logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MoU) ANTARA UNIVERSITI MALAYA (UM) DAN INFINITY LOGISTICS & TRANSPORT SDN. BHD

23 FEBRUARI 2023


Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Semalam saya telah menggulung Perbahasan Titah DiRaja di Parlimen. Kira-kira 29 Ahli Parlimen dari seluruh negara membangkitkan isu berkaitan Pendidikan Tinggi.
  1. Sebahagian besarnya menyentuh tentang kepentingan hubungan industri dengan IPT.
  1. Dan bagaimana kita dapat memastikan pengajian yang ditawarkan oleh universiti mempunyai padanan yang relevan dan memenuhi keperluan pasaran.
  1. Ramai Ahli Parlimen menyuarakan pandangan dan keresahan mereka. Kononnya jurusan pengajian kita di universiti tidak updated, memakan tempoh yang terlalu lama dan tidak menjamin pekerjaan selepas tamat pengajian.
  1. Sudah pasti saya tidak bersetuju dengan pandangan sedemikian. Memang benar ada jurusan dan program yang mesti ditambah baik.
  1. Namun, untuk membuat blanket conclusion bahawa program-program pengajian kita terpisah dari realiti dan perkembangan industri, adalah juga tidak tepat.
  1. Jadi, apa yang akan kita saksikan hari ini adalah salah satu bukti jelas yang menyanggah dakwaan tersebut.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Bagi pihak saya secara peribadi dan KPT secara amnya, kita sudah pastinya berbesar hati untuk mengalu-alukan penglibatan industri dalam universiti.
  1. Zaman kedua-dua entiti ini bergerak secara berasingan atau saling bersaing, sudah berlalu.
  1. Sekarang adalah zaman untuk kita melonjakkan segala manfaat dan kebaikan dengan menggabungkan perspektif serta pengalaman semua pihak.
  1. Namun begitu, saya juga ingin tegaskan yang kerjasama antara universiti dan industri haruslah dilakukan dengan cara yang teliti dan terancang.
  1. Pertama, hubungan dan kerjasama universiti dan industri mestilah bersifat strategik.
  1. Ini bermakna, kedua-dua pihak industri dan universiti mesti menerima manfaat yang jelas dan menguntungkan kedua-dua pihak.
  1. Universiti tidak boleh beroperasi atau menurut sahaja kehendak industri. Sebarang tuntutan atau desakan industri mesti diteliti dan dilakukan dengan cara yang seimbang, objektif dan praktikal.
  1. Universiti mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk mempertahankan integriti dan kesarjanaan dunia akademik.
  1. Namun, pada masa yang sama, sebagai sebuah syarikat logistik yang mempunyai jangkauan perkhidmatan merentasi Asia Tenggara, saya percaya INFINITY juga mempunyai peranan dan jangkaan mereka yang tersendiri terhadap pihak UM.
  1. Jadi, kita boleh faham yang kehadiran INFINITY ke UM ini dijayakan dengan harapan ia akan memberi impak dan nilai tambah yang sebenar kepada kedua-dua pihak.
  1. Dan kalau boleh, biarlah ia mesti merentas dan melangkau perspektif mendapatkan bekalan bakat atau sumber manusia semata-mata.
  1. Ia mesti melibatkan pemindahan kepakaran, perkongsian ilmu serta pemantapan amalan terbaik.
  1. Terutamanya dalam pendekatan double helix ini, segala isu dalam industri akan dapat dikongsikan secara terus dengan universiti.
  1. Menjadi peranan universiti untuk membantu memikirkan saranan atau jalan penyelesaian menggunakan ilmu dan kepakaran yang ada di fakulti.
  2. Atas dasar itu, apabila dimaklumkan bahawa di bawah kerjasama ini, pihak INFINITY akan bersama-sama dengan Universiti Malaya untuk membuka makmal penyelidikan di sini, saya amat berbesar hati.
  1. Kerana saya sedar, pembukaan makmal penyelidikan tersebut akan membolehkan perkongsian input industri dan penyelidikan akademik berjalan dengan rancak dan seiring.
  1. Kedua, hubungan dan kerjasama universiti dan industri mestilah dilakukan dengan sasaran untuk memperkemas operasi, teknologi dan amalan semasa.
  1. Kita harap dengan kehadiran INFINITY, pihak Universiti Malaya akan berupaya untuk membuat audit atau semakan ke atas kandungan pengajiannya.
  1. Ia akan menjadi satu petunjuk yang baik dalam memastikan kandungan pengajian di universiti diselaraskan secara berkala dan selari dengan perkembangan yang berlaku dalam pasaran.
  1. Begitu jugalah kepada pihak INFINITY, kita percaya, kehadiran mereka di Universiti Malaya pastinya akan membolehkan mereka mengubah pelbagai amalan dan sistem yang mereka gunakan selama ini.
  1. Inilah masa untuk pihak industri memantapkan operasinya.
  1. Misalnya, di bawah kerjasama ini, saya yakin akan terdapat banyak saranan dan dapatan dari UM yang boleh membantu pihak INFINITY menjimatkan kos operasi.
  1. Atau kalian akan bersama-sama menemui jalan terbaik untuk mengadaptasi gelombang pendigitalan, sekali gus dapat meningkatkan kecekapan operasi. Serta meneroka cakupan pasaran baharu.
  1. Atau, untuk merancang pelan jangka panjang dalam mengangkat agenda kelestarian, sekali gus melonjakkan profil dan pengiktirafan kepada pihak INFINITY.
  1. Kesemua ini adalah potensi-potensi yang mesti diterokai secara radikal dan proaktif.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Ketiga, kerjasama industri dan universiti mestilah turut mensasarkan manfaat dan pulangan jangka panjang.
  1. Saya difahamkan bahawa industri logistik adalah satu industri yang mempunyai saiz pasaran yang besar. Dianggarkan nilainya telah mencecah kira-kira 10.41 trilion Euro sehingga tahun 2022.
  1. Dan dianggarkan nilai global ini akan meningkat kepada 13.71 trilion menjelang tahun 2027.
  1. Dalam konteks Malaysia secara khususnya, saiz industri ini telah mencecah USD 36 bilion pada tahun 2020 lalu. Dan dalam tempoh 5 tahun lagi, pasaran logistik dianggarkan mampu mencecah nilai USD 54 bilion.
  1. Berdasarkan potensi ini, saya yakin banyak manfaat akan dapat diperoleh oleh semua pihak dalam pelbagai bentuk.
  1. Khususnya apabila kerjasama ini akan melibatkan 3000 orang penuntut dan 70 orang anggota akademik Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) ini sebagai penyelidik.
  1. Pendekatan ini sudah pastilah akan memberi direct exposure yang mencabar dan intensif kepada para pelajar dan penyelidik. Jadi, pendedahan ini tidak seharusnya terhad setakat tempoh pengajian sahaja.
  1. Jadi, saya harap, pihak INFINITY boleh mempertimbangkan untuk menyerap dan mengambil khidmat mereka dalam tempoh jangka panjang termasuklah selepas menamatkan pengajian.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Sekali lagi, saya mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pihak, Universiti Malaya dan Infinity Logistics and Transport Sdn Bhd atas kerjasama yang baik ini.
  1. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada kedua-dua pihak.
  1. Sekian, terima kasih.

Muat Turun:

pdf Majlis MOU di antara UM dan Infinity Logistics & Transport.pdf (93 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 9829
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim