TEKS UCAPAN
YB DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI
MAJLIS PERASMIAN BENGKEL TECHNICAL WORKING GROUP (TWG) HIGHER EDUCATION DI BAWAH INTER-AGENCY PLANNING GROUP (IAPG) HUMAN CAPITAL DEVELOPMENT BAGI BAB 10, KAJIAN SEPARUH PENGGAL, RANCANGAN MALAYSIA KEDUA BELAS (RMKe-12) 2021-2025
22 FEBRUARI 2023
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian;
- Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dilaksanakan ketika negara berhadapan dengan tiga kemelut terbesar.
- Ketidakstabilan politik. Pandemik COVID-19 dan kegawatan ekonomi global akibat daripada pandemik yang berlarutan.
- Semua cabaran ini bukan sahaja besar. Malah bersifat ‘unprecedented’.
- Ketiga-tiganya hadir serentak. Its a perfect storm. Malaysia tidak pernah berhadapan dengan suatu gelombang krisis nasional sedemikian rupa.
- Ia menggugat kematangan demokrasi. Ia menuntut hikmah dan kebijaksanaan monarki. Paling menakutkan, ia melibatkan kehilangan nyawa dan kesihatan diri.
- Pembangunan Malaysia yang selama ini dipacu pertumbuhan ekonomi yang pesat, terbantut. Kesejahteraan rakyat terancam.
- Kadar kemiskinan meningkat. Jurang keberadaan melebar dengan sangat ketara.
- Perbelanjaan awam untuk pembangunan dan urus tadbir menurun dengan drastik.
- Semua ini menjadikan RMK-12 sebagai pelan pembangunan yang sangat mencabar untuk dilaksanakan.
- Jadi, tidak boleh tidak, strategi, sasaran dan ukuran keberhasilannya mesti disemak, dinilai dan diselaraskan semua.
- Walaupun pelbagai perkara asas mesti terus dilaksanakan, banyak pelarasan baharu juga harus dilakukan.
- Biar saya gariskan beberapa pandangan saya dalam usaha kita menyemak semula RMK-12 setelah separuh penggal pelaksanaannya.
- Dengan mengambil kira kedudukan semasa ekonomi dan kedudukan fiskal negara, segala program pembangunan prasarana yang boleh kita tangguhkan, wajar ditangguhkan.
- Dana yang terhad, tidak memungkinkan kita melaksanakan pelbagai projek prasarana seperti yang dirancang sebelum ini.
- Sebaliknya, keutamaan KPT mesti kepada pelaburan untuk menghasilkan keberhasilan yang lebih nyata, pantas dan produktif.
- Perbelanjaan untuk sektor pendidikan tinggi mesti menyumbang kepada peningkatan kebolehsaingan ekonomi Malaysia.
- Ia mesti mempunyai kandungan teknologi yang berimpak tinggi.
- Ia mesti menyumbang kepada inovasi dan kreativiti aras tinggi.
- Ia mesti mengurangkan beban rakyat dan menamsilkan kesejahteraan.
- Paling penting, ia mesti menambah secara signifikan bakat dan pekerja berilmu yang sangat berkemahiran, untuk membangunkan sektor ekonomi agar kebergantungan kita kepada komoditi dan petroleum boleh dikurangkan.
- Projek baharu yang kita akan laksanakan, mesti menghasilkan impak berganda dalam masa paling pantas dan singkat.
- Kita perlu membiayai pembangunan yang bersifat ‘hard, smart dan strategic’.
- Kita bukan hanya membangunkan prasarana, tetapi ‘bulding a smart nation’. Pembangunan menyeluruh demi keselamatan dan kesejahteraan insan dan negara.
- Maknanya, apa yang akan kita belanjakan dalam dua tahun akan datang, mesti menampakkan hasil yang besar dalam masa yang paling singkat dan pantas.
- Tanpa sasaran sedemikian, ekonomi kita akan terus perlahan.
- Sasaran kita adalah merancakkan pertumbuhan dan menghasilkan impak dengan sesegera mungkin. Kita tidak punya masa untuk menunggu. Kita telah kehilangan 5 tahun yang produktif.
- Keempat, segala perbelanjaan kita untuk RMK-12, mesti sifar ketirisan. Sifar pembaziran. Sifar penyelewengan dan salah guna. Sifar kerencatan.
- Laporan dan pendedahan Ketua Audit Negara baru-baru ini sangat menyedihkan. Saya percaya semua kita sangat gusar dengan segala kelewatan, segala ketirisan dan pembaziran.
- KPT harus menjadi kementerian paling cekap, paling telus dan paling berhemah.
- Kita berada pada era yang menawarkan pelbagai sistem. Pelbagai teknologi. Semua ini mesti digunakan bagi melaksanakan projek dengan berkesan.
- Dengan segala lambakan teknologi yang moden dan terkini ini, masakan kita tidak boleh lebih cekap. Lebih inovatif. Lebih telus.
- Yang kelima dan terakhir, saya mahu dalam exercise semakan RMK-12 ini, kita mesti menamsilkan apa yang saya panggil ‘Malaysia’s exceptionalism’.
- Ketengahkan program yang akan menjadikan kita luar biasa. Menjadikan kita lain daripada yang lain dan menjadikan kita lebih inovatif.
- Yang jika dilaksanakan, akan membezakan Malaysia dari negara-negara membangun lain.
- Dan jika dijayakan dengan tekun, akan meletakkan kita dalam kelas tersendiri. Tetapi yang paling penting ialah, ia mesti memanfaatkan tanahair.
Tuan-tuan dan puan-puan;
- Berdasarkan prinsip-prinsip di atas, suka saya menekankan beberapa keutamaan baharu yang mesti kita garap masuk dalam RMK12 ini.
- Pendigitalan Sektor Pendidikan Tinggi secara menyeluruh.
- Pandemik telah mengajar kita pengajaran yang sangat besar.
- Bahawa kita boleh terus produktif. Boleh terus berfungsi secara maya atau virtual, jika kita mempunyai prasarana dan kandungan digital yang stabil, komprehensif dan boleh dicapai oleh semua.
- Sesi pengajian boleh kita laksanakan secara virtual.
- Penyelidikan dan sesi sumbang saran boleh kita lakukan secara kolaboratif melalui pertemuan di pelbagai platform virtual.
- Pentadbiran universiti juga telah mula bergerak kepada pendigitalan besar-besaran.
- Maka peruntukan untuk pelbagai projek menambah baik prasarana Internet dan platform atas talian mesti digandakan.
- Wifi yang perlahan dan tidak stabil tetapi mahal mesti menjadi sejarah.
- Begitu juga dengan sukatan dan rujukan pelajaran, pengurusan universiti, dan segala sistem dalam sektor pendidikan tinggi. Semua mesti melalui penambahbaikan yang radikal melalui pendigitalan.
- Pendigitalan akan meningkatkan kecekapan dan ketelusan.
- Pendigitalan akan meruntuhkan kekangan jarak, batas sempadan dan pelbagai halangan fizikal yang lain.
- Ia akan memodenkan sektor pendidikan tinggi, selari dengan sifat zaman.
- Oleh kerana pendigitalan adalah projek berskala besar, pembiayaan dalam RMK-12 sudah pasti tidak akan mencukupi.
- Dan menunggu untuk melaksanakan ia di bawah RMK-13 pula akan menyebabkan kita ketinggalan masa.
- Justeru, kita mesti mencari pendanaan lain untuk membantu membiayai misi besar ini.
- Insyallah kita semua mesti bersama-sama meneroka pelbagai kaedah pembiayaan bagi melaksanakan agenda ini.
- Buat masa ini, saya mencadangkan sebahagian dari pembiayaan projek pendigitalan ini di agihkan untuk ekosistem politeknik dan kolej komuniti.
- Penegasan saya ialah aliran kemahiran adalah setanding dengan jurusan akademik yang lain. Tetapi politeknik dan kolej komuniti telah lama kita biar ketinggalan dalam agenda modenisasi prasarana nasional.
- Jadi, politeknik dan kolej komuniti mesti kita beri sentuhan modenisasi. Dengan hasrat menjadikan kedua-duanya institusi pilihan untuk pelbagai kemahiran termaju.
- Tanpa prasarana digital, bagaimana mereka akan dapat mendidik generasi muda dengan ‘kemahiran teknologi’ yang akan menjadi ciri utama pekerjaan zaman ini dan zaman akan datang.
- Latihan pasca siswazah.
- Saya percaya bahawa latihan pasca siswazah mesti menjadi keutamaan dalam semakan RMK-12 ini.
- Malaysia memerlukan lebih ramai mereka yang berkelayakan Phd. Dan sarjana terutama dalam bidang kepakaran khusus.
- IPT tidak boleh menjadi unggul tanpa mereka dengan kelayakan terbaik. Sama ada di Universiti Awam, mahupun politeknik dan kolej komuniti.
- Dalam konteks ini, kita mengusulkan 2 fokus utama.
- Pertama membanyakkan dermasiswa untuk rakyat Malaysia melanjutkan pengajian dalam pelbagai kursus pasca siswazah. Inisiatif terdahulu seperti MyBrain wajar dikembangkan semula.
- Semua ini akan menyediakan Malaysia dengan jumlah tenaga mahir dan bakat bermutu dengan angka yang cukup besar.
- Ia adalah satu persediaan yang membolehkan Malaysia menawarkan kelebihan bakat pelbagai kepakaran kepada pelabur dalam dan luar negara.
- Kedua, saya sarankan kita mempelbagaikan lagi hadiah biasiswa, pinjaman, geran atau dana padanan untuk menghantar tenaga akademik dan bukan akademik kita belajar di pelbagai universiti di negara luar.
- Tenaga akademik dan bukan akademik kita mesti mempunyai pengalaman belajar dengan mereka yang terbaik. Menimba pengalaman dan pendedahan berbeza untuk membina perspektif yang lebih luas dan anjal.
- Malah, kita mesti menghantar semula mereka ke pelbagai negara, dan bukan hanya negara tradisional seperti UK dan USA.
- Sejak beberapa tahun lepas, ramai bakat kita sudah tidak dihantar ke luar negara. Keadaan ini tidak boleh diteruskan.
- Paling penting, program ini mesti dilaksanakan dengan sasaran kejayaan 100 peratus. Sifar gagal.
- Sesiapa yang kita hantar, mesti mempunyai kelayakan yang tinggi. Bukan hanya kerana mereka adalah pensyarah kita, atau penyelidik, atau pentadbir, maka mereka layak.
- Pelbagai pendedahan awal untuk mencipta kejayaan merangkul ijazah kedoktoran atau sarjana, mesti dilaksanakan.
- Penguasaan bahasa, kemahiran dan kemandirian menjalankan penyelidikan, pendedahan kepada teknologi dan sistem terkini, kepimpinan. Semua ini adalah ruang dan peluang membangunkan kapasiti bakat kita.
- Kita mesti mempunyai ‘rejim’ pembangunan bakat yang rapi dan dibangunkan dengan menekankan bahawa kejayaan bukan sekadar persediaan ala kadar.
- Dalam disiplin perubatan dan sains perubatan misalnya, bakat kita adalah kumpulan pakar yang sangat kritikal.
- Mereka mesti mendapat pendedahan dan latihan terbaik secara berterusan terutama di luar negara. KPT mesti mempunyai rencana yang kemas dan strategik untuk latihan pembangunan kapasiti kepakaran mereka.
- Menyelenggara dan memulih demi kelestarian. Atau a strategy to refurbish and renew for sustainability.
- Setiap kali saya ke kampus IPT, saya melihat bangunan yang semakin usang dan hilang serinya.
- Kemudahan IPT kita semakin lapuk.
- Budaya menyelenggara kita sangat lemah.
- Tanpa kita sedar, kegagalan memperuntukkan jumlah yang munasabah untuk tujuan penjagaan dan penyelenggaraan sebenarnya merugikan kita dalam jangka panjang. Ia jauh lebih mahal dan membebankan.
- Teladanilah negara luar. Bangunan berusia beratus-ratus tahun terus tersergam indah, berfungsi dan diselenggara dengan baik.
- Jadi, separuh penggal kedua RMK-12 ini mesti memberikan nafas baharu kepada pelbagai bangunan, makmal dan kemudahan pembelajaran dan pengajaran kita yang semakin usang kerana kurangnya penjagaan.
- Penambahbaikan semua prasarana adalah keutamaan. Bukan membina bangunan baharu.
- Makmal yang usang harus dipulihkan. Kelengkapan yang lapuk mesti dinaiktaraf.
- Asrama pelajar wajar menjadi tempat yang kemas, bersih dan teratur. Lengkap dengan kemudahan moden dan sesuai dengan taraf hidup kurun ke 21.
- Kantin dan dewan makan, mesti menggambarkan kualiti kehidupan milenial. Begitu juga pelbagai dewan, kemudahan sukan dan rekreasi.
- Tumpuan mestilah kepada projek mengubah imej IPT menjadi lebih bersih, moden dan lestari. Agar pembelajaran, pengajaran dan kehidupan kemahasiswaan menjadi pengalaman yang menyeronokkan.
- Peruntukan bagi tujuan peralihan kepada penggunaan sumber secara lestari juga mesti di gandakan. Tenaga solar, misalnya, mesti di laksanakan secara signifikan. Masakan IPT tidak mempunyai segala macam teknologi yang membolehkan penggunaan tenaga secara lestari berlaku.
- Begitu juga kelestarian sumber air. Kesemua ini boleh diuruskan dengan lebih cekap. Agar isu ketiadaan air sehingga mengganggu perjalanan semester boleh dielakkan sama sekali.
- Pengurangan sisa buangan kepada sifar mesti menjadi sasaran. Amalan kitar semula serta pelbagai lagi ikhtiar kelestarian, mesti disepadukan dalam permohonan baharu untuk semakan separuh penggal RMK-12.
- Kesimpulannya, semua projek dalam RMK 12 mestilah patuh ESG. Ia adalah standard yang mesti kita jadikan tanda aras.
- Satu projek khas untuk membangunkan ‘national digital library’ mesti diusahakan.
- Dalam kita ghairah membangunkan universiti, politeknik dan kolej komuniti, jarang sekali kita menekankan peruntukan untuk khutub khanah di universiti.
- Sedangkan di gedung inilah tersimpannya ilmu, pusat maklumat dan segala perkara yang menjadi khazanah kebijaksanaan sesebuah bangsa.
- Malangnya, perpustakaan dalam kehidupan hari ini tidak lebih dari sekadar pusat menyimpan buku. Hatta pelajar millineal sendiri sudah jarang sekali ke perpustakaan atau menggunakan khazanah manuskrip yang kita miliki.
- Bagi kebanyakan mereka, mencari maklumat itu cukup hanya dengan ‘google’ atau ‘google scholar’.
- Kenapa tiba-tiba saya bercakap tentang perpustakaan digital ? Kerana kita harus berkongsi sumber. Ini adalah zaman perkongsian, bukan zaman membina milikan ‘eksklusif’.
- Kedua, kerana banyak sekali IPT kita, awam dan swasta, tidak mempunyai peruntukan untuk membangun khutub khanah yang komprehensif. Jadi kita harus membantu kerana akhirnya yang penting ialah ilmu itu di kongsi dan di manfaatkan.
- Dan ketiga, saya mahu kita mencintai khazanah ilmu kita. Bangsa maju di ukur dengan semua ini, bukan hanya bangunan yang moden dan hebat.
- Terakhir, kepada pentadbir universiti, perpustakaan adalah keutamaan paling akhir dalam peruntukan dan rencana pembangunan.
- Khazanah ilmu yang kita bina, mesti kita arkib dan sebar luaskan. Sehingga hari ini, kita terus mengunjungi British Library, Laiden University dan British Archives untuk mencari sumber sejarah tentang Tanah Melayu, Malaysia dan Asia Tenggara.
- Suatu hari nanti, kita perlu merujuk kepada pelbagai perjalanan sejarah negara ini. Pelbagai kemelut yang pernah kita hadapi. Pelbagai teknologi yang telah kita cipta. Pelbagai tesis, penemuan dan dapatan yang dihasilkan oleh pelbagai pelajar dari serata dunia.
- Saya percaya, adalah sangat wajar semakan RMK-12 memberi pemberat kepada usaha besar membangunkan khazanah ilmu negara dan mempersembahkannya dalam bentuk digital.
- Ini mungkin sumbangan paling penting kita dalam menterjemahkan Malaysia yang Madani. Suatu sistem perpustakaan digital yang komprehensif dan dibangunkan sebagai hadiah kita kepada kehidupan manusiawi.
- Yang akan menyimpan rapi pelbagai idea, pelbagai pengalaman, pelbagai penulisan, pelbagai dapatan. Dan membolehkannya diakses oleh sesiapa sahaja. Pelajar IPTA. IPTS. Sistem Politeknik dan Kolej Universiti. Malah semua rakyat Malaysia dan pencinta ilmu dari seluruh dunia.
- Untuk menjadi negara maju, pelaburan kita dalam penyelidikan dan inovasi, tidak boleh terus berada pada tahap sekarang.
- Ia sangat tidak mencukupi. Terlalu sedikit dan tidak menggambarkan keseriusan untuk menjadi bangsa yang maju.
- Apalagi, kementerian kita ini tidak pun menjadi agensi utama yang mengurus dana penyelidikan nasional.
- Sedangkan kita adalah agensi yang mempunyai pelbagai sumber dan kepakaran untuk melaksanakan penyelidikan.
- Saya menyarankan kita memohon dana khas untuk tujuan penyelidikan berkepentingan nasional dan strategik.
- Sebagai ‘national brain trust’ apa lagi yang wajar kita mohon jika tidak dana penyelidikan?
- Ia adalah tugas hakiki kita yang penting, dan menjadi tanggungjawab kita untuk meneroka ‘the next frontiers of science, technology and humanities’.
- Mekanismenya boleh kita pelbagaikan. Misalnya dengan membentuk beberapa konsortium penyelidikan, rentas universiti, institusi serta negara.
- Konsortium yang mengumpulkan kepakaran terbaik anak Malaysia, walau di mana pun mereka berada. Di samping melibatkan pakar asing. Dengan matlamat menjalankan penyelidikan strategik berkepentingan nasional.
- Dan menjadi tugas serta cabaran KPT untuk menetapkan apakah yang selayaknya kita anggap dan angkat sebagai kepentingan nasional.
- Keutamaan mestilah diberikan kepada disiplin sains kritikal seperti ‘pathogen and emerging diseases’, climate disruption’, ‘food security’, ‘national inequality’, kecerdikan buatan, sumber tenaga alternatif dan beberapa lagi bidang penyelidikan yang boleh memacu Malaysia mencari jawapan kepada segala permasalahan nasional.
- Melalui projek nasional dengan pendekatan sebegini, kita dapat mengubah banyak perkara.
- Budaya kerja bersendirian, pertindihan kajian, ketidakcukupan dana, persaingan yang tidak sihat dan tidak profesional serta salah guna kajian hanya untuk kepentingan yang sempit.
- Sebaliknya, semua ikhtiar dan proses mencungkil jawapan kepada sesuatu conundrum akan diuruskan pada skala nasional demi kepentingan nasional.
- Segala penemuan dan dapatan akan dikemukakan kepada Kerajaan untuk menjadi petunjuk dan asas kepada dasar baharu. Dasar yang akan memberi jawapan kepada masyarakat dan cabaran negara.
- Kita mesti membawa penyelidikan kita ke tahap yang sifatnya global, impaknya membumi namun transformatif, dan pelaburannya membuahkan hasil yang terlihat dan boleh diguna pakai oleh negara.
- Ini adalah era baharu bagi menjadikan Malaysia negara yang benar-benar saintifik. Menyelesaikan semua krisis negara dengan sains, bukan sekadar iltizam politik yang bermusim.
- Program Perintisan Nasional. Atau National Apprenticeship Program.
- Presiden Jerman dalam lawatan beliau ke Malaysia minggu lepas telah membuat satu pengamatan yang sangat penting.
- Kekurangan tenaga mahir dengan latihan vokasional. Ini adalah masalah nasional yang terus menerus kita bincangkan. Namun tiada penyelesaian yang tuntas.
- Sedangkan kita melabur besar-besaran dalam bidang ini. Malah, semua pihak kelihatan teruja dan mahu menjayakannya. Tetapi kita masih tidak berganjak jauh. Jadi, di mana silapnya?
- Saya rasa ada dua masalah utama. Pertama, politeknik dan kolej komuniti kita beroperasi dengan mode yang tidak berubah sepantas pergerakan industri.
- Kedua, pendekatan pendidikan vokasional kita tidak menekankan pengalaman industri tetapi menjadi terlalu akademik.
- Kedua-dua perkara ini harus berubah.
- Maka, keutamaan saya dalam semakan RMK-12 ini adalah untuk mengindustrikan politeknik dan kolej komuniti kita.
- Politeknik dan kolej komuniti mesti mengubah cara mereka bergerak. Kita mesti bersifat industry-focused, industrial relevant dan industrial driven. Segalanya mesti berpaksi pada industri.
- Program politeknik dan kolej komuniti mesti lari dari pemahaman akademik konvensional. Sebaliknya, menekankan nilai pengalaman dan nilai kemahiran, bukan ‘segulung diploma’.
- Cadangan saya ialah untuk kita memulakan projek perintisan nasional.
- Membawa pelajar kita ke pelbagai sektor industri dan merancakkan pendekatan constructivism dan experiential learning iaitu pembelajaran berasaskan pengalaman dan interaksi proaktif dengan dunia sebenar.
- Maknanya, kita mesti memastikan 70% masa pelatih politeknik adalah bergelumang dengan industri. Bekerja, belajar dan memperkaya kemahiran dan pengalaman.
- Mereka mesti meluangkan 2 hingga 3 tahun daripada pengajian diploma mereka di dalam industri. Bukan di dalam dewan kuliah politeknik.
- Program perintisan dengan wajah dan pendekatan baharu ini sangat kritikal.
- Kerana kita akan membawa pelajar kita terus menerjah masuk ke lapangan. Ke industri. Ke kilang. Ke pelbagai sektor pekerjaan. Fesyen, makanan, sukan, pembuatan dan pelbagai lagi.
- Ringkasnya, belajar di politeknik selepas ini bererti mereka akan menjalani satu proses perantisan yang sistematik dan radikal.
- Saya mahu belajar di politeknik menjadi satu trend yang Yang berupaya memberi imaginasi kepada anak muda tentang peluang kerjaya yang lumayan, profesional dan dihormati.
- Bagaimana kita akan melaksanakannya?
- Saya sarankan satu jawatankuasa pemandu ditubuhkan segera. Bangunkan kerangka yang boleh membantu kita memimpin kabinet membuat pertimbangan yang berani dan penting ini.
- Kita mesti meyakinkan kerajaan untuk memberikan kita dana permulaan yang sesuai. Kita kenal pasti pihak industri yang bernilai tinggi untuk dibawa bagi menjayakan misi kita. Kita tetapkan mandat dan peranan masing-masing dengan insentif khas dari kerajaan.
- Dan kita mulakan dengan projek rintis.
- Saya difahamkan ada sehingga 700 buah syarikat Jerman yang beroperasi di Malaysia. Mungkin kita boleh memulakan projek rintis ini dengan bekerjasama dengan mereka. Kerana mereka sangat berjaya dalam melaksanakan program perintisan di negara mereka.
Saudara dan saudari,
- Seterusnya, fokus ketujuh, saya ingin menyentuh tentang akses kepada pendidikan tinggi untuk golongan paling miskin, paling dhuafa.
- Saya telah menegaskan bahawa tiada sesiapa yang berbakat, yang pintar, yang mempunyai keperkasaan untuk maju, akan kita biarkan tercicir dari sistem pendidikan nasional kita.
- Kita berkewajipan membuka ruang untuk mereka maju. Menjadi berilmu. Dan menjadi produktif dalam masyarakat.
- Saya ingin meneroka mekanisme baharu.
- Pertama, saya akan memfokuskan beberapa bulan akan datang untuk merekayasa PTPTN. Kita mesti mendepani hakikat bahawa ia bukan lagi model pembiayaan yang lestari.
- Kita terbeban dengan hutang yang tiada siapa tahu bagaimana kita akan selesaikan.
- Saya akan mendepani masalah ini dan merungkainya. Saya tidak mahu ia dibiarkan membarah sehingga ia menjadi beban nasional yang semakin kritikal. PTPTN bukan modal politik.
- Ia mesti dibantu. Beberapa pakar kewangan akan membantu saya.
- Kedua, saya ingin mencari mekanisme baharu untuk kita membiayai pendidikan mereka yang benar-benar miskin dan memerlukan.
- Program SULUNG mesti digerakkan secara besar-besaran. Bukan setakat 80 pelajar setahun. Tetapi dijayakan dengan melihat kapasiti setiap universiti.
- Setiap IPT mesti mencari jalan untuk mengambil komitmen yang lebih besar dengan kadar penyertaan yang lebih ramai.
- Saya yakin, adalah tidak mustahil untuk kita memastikan sekurang-kurangnya 15 ribu pelajar dari keluarga B40 di seluruh negara mengikuti pengajian tinggi secara percuma.
- Kelapan dan terakhir, transformasi Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi atau AKEPT.
- Jika kita perhatikan, segala masalah yang kita depani waktu ini, boleh saya simpulkan berpunca daripada isu utama iaitu kepimpinan.
- Kita tidak melabur dengan memadai untuk membangunkan kualiti kepimpinan dalam sistem pendidikan tinggi kita.
- Ramai yang mahukan jawatan. Malah mendambakannya. Tetapi ramai yang tidak mempunyai kompetensi untuk memimpin dengan berkesan.
- Jadi, saya ingin mengubah situasi ini. Membangun dan melahirkan bakat pemimpin bermutu dan berprestasi akan turut menjadi salah satu keutamaan saya dalam semakan RMK-12 ini.
- AKEPT mesti kita transformasikan. Bukan sekadar dinaiktaraf atau menukar nama atau membuat pembaharuan kecil bersifat kosmetik.
- Sebaliknya, struktur, dana, pengisian dan fungsi besarnya akan diperkemas semua. Ia mesti menjadi institusi nasional yang berperanan global.
- Ia harus mandiri dari segi kewangan. Ia mesti mengimbangi antara tugas patriotiknya pada negara. Tetapi pada waktu yang sama, menjana pendapatan bagi memastikan kelangsungannya.
- AKEPT mesti dipimpin oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif, yang misi nasionalnya adalah menyediakan bakat terbaik kita untuk memimpin dengan prestasi.
- Yang akan kita latih bukan hanya rakyat tempatan. Tetapi AKEPT mesti bersedia untuk menawarkan perkhidmatannya kepada pelbagai negara membangun lain.
- Ia harus menjalin kerjasama bukan sekadar dengan IPT. Tetapi dengan pelbagai agensi nasional dan institusi antarabangsa seperti Bank Dunia, Asian Development Bank dan pelbagai negara sahabat.
- Programnya akan menjadi ‘mandatori’ untuk mereka yang dikenal pasti berpotensi memimpin IPT negara. Ia mesti menjadi setara dengan Lee Kuan Yew School of Public Policy.
- Maka, sebagai permulaan, saya mengusulkan dana khas bagi menyokong transformasi AKEPT dalam RMK-12.
Saudara-saudari sekalian;
- Sudah 12 RMK dilaksanakan. Sepatutnya kita sedang memecut dan menjadi kalis masalah.
- Jadi, kita mesti menjadikan RMK12 ini sebagai turning point atau persimpangan baharu kepada masa depan sektor pendidikan tinggi.
- Kita tidak boleh lagi mengulangi segala kesalahan lepas.
- Kita mesti membangunkan keazaman untuk memastikan segala ikhtiar kita berakhir dengan impak terbaik. Agar yang menjadi lebih baik kelak bukan sahaja KPT, tetapi negara secara keseluruhannya.
- Demikianlah cita-cita saya untuk penggal kedua RMK12 ini.
- Kita masih punya masa.
- Marilah kita menggunakan ruang dan peluang ini sebaik-baiknya. Mengubah segala yang perlu. Mengubah bukan sekadar mengubah. Tetapi mengubah dengan tekad dan semangat untuk melonjak dan memastikan keluar sebanyak mungkin kebaikan darinya.
- RMK-12 tidak boleh dilihat sebagai pelan pembangunan dengan deretan prasarana semata-mata. Ia mesti dijadikan titik tolak kepada sebuah agenda pembangunan seimbang, syumul dan lestari untuk Malaysia. Agenda pembangunan yang mengambil kira pelbagai dimensi pembangunan dan sisi keselamatan insan.
- Saya mengalu-alukan saranan yang bernas dari semua. Idea yang luar biasa. Pemikiran di luar kotak. Suarakanlah pandangan dan kritikan yang jujur dan benar. Ini adalah masa kita membuat perubahan demi kebaikan.
- Semak dan posisikanlah semula RMK-12 ini dengan cermat, dengan niat mempersembahkan ‘the new Malaysia’s exceptionalism’.
- Saya yakin kita mampu melakukannya. Semoga usaha kita ini dipermudah dan menjadi asbab kebaikan, insya-Allah.
- Sekian terima kasih.
Muat Turun:
pdf TU YBM - Majlis Perasmian Bengkel TWG RMK12.pdf (166 KB)
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 25390