logo kpt black

TEKS UCAPAN PERASMIAN

YB DATO’ SERI DIRAJA DR. ZAMBRY ABD KADIR
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

PROGRAM SEMARAK RAMADAN KPT @ UNIMAP
&
MAJLIS PELUNCURAN PELAKSANAAN INISIATIF KAD MYSISWA

23 MAC 2024


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam 12 Ramadan dan

Salam Malaysia MADANI.

[SALUTASI – DISEDIAKAN BERASINGAN]

PEMBUKA BICARA

1. Alhamdulillah, pertamanya saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, maka dapat kita bersama-sama berada dalam Program Semarak Ramadan KPT @ UniMAP dan Majlis Peluncuran Kad MySiswa pada hari ini.

2. Setinggi-tingi perhargaan ingin saya sampaikan kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) selaku penganjur dan telah berjaya menghimpunkan lebih daripada 2,000 orang mahasiswa untuk bersama-sama kita pada program kali ini.

3. Terima kasih juga saya ucapkan kepada Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) selaku penganjur bersama atas undangan untuk saya menyempurnakan Majlis Peluncuran Kad MySiswa yang amat dinanti-nantikan sejak inisiatif ini mula dilaksanakan pada awal tahun 2023 yang lalu.

4. Ucapan terima kasih turut saya zahirkan kepada pihak RHB Islamic Bank Berhad selaku rakan strategik pelaksanaan inisiatif Kad MySiswa yang turut menaja sebahagian daripada keperluan majlis pada hari ini.

5. Tidak lupa juga para pelajar yang saya kasihi. Insha Allah, kita akan berbuka puasa dengan juadah yang enak-enak, solat fardhu dan solat tarawih secara berjemaah serta moreh bersama-sama pada malam ini.

UNIMAP PADA USIA 23 TAHUN

Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin sekalian,

6. Pada tahun ini UniMAP yang merupakan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) ke-17 ditubuhkan dengan misi melahirkan insan kamil yang menyumbang kepada agenda pembangunan dan daya saing industri negara, telahpun menjangkau usia 23 tahun.

7. Walaupun dikategorikan dalam kalangan universiti muda, namun saya lihat telah banyak inisiatif yang UniMAP laksanakan bagi memastikan aspirasi kementerian dan Kerajaan dapat dijayakan.

8. Terkini, menerusi penubuhan Pusat TVET UniMAP yang dirasmikan oleh mantan YB Menteri Pendidikan Tinggi pada tahun lalu, saya percaya UniMAP mampu membangunkan satu ekosistem TVET terbesar dan terkenal di peringkat nasional khususnya di wilayah utara.

9. Oleh itu, saya berharap UniMAP akan terus memacu rentak kecemerlangannya dan memperkasakan hubungan strategik dengan semua pemegang taruh, terutamanya dengan pihak industri bagi memastikan graduan UniMAP dilengkapi dengan skill set yang betul serta mempunyai kemahiran high tech yang diperlukan.

DEWAN RAKYAT LULUS PINDAAN AUKU 2023

Hadirin dan para pelajar yang saya kasihi.

10. Saya telah membentangkan dan membacakan Rang Undang- Undang (RUU) Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023 untuk kali kedua dan ketiga di Dewan Rakyat pada 18 Mac 2024 yang lepas.

11. Seramai 23 Ahli Dewan Rakyat telah mengambil bahagian dalam perbahasan RUU tersebut dan ia telah diluluskan secara sebulat suara. RUU ini dijangka akan dibentangkan untuk kelulusan Dewan Negara pada bulan April 2024 kelak.

12. Perkembangan ini adalah hasil kesungguhan dan komitmen berterusan Kementerian mendewasakan dan mematangkan diri pelajar. Ia juga merupakan antara langkah progresif yang dilaksanakan oleh Kerajaan untuk membugar budaya berorganisasi dan menyegarkan gerakan pelajar sesuai dengan keupayaan mereka.

13. Melalui Rang Undang-Undang ini, maka Agenda Pemerkasaan Mahasiswa dapat dijayakan seterusnya melakar sejarah apabila AUKU sekali lagi dipinda untuk mengangkat martabat mahasiswa Universiti Awam.

SEKILAS PANDANG KAD MYSISWA

Hadirin dan para pelajar yang saya raikan sekalian,

14. Di samping menghadiri program Semarak Ramadan KPT, saya juga diamanahkan untuk meluncurkan pelaksanaan inisiatif Kad MySiswa (yang dahulunya dikenali sebagai Kad Prihatin Siswa).

15. Untuk makluman semua, cetusan idea untuk melaksanakan inisiatif Kad MySiswa sebenarnya tidak datang daripada pihak Kementerian.

16. Inisiatif ini merupakan salah satu usul yang telah dikemukakan oleh Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) kepada YAB Perdana Menteri pada 30 Jun 2020 dan dipersetujui untuk dilaksanakan.

17. Inisiatif ini bermatlamat untuk memperkasakan dan memartabatkan mahasiswa menerusi transformasi kad matrik pelajar kepada kad pintar pelbagai guna yang turut berfungsi sebagai kad debit bank dan kad akses kepada kemudahan/fungsi dalaman kampus yang bersepadu, serta dilengkapi dengan kemudahan e-wallet.

18. Pada masa yang sama, Kad MySiswa turut berfungsi sebagai kad tawaran promosi/diskaun yang melayakkan pemegang Kad MySiswa menikmati pelbagai manfaat menerusi tawaran dan diskaun yang disediakan oleh pedagang terpilih, sama ada di dalam mahupun di luar kampus.

19. Secara tidak langsung, pelaksanaan inisiatif Kad MySiswa ini akan menjadi pemangkin transformasi ekosistem kampus tanpa tunai (cashless campus) seiring dengan perkembangan teknologi kewangan masa kini.

20. Pendek kata, kad MySiswa ini merupakan satu kad pintar pelbagaiguna di tangan setiap mahasiswa kita di Universiti Awam (UA) yang kini mencecah lebih daripada 530,000 orang.

21. Tahniah saya ucapkan kepada pihak RHB Islamic Bank Berhad yang berjaya terpilih sebagai rakan strategik pelaksanaan ini pasca penelitian yang jitu di pelbagai peringkat oleh pihak Kementerian dan juga Universiti.

PENYERAGAMAN PENYALURAN PINJAMAN PENDIDIKAN PTPTN

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

22. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini bagi merakamkan penghargaan kepada pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang merupakan antara tonggak bagi merealisasikan pelaksanaan inisiatif Kad MySiswa ini.

23. Hal ini kerana melalui pelaksanaan inisiatif Kad MySiswa, penyaluran kemudahan pinjaman pendidikan PTPTN telah diseragamkan menerusi akaun bank RHB Islamic Bank Berhad selaku Bank Pembayar tunggal dan rakan strategik pelaksanaan inisiatif Kad MySiswa.

24. Susulan itu, penyaluran kemudahan pinjaman pendidikan PTPTN yang seragam telah dilaksanakan secara rintis di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada bulan Februari 2023.

25. Kini, penyaluran kemudahan pinjaman pendidikan PTPTN tersebut telah dilaksanakan sepenuhnya di kesemua 20 buah UA mulai Sesi Akademik 2023/2024.

PERLUASAN PELAKSANAAN INISIATIF KAD PRIHATIN SISWA KEPADA PELAJAR POLITEKNIK DAN KOLEJ KOMUNITI

Hadirin dan hadirat sekalian,

26. Saya dimaklumkan bahawa pihak RHB Islamic Bank Berhad dan pasukan daripada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah memulakan perbincangan awal untuk meneroka kebolehlaksanaan inisiatif Kad MySiswa bagi pelajar- pelajar politeknik dan kolej komuniti.

27. Susulan itu, besar harapan saya agar proses rundingan itu berjalan dengan lancar dan menghasilkan resolusi yang positif agar pelajar- pelajar politeknik dan kolej komuniti dapat menerima manfaat yang setara menerusi pelaksanaan inisiatif Kad MySiswa ini.

28. Melihat kepada manfaat secara langsung dan tidak langsung yang diterima oleh pihak-pihak yang terlibat dalam pelaksanaan inisiatif ini, saya menaruh harapan agar inisiatif Kad MySiswa dapat diperluaskan bukan sahaja kepada pelajar politeknik dan kolej komuniti, malah kepada semua pelajar Institusi Pendidikan Tinggi di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Tinggi.

PELUNCURAN KAD PRIHATIN SISWA

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

29. Saya tidak berhasrat untuk bercakap lebih panjang lagi. Namun, suka saya menyeru semua pihak supaya terus berusaha mencari idea dan pendekatan terbaik untuk menjulang sektor pendidikan tinggi. Kita tidak boleh berpuas hati atau berhenti di sini.

30. Saya juga berharap Kad Prihatin Siswa yang diberi nafas baharu dan dijenamakan semula sebagai Kad MySiswa ini akan dapat terus diperkasakan dari segi kepenggunaan serta manfaat kepada pemegang Kad tersebut iaitu para mahasiswa kita semua.

31. Akhir kata, tahniah dan terima kasih sekali lagi kepada pihak penganjur serta semua pihak yang telah berusaha menjayakan majlis ini, khususnya Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi selaku “champion” pelaksanaan inisiatif Kad MySiswa.

32. Dengan lafaz Bismilahirrahmannirrahim, saya dengan ini meluncurkan pelaksanaan inisiatif Kad MySiswa secara rasminya.

33. Sekian, wabillahitaufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatulhi wabarakatuh.

Muat Turun:

  pdf Teks Ucapan Perasmian - Program Semarak Ramadan KPT @ UniMaP & Majlis Peluncuran Pelaksanaan Inisiatif Kad MySiswa (189 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 12686
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 03 Oktober 2024, 04:17:23.

logo-sirim