinya masih segar di ingatan kita semua semasa mula-mula PKP dikuatkuasakan dulu. Kalau macam di pihak Kementerian sendiri, perkara pertama yang perlu diuruskan ialah pelajar-pelajar kita yang berada di IPT – bagaimana dengan bekalan makanan mereka? Kesihatan mereka? Keluarga mereka? Pelajaran mereka? Kalau dengan keluarga kita sendiri, kalut nak siapkan keperluan di rumah itu pun satu hal. Bagi yang bekerja pula, telah bermula pengalaman baharu bekerja dari rumah.
- Jadi, bayangkan pula dengan para petugas barisan hadapan kita? Mereka juga seorang ayah, mereka juga seorang ibu, mereka juga seorang anak, mereka juga seorang suami dan, juga isteri. Namun, apa pilihan yang ada? Mereka tetap perlu hadir bekerja secara fizikal, menjadi perisai utama kepada negara waktu itu.
- Mereka inilah yang sanggup berkorban masa dan tenaga. Malah, nyawa mereka turut dipertaruhkan demi memastikan kita-kita yang lain ini selamat daripada jangkitan. Sanggup memakai PPE yang panas dan merimaskan. Apabila balik ke rumah pula, mereka jadi fobia dan takut virus yang tak nampak ini menjangkiti keluarga tersayang.Tambahan kepada itu, pada peringkat awal COVID-19 dulu, ada dalam kalangan petugas yang dijangkiti dipulaukan oleh masyarakat.
- Betapa tinggi pengorbanan mereka ini. Baik yang petugas kesihatan, anggota keselamatan, mahu pun pekerja sosial dan semua perkhidmatan yang lain, masing-masing memainkan peranan. Maka, tidak hairanlah apabila negara kita Malaysia mendapat pengiktirafan dunia dalam mengendalikan pandemik. Syabas saya ucapkan!
Hadirin yang saya hormati sekalian,
- Kisah penglibatan Kementerian Pengajian Tinggi dalam usaha menangani wabak COVID-19 sudah banyak saya kongsikan dalam ucapan-ucapan saya di forum-forum lain sebelum ini. Malah, ada antaranya kita garap dalam bentuk penulisan, dan buat dalam bentuk dokumentari, untuk rakaman korpus rujukan masa hadapan kita.
- Dalam konteks majlis pada hari ini, suka saya mengajak hadirin sekalian mengimbau kembali jejak kembara yang pernah kita lalui bersama.
- Pertamanya, adalah penglibatan sebanyak tujuh (7) buah Hospital Pengajar Universiti sebagai Pusat Saringan COVID-19. Sejak Mac 2020 hingga 31 Julai 2022, lebih 340 ribu ujian saringan COVID-19 yang telah dijalankan di HPU kita.
- Selain itu, sebanyak 20 buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bawah pengendalian HPU telah diaktifkan. Yang paling saya ingat adalah apabila Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan menjadi perintis kepada PPV Pandu Lalu di negara kita, sebelum dikembangkan ke HPU-HPU dan juga fasiliti kesihatan awam yang lain.
- Sepanjang beroperasi, sejumlah 786,414 dos vaksin telah diterima rakyat di semua 20 buah PPV ini. Alhamdulillah!
- Seterusnya, pengambilmilikan sementara Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia atau HPKK UKM sebagai Hospital COVID-19.
- Sepanjang tempoh pengambilmilikan sementara ini, iaitu sehingga 8 Oktober 2021, sebanyak 842 kes COVID-19 telah dikendalikan oleh HPKK UKM.
- Pun begitu, untuk makluman semua, walaupun selepas tempoh pengambilmilikan sementara ini tamat, HPKK masih lagi merawat pesakit COVID-19. Dalam bulan Mac 2022 hingga bulan Julai 2022, seramai 78 orang pesakit lagi telah menerima rawatan di hospital ini.
- Dalam hal ini, terima kasih kepada 164 petugas kesihatan dari HPU lain, yang terlibat dengan mobilasi bertugas bagi sama-sama membantu HPKK UKM.
- Tidak dilupakan, kepada enam (6) buah HPU yang terlibat sebagai Hospital Hibrid COVID-19. Saya difahamkan hingga 31 Julai 2022, kira-kira 19,000 pesakit COVID-19 telah menerima rawatan di sini. Syabas saya ucapkan!
- Dan bagi menghargai serta cakna kepada galasan amanah Petugas Barisan Hadapan ini, Kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi ketika itu juga telah meluluskan tambahan peruntukan mengurus RM40 juta bagi tujuan perolehan peralatan, pembelian bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di enam buah (6) HPU. Ini disusuli juga dengan peruntukan khas RM951 ribu untuk dua (2) buah HPU masing-masing di Sabah dan Sarawak.
- Kalau tuan-tuan dan puan-puan masih ingat, pada awalnya, Kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan elaun khas doktor dan kakitangan perubatan dari RM400 sebulan kepada RM600 sebulan. Tetapi, ini tidak melibatkan HPU.
- Sungguhpun demikian, alhamdulillah, Kerajaan kemudiannya telah meluluskan pemanjangan pemberian dan peningkatan kadar elaun khas COVID-19 ini kepada doktor dan anggota kesihatan di HPU bawah KPT. Dalam hubungan ini, terima kasih saya ucapkan kepada Kementerian Kewangan dan juga Kementerian Kesihatan kerana mendengar suara HPU! Terima kasih banyak-banyak!
- Dalam pada kita berhabis-habisan mendepani COVID-19 ini, tidak dapat dinafikan terdapat juga rakan seperjuangan yang tewas di pertengahan jalan. Yang pergi dan tidak kembali ada, apatah lagi yang terjangkiti mencecah beribu orang.
- Pengorbanan Wira Tidak Didendang ini pastinya akan dikenang dan tersimpan rapi dalam lipatan sejarah kita semua. Sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar memberikan ganjaran kepada mereka. Al-Fatihah untuk semuanya.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
- Saya difahamkan, dalam majlis pada petang ini juga kita akan melancarkan buku HCTM: Kesiapsiagaan Dalam Menangani COVID-19. Buku ini menghimpunkan ceritera pengalaman petugas barisan hadapan ketika berdepan dengan virus COVID-19. Tahniah dan syabas kepada UKM, HCTM, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid dan pasukan penulisnya kerana berjaya mengilhamkan karya ini!
- Harapan saya, buku ini nanti akan dijadikan sebagai panduan dan pedoman kepada kakitangan hospital dalam menangani penularan wabak COVID-19. Semoga penerbitan buku ini juga akan menjadi pemangkin untuk semua sentiasa siap siaga menghadapi apa jua cabaran yang datang. Insya-Allah, prestasi perkhidmatan kepada masyarakat akan dapat ditingkatkan jua.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
- Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin menyampaikan pengharapan saya agar Petugas Barisan Hadapan, khususnya di HPU bawah KPT, akan sentiasa proaktif dan mengorak langkah dengan lebih yakin, seiring dengan laungan keramat #KPT Prihatin.
- Sekalung penghargaan sekali juga saya titipkan kepada kesemua Petugas Barisan Hadapan 10 buah HPU atas usaha dan sumbangan cemerlang yang diberikan.
Sekian.
Wabillahitaufiq wal hidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih.
Muat Turun:
pdf Teks Ucapan YBM Sempena Majlis Penghargaan Petugas Barisan Hadapan (138 KB)
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 18975