logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI

MAJLIS PELANCARAN MOBILE APP PTPTN

29 MAC 2022


PENDAHULUAN

1. Terlebih dahulu, marilah kita merafakkan kesyukuran ke  hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin dan inayah-Nya, kita dapat  bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Mobile App PTPTN  pada petang ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana  menjemput saya pada hari ini. 

2. Sesungguhnya, hari ini menyaksikan kejayaan PTPTN yang buat julung kalinya membangunkan mobile app. Sudah tentu pelancaran Mobile App PTPTN akan memberikan manfaat dan  kemudahan kepada masyarakat Malaysia, khususnya pelanggan  PTPTN. 

3. Saya sangat berbangga dengan PTPTN atas lakaran sejarah  yang sangat bermakna dalam memperkukuh agenda pendigitalan  kerajaan dan memenuhi aspirasi pendigitalan pendidikan tinggi. Tahniah dan syabas kepada PTPTN atas penganjuran ini.

 

MEMPERKASA AGENDA PENDIGITALAN KERAJAAN Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

4. Sejak negara dilanda pandemik pada tahun 2020, gelombang  digital terus membadai masyarakat sejagat, mencapai skala yang  tidak pernah tercapai sebelum ini, dan telah merubah sama sekali  gaya hidup masyarakat di seluruh pelosok dunia. Mendakap  perubahan ini, inisiatif MyDIGITAL telah dilancarkan oleh Kerajaan pada tahun lalu sebagai suatu hala tuju untuk mentransformasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan  teknologi dan pendigitalan.

5. Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021 – 2025 turut digubal bagi memandu hala tuju strategik pelaksanaan  pendigitalan Sektor Awam untuk tempoh lima (5) tahun selaras  dengan agenda Kerajaan Digital mapan dan pembentukan masyarakat digital.

6. Oleh itu, pendekatan PTPTN memperkenalkan mobile app  adalah sangat tepat dengan aspirasi Kerajaan. Perkhidmatan  dalam talian yang dikenali sebagai end-to-end atau ringkasnya  E2E akan menambah baik dan meningkatkan kecekapan serta  keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

INISIATIF PENDIGITALAN PTPTN

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

7. Sejak ditubuhkan pada 1 Julai 1997, saya lihat PTPTN  sentiasa komited memastikan pengurusan dana simpanan dan  pinjaman dapat diuruskan secara efektif berlandaskan tadbir urus  yang cemerlang, berintegriti dan strategik. Saya difahamkan  bahawa usaha ini didukung kukuh oleh Pelan Strategik PTPTN  yang kini telah memasuki tempoh lima tahun seterusnya, iaitu 2021– 2025.

8. Salah satu strategi yang digariskan adalah dengan memfokuskan kepada usaha pendigitalan PTPTN seperti yang  terkandung dalam Teras Ke-5 Pelan Strategik PTPTN. Melalui  teras ini, organisasi diperkasakan ke arah yang lebih dinamik dan  cemerlang berlandaskan pendigitalan. Matlamatnya adalah bagi  memastikan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan tidak  terjejas dan sentiasa di tahap yang terbaik.

9. Selaras dengan itu, PTPTN sentiasa menambah baik perkhidmatan dalam talian dan menyediakan pelbagai saluran  pembayaran dalam talian untuk menggalakkan bayaran tanpa  tunai, lebih-lebih lagi bagi urusan bayaran balik pinjaman PTPTN  dan penambahan deposit Simpan SSPN. Pada tahun 2021 sahaja,  sebanyak tujuh (7) saluran bayaran dalam talian telah  diperkenalkan dan ini memudahkan pelanggan membuat bayaran  tanpa perlu ke kaunter PTPTN.

10. Justeru, dengan adanya mobile app PTPTN yang  mengintegrasikan semua kemudahan dalam satu sistem, saya  yakin akses pelanggan kepada PTPTN akan menjadi lebih mudah.  Malah, mobile app ini akan membuka ruang dan peluang kepada  masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan PTPTN pada bila-bila dan di mana-mana sahaja tanpa sempadan dengan lebih  mudah, cepat dan selamat

11. Tuntasnya, pelancaran mobile app ini merupakan manifestasi  PTPTN dalam menjayakan agenda pendigitalan negara. Lebih  bermakna, momen pada hari ini juga merupakan kemuncak dalam  kita meraikan Sambutan Jubli Perak PTPTN pada tahun ini.  Syabas saya ucapkan!

 

PELANCARAN MOBILE APP PTPTN

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

12. Mobile App PTPTN sememangnya sangat dinanti nantikan oleh masyarakat Malaysia. Kemudahan ini bakal memanfaatkan lebih 3.63 juta peminjam dan 5.28 juta pendeposit Simpan SSPN. Pelbagai kelebihan ditawarkan. 

13. Jika sebelum ini pelanggan perlu masuk di portal yang  berbeza untuk mendapatkan perkhidmatan PTPTN. Kini,  pelanggan dapat menikmati pelbagai kemudahan PTPTN  berkaitan bayaran balik, simpanan dan pinjaman dalam satu  aplikasi secara Single Sign On (SSO). Inilah kecanggihan teknologi  dalam mobile app PTPTN, yang dikenali sebagai myPTPTN.

14. Menariknya, saya telah dimaklumkan bahawa nama ini  dicetuskan oleh pegawai PTPTN sendiri, iaitu Encik Mohd Safarin  bin Hamsin melalui saluran MyIdea PTPTN, yang merupakan platform bagi warga PTPTN melontarkan idea-idea baharu demi kemajuan PTPTN. Tahniah Encik Mohd Safarin dan terima  kasih saya ucapkan.

15. Untuk makluman, antara kemudahan yang disediakan dalam  myPTPTN ialah semakan penyata pinjaman; bayaran balik  pinjaman; semakan penyata Simpan SSPN; pembukaan akaun  dan penambahan deposit Simpan SSPN; serta permohonan  potongan gaji dan Debit Terus bagi bayaran balik pinjaman  dan Simpan SSPN.

16. Dalam memastikan keselamatan pengguna, myPTPTN turut  dilengkapi dengan teknologi keselamatan terkini. Setiap pengguna  memerlukan pegesahan identiti secara elektronik sebelum  membuat sebarang urus niaga termasuk dengan cara pengesahan  e-mel dan nombor telefon semasa pendaftaran serta transaksi  disahkan dengan menggunakan Transaction Authorisation Code  (TAC). Oleh itu, para pengguna tidak perlu bimbang untuk  menggunakan kemudahan dalam myPTPTN. Segala transaksi  adalah mudah, selamat dan terjamin.

PENGHARAPAN

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

17. Saya berharap pelancaran mobile app myPTPTN ini menjadi  turning point kepada agensi-agensi kerajaan lain terutama di  bawah KPT untuk sama-sama berganding bahu dalam  menjayakan agenda pendigitalan negara.

18. Memandangkan agenda ini memerlukan komitmen yang  tinggi, semua pihak disarankan untuk meneroka peluang  kerjasama strategik dengan agensi swasta demi manfaat bersama.  Marilah kita bekerjasama untuk memastikan sasaran inisiatif  pendigitalan kerajaan, iaitu peningkatan kepada 80 peratus  perkhidmatan dalam talian dalam sektor awam menjelang tahun  2025 dapat dicapai.

PENUTUP

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

19. Sebagai penutup bicara, sekali lagi saya ucapkan syabas  kepada PTPTN kerana telah berjaya membangunkan mobile app myPTPTN. Diharapkan PTPTN terus memacu citra kecemerlangan dalam melaksanakan visi dan misi PTPTN demi kejayaan anak bangsa.

20. Dengan lafaz yang mulia, Bismillahir Rahmanir Rahim,  saya dengan sukacitanya merasmikan Mobile App myPTPTN.

Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu’alaikum wa  rahmatullahi wa barakatuh.

Muat Turun:

  pdf Teks Ucapan YBM Majlis Pelancaran Mobile App PTPTN (119 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 14535
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 03 Oktober 2024, 04:17:23.

logo-sirim