TEKS UCAPAN
YB DATO' SERI DIRAJA DR. ZAMBRY ABD KADIR
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI
MAJLIS ANUGERAH KEUSAHAWANAN KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
(AKKPT ‘23)
8 MAC 2024 (JUMAAT)
7.15 MALAM – 10.45 MALAM
M RESORT & HOTEL KUALA LUMPUR
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Yang Berbahagia Dato' Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi;
Yang Berbahagia Dato’ Dr. Hj Megat Sany bin Megat Ahmad Supian
Timbalan Ketua Setiausaha Dasar,
Kementerian Pendidikan Tinggi;
Yang Berusaha Encik Mohamad Azhan bin Md. Amir
Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan & Pembangunan,
Kementerian Pendidikan Tinggi;
Yang Berusaha Prof. Dr. Azlinda binti Azman
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi;
Yang Berusaha Dr. Haji Mohd Zahari bin Ismail
Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti;
Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pendidikan Tinggi;
Naib-naib Canselor dan Timbalan-timbalan Naib Canselor Institusi Pendidikan Tinggi Awam & Swasta serta Pegawai Kanan IPT, barisan pensyarah, mentor dan panel penilai;
Ketua-ketua Pegawai Eksekutif, captains of industry, tuan-tuan, puan-puan dan para pelajar yang saya kasihi sekalian.
PEMBUKA BICARA
1. Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua, dapat sama-sama kita berhimpun pada majlis Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi 2023 atau AKKPT23 pada malam yang gemilang ini.
2. Terlebih dahulu, kalungan penghargaan yang tidak terhingga daripada saya buat Jawatankuasa Penganjur AKKPT23 yang telah menumpukan segala kudrat dan keringat serta bertungkus-lumus selama berbulan-bulan memastikan program keusahawanan KPT dengan upacara kemuncaknya pada malam ini dapat direalisasikan dengan jayanya.
3. Dalam nada yang sama, ribuan terima kasih saya zahirkan kepada barisan Panel Penilai AKKPT23 yang telah menyumbangkan kepakaran dan pengalaman luas mereka untuk menentukan penyertaan manakah yang layak dinobatkan sebagai yang terbaik dalam setiap kategori yang dipertandingkan.
4. Saya percaya tugas ini bukanlah mudah kerana setiap peserta mempunyai kelebihan dan kekuatan masing-masing dengan tahap inovasi, kreativiti dan pembangunan ekosistem yang dipersembahkan.
5. Majlis yang sedang kita raikan pada malam ini adalah antara usaha dan iltizam Kerajaan dalam mengiktiraf kepentingan sektor pendidikan tinggi dalam memberikan pendedahan awal kepada para pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) tentang dunia keusahawanan terutamanya perkembangan mutakhir terkait penguasaan teknologi baharu, seiring dengan perjalanan negara kita menjadi sebuah ekonomi maju.
6. Antara bidang yang perlu kita tingkatkan kemahiran dan kuasai termasuklah Kepintaran Buatan atau Artificial Intelligence (AI), machineLearning, Internet of Things dan sekian banyak teknologi termaju, yang sedang merubah lanskap kehidupan manusiawi, khususnya bidang pedidikan, dengan begitu deras sekali.
KEUSAHAWANAN PEMANGKIN KEMAJUAN
Para hadirin yang saya kasihi sekalian,
7. Kerjaya sebagai usahawan memang mencabar dan memerlukan tahap kecekalan dan kesabaran yang luarbiasa, lebih-lebih lagi dalam dinamika sosio-ekonomi masyarakat yang sering kita lihat sarat dengan kesenjangan dari segi kumpulan pendapatan, tahap pendidikan dan taraf hidup.
8. Biarpun ada usahawan yang beralih arah, namun masih ramai yang terus berjaya dan semakin mantap bukan sahaja dalam pasaran domestik, malah di persada global. Mereka menetapkan impian tinggi, pantas dalam berfikir dan bertindak, mempunyai etika kerja, visi dan misi perniagaan yang jelas serta sentiasa optimistik terhadap sebarang kritikan dan persepsi negatif – iaitu ciri-ciri yang ada pada usahawan berjaya seperti Elon Musk, Steve Jobs dan ramai lagi yang sering membawa produk dan perkhidmatan berinovasi tinggi berasaskan teknologi disruptif ke dalam pasaran.
9. Tidak ketinggalan juga usahawan tempatan yang kini tersohor di peringkat antarabangsa, misalnya Aerodyne – penyedia perkhidmatan dron berasaskan teknologi AI yang kekal di kedudukan pertama di dunia selama tiga (3) tahun berturut-turut dan beroperasi di lebih 45 buah negara, dan Carsome – syarikat platform pasaran sekunder automotif yang merupakan syarikat pemula unicorn pertama dari Malaysia dengan enterprise value melebihi USD1.0 bilion.
10. Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Aerodyne iaitu Encik Kamarul A. Muhamed, mewakili lebih 1,000 orang pekerja syarikat beliau, turut sama memeriahkan majlis kita malam ini.
11. Saya percaya Kementerian ini bersama seluruh agensi merangkumi universiti, politeknik dan kolej komuniti berada di landasan tepat untuk menyediakan peluang kepada komuniti pelajar dalam menerokai bidang keusahawanan melalui platform seperti program keusahawanan ini yang telah anda semua sempurnakan sejak beberapa bulan lepas.
IPT TUNJANG USAHAWAN KONTEMPORARI
Hadirin penyeri majlis,
12. Dalam tempoh 10 tahun lepas, AKKPT sentiasa melahirkan ramai usahawan berjaya, antaranya, Arif Tukiman, graduan Sains Komputer dari Universiti Teknologi Malaysia serta Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Runcloud.io, sebuah syarikat Software-as-a-Service (SaaS) yang menyediakan perkhidmatan kepada hampir 300,000 pelanggan termasuk pembangun perisian di seluruh dunia, dan pernah tergolong antara 30 orang usahawan berumur 30 tahun ke bawah yang paling berpotensi dalam senarai Forbes 30 bawah 30 di peringkat Asia pada tahun 2020.
13. Selain beliau, usahawan produk AKKPT yang berjaya termasuklah Wong Yi Tin, graduan bidang kejuruteraan dari Universiti Malaya dan pengasas syarikat FEKEN Sdn. Bhd. iaitu pembekal tunggal di Malaysia bagi produk bearing berkualiti tinggi dalam inudstri automasi dan pernah tercalon dalam Asia-Pacific TOP Excellence Brand 2021. Dan ramai lagi yang tidak sempat saya sebut kali ini.
14. Maka, pada dasawarsa ini pula, dengan majlis kita pada malam ini sebagai pembuka tirai, saya yakin dan percaya, akan lahir lebih ramai usahawan dari IPT yang berupaya mengetengahkan inovasi berskala global dan mampu menawarkan solusi permasalahan, meningkatkan produktiviti dan akhirnya menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara melalui penjanaan ekonomi dan pendapatan serta penciptaan peluang pekerjaan.
15. Melihat kepada pencapaian usahawan selaku produk IPT, saya berkeyakinan tinggi mereka amat berpotensi untuk “scale up” kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang berdaya tahan dalam dunia perniagaan yang kian mencabar. Sumbangan PMKS kepada pertumbuhan ekonomi negara amatlah penting, iaitu 38.4 peratus atau RM580.4 bilion daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2022 berbanding 37.4 peratus (RM520.0 bilion) pada tahun sebelumnya.
16. Di pihak Kerajaan, pelbagai bentuk sokongan disediakan, misalnya program-program latihan dan bantuan seperti keperluan tunai – atau dry powder dalam jargon syarikat pemula – pada peringkat awal perniagaan supaya mereka terus berkembang di peringkat domestik, sebelum menerokai pasaran global.
17. Di sini, saya amat berharap ramai lagi pihak di luar sana, baik institusi kewangan dan pelaburan mahupun syarikat-syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan, atau GLC, bersama-sama berganding bahu berpimpin tangan dengan Kerajaan dalam membangunkan ekosistem keusahawanan sejak di peringkat tertiari lagi.
18. Dalam erti kata lain, apabila pihak Kementerian dan IPT melepaskan usahawan yang masih bertatih ini, maka sambutlah mereka dengan penuh perhatian dan didikan kerana dengan kepakaran dan pengalaman industri, andalah pembimbing seterusnya yang berkemampuan untuk merealisasikan potensi terpendam dalam diri mereka.
PENUTUP
Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
19. Berniaga merupakan salah satu pekerjaan yang terpuji. Nabi Muhammad SAW boleh kita jadikan contoh seorang peniaga berjaya sebelum dan selepas baginda dilantik menjadi Rasul. Seringkali dinukilkan di dalam kitab-kitab sirah akan penglibatan baginda dengan bapa saudara, Abu Thalib, dan isteri tercinta, Siti Khadijah binti Khuwailid, yang merupakan usahawan tersohor ketika itu.
20. Tamsilan ini menjadi panduan sepanjang zaman, dan boleh diteladani oleh generasi muda, khususnya pelajar IPT, yang ingin menjadi usahawan berjaya. Di samping konsisten dalam ibadah, kita juga dianjurkan untuk meningkatkan pencapaian dalam ekonomi sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Qasas, ayat 77, “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) daripada dunia...”.
21. Untuk itu, marilah kita sama-sama berdoa ke hadratNya agar generasi pelajar hari ini akan terus cemerlang, baik dari aspek akademik, ko-kurikulum, sahsiah, keperibadian mahupun karier mereka apabila menceburi alam pekerjaan kelak, sama ada sebagai usahawan ataupun bekerja dalam sektor awam dan swasta.
22. Tidak dilupakan juga doa berterusan untuk kita titipkan buat generasi pelajar di beberapa buah negara yang masih belum bebas daripada pelbagai persengketaan dan konflik geo-politik yang belum reda, semoga mereka dapat kembali menuntut ilmu seperti biasa dan meraih pebagai peluang tersedia seperti yang sedang dinikmati oleh para pelajar di negara yang aman sentosa seperti Malaysia.
23. Sekali lagi, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dan memberikan komitmen padu untuk menjayakan majlis pada malam ini.
24. Tahniah daripada saya dan pimpinan tertinggi Kementerian kepada yang menang. Nasihat kami, janganlah berhenti di sini. Kemenangan anda yang tersurat malam ini adalah petanda baik bagi kejayaan yang tersirat pada masa hadapan. Bukan sahaja untuk diri sendiri, anda sebenarnya mencipta peluang pekerjaan baharu untuk mereka yang mahir dalam bidang masing-masing dan layak diambil bekerja untuk sama-sama membangun dan memajukan perniagaan anda apabila tiba masanya nanti.
25. Namun kepada yang belum berjaya, janganlah berputus asa kerana segala-galanya bukan berakhir di sini, sebaliknya ini suatu permulaan kepada langkah yang lebih baik. Kalau saya boleh petik kata-kata Thomas Alva Edison, seorang saintis dan juga usahawan terkenal:
“Our greatest weakness lies in giving up. The most certain way to succeed is always to try just one more time.”
26. Majlis gemilang menjulang sang juara
Anugerah istimewa pendidikan Madani
Ilmu tunjang kemajuan negara
Penyempurna amal setiap insani.
27. Akhir kata, dengan lafaz mulia, Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Majlis Anugerah Keusahawanan, Kementerian Pendidikan Tinggi bagi tahun 2023.
Sekian, wabillahitaufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatulhi wabarakatuh.
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 10557