TEKS UCAPAN
YB DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI
MAJLIS AMANAT YANG BERHORMAT
MENTERI PENGAJIAN TINGGI
TAHUN 2022
17 JANUARI 2022
MUKADIMAH PEMBICARAAN
- Terlebih dahulu marilah kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T., kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua, kita dapat berhimpun dalam Majlis Amanat Tahun Baharu KPT pada petang ini. Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada semua ahli Keluarga KPT, tidak kira di mana pun anda berada – di kementerian, jabatan, agensi, mahupun di peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) seperti di Universiti Awam (UA), universiti swasta, Politeknik dan juga Kolej Komuniti. Terima kasih atas usaha, kerja keras dan sokongan anda semua sepanjang tahun 2021.
- Tidak terlambat juga untuk saya ucapkan Selamat Tahun Baharu 2022 kepada semua Keluarga KPT. Saya berdoa semoga tahun ini menghadirkan sinar baharu dalam memulihkan semula kehidupan kita semua setelah melalui tempoh pandemik yang panjang.
KELUARGA #KPTPRIHATIN: MISI MENYANTUNI MANGSA BANJIR
Keluarga KPT yang saya kasihi sekalian,
- Pada akhir tahun 2021, kita diuji dengan bencana banjir yang memberikan kesan kepada begitu ramai mangsa, di beberapa lokasi seperti Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Melaka, Kelantan, Sabah dan beberapa negeri lain. Malah, seramai 8,570 orang Keluarga KPT menjadi mangsa banjir, yang terdiri daripada 1,306 orang kakitangan dan 7,264 orang pelajar IPT di seluruh negara.
- Salah seorang mangsa yang saya temui semasa saya ke Karak, ialah Puan Suriyati binti Abdul Mokhtar, Pensyarah DH41 di Kolej Komuniti Bentong. Beliau yang tinggal berjauhan dengan suami, terpaksa menyelamatkan diri bersama-sama dengan anak perempuannya yang baru berusia enam bulan. Bayangkan, tanpa suami di sisi, Puan Suriyati begitu cekal dan sedaya upaya memikirkan cara bagi menyelamatkan diri dan juga nyawa anaknya. Dia letak anaknya dalam kotak simpanan barang, dan junjung kotak itu selama lebih kurang empat jam, sedangkan pada masa yang sama, air sudah berada di paras leher beliau. Dalam hati beliau tidak putus berdoa agar anaknya dapat diselamatkan. Malah, beliau pasrah, jika ditakdirkan inilah saat kematiannya, maka biarlah Allah ambil nyawanya dan selamatkan anaknya. Sempat juga beliau memohon ampun dan maaf kepada suaminya melalui pesanan suara. Alhamdulillah, takdir masih menyebelahi Puan Suriyati dan anaknya apabila dua anggota bomba tiba memberikan bantuan. Salah seorang daripada anggota bomba ini turut memberikan Puan Suriyati jaket keselamatannya sementara pergi mendapatkan sampan untuk membawa mereka ke tempat yang lebih selamat.
- Sebagai respons strategik KPT mendepani bencana banjir, seawal 19 Disember 2021, KPT telah menggerakkan Keluarga #KPTPrihatin: Misi Menyantuni Mangsa Banjir. Bilik Gerakan Banjir@KPT telah diaktifkan serta-merta bagi menyelaras penyaluran segera bantuan, khususnya makanan dan keperluan asas lain kepada Keluarga KPT yang terkesan. Semua IPT juga membuka Bilik Gerakan masing-masing. Berbekalkan semangat Keluarga Malaysia iaitu kebersamaan dalam mengharungi susah dan senang, Keluarga KPT cakna menghulurkan bantuan, bukan sahaja kepada warga KPT dan IPT yang terlibat, tetapi diperluaskan skopnya kepada komuniti sekitar.
- Melalui Majlis Sukarelawan Universiti-universiti Malaysia (MASKUM), kita telah berjaya menggerakkan seramai 23,745 orang sukarelawan merangkumi 4,610 orang sukarelawan daripada KPT dan agensi; serta 19,135 orang sukarelawan daripada UA serta Politeknik dan Kolej Komuniti; khususnya bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan pasca banjir. Saya sendiri berkesempatan untuk turun padang bersama-sama dengan pengurusan tertinggi KPT dan sukarelawan IPT ke beberapa lokasi bagi memastikan bantuan segera dihulurkan kepada mereka yang memerlukan, yang meliputi 58 kawasan parlimen keseluruhannya.
- Selain melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan pembaikan peralatan yang rosak, KPT turut mengagihkan sumbangan berbentuk keperluan barang makanan dan peralatan. Sebanyak 43,806 kotak sumbangan dengan nilai hampir RM3.6 juta serta wang tunai sebanyak RM364,903 telah diagihkan. Kita juga telah menyediakan fasiliti kepada seramai 1,320 orang mangsa banjir di sembilan (9) buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di enam (6) UA, dua (2) politeknik dan satu (1) kolej komuniti. Dalam pada itu, daerah Kuala Langat, Selangor dan Temerloh, Pahang telah dijadikan sebagai daerah angkat KPT bagi tujuan mempercepatkan kerja-kerja pembersihan pasca banjir.
- Justeru, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam misi banjir KPT, sama ada daripada agensi-agensi Kerajaan, sukarelawan-sukarelawan terdiri daripada pegawai dan pelajar daripada KPT dan pelbagai IPT, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), juga individu-individu yang bertungkus lumus membantu menjayakan misi ini. Begitu juga bantuan dan sumbangan daripada sektor korporat mahupun orang perseorangan. Terima kasih, syabas dan tahniah atas kecaknaan anda semua.
REFLEKSI PENCAPAIAN KPT 2021
Hadirin yang dihormati,
- Sesungguhnya tahun 2021 adalah satu perjalanan yang penuh liku. Kekangan SOP dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedikit sebanyak memberikan kesan kepada pelaksanaan program dan aktiviti KPT. Namun, itu bukanlah halangan, malah kita cuba menyesuaikan pelaksanaan program mengikut SOP yang berkuat kuasa. Alhamdulillah, banyak yang berjaya kita capai.
- Pertama sekali, saya ingin berkongsi kejayaan inisiatif di bawah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 Hari. Melalui inisiatif program FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia, lebih 470 ribu baucar makanan percuma telah diberikan kepada pelajar B40 secara bersasar. Manakala dalam program VACC2CAMPUS, seramai 1.1 juta orang merangkumi warga IPT yang terdiri daripada pelajar, staf akademik dan bukan akademik, telah lengkap menerima vaksin. Seterusnya, dalam memastikan keselamatan warga kampus terpelihara selain mencegah penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pelajar IPT, sebanyak 1.2 juta unit RTK telah dibekalkan. Menerusi program GETHIRED@KPT pula, seramai 14,740 orang graduan berjaya mendapat pekerjaan.
- Semasa ucapan amanat tahun lepas, saya telah lontarkan enam (6) fokus strategik KPT bagi tahun 2021. Pertama, “Memperkasakan Agenda Pendigitalan Pendidikan”. Tahun 2021 ialah tahun untuk mempersiap ekosistem pendigitalan bagi pendidikan tinggi. Alhamdullilah, KPT telah berjaya membangunkan draf Pelan Pendigitalan Pendidikan Tinggi. Berdasarkan perkiraan awal, kita memerlukan sekitar RM4.4 bilion bagi memastikan kelancaran pelaksanaan pendigitalan pendidikan tinggi negara.
- Pada tahun lepas juga kita telah membangunkan Laporan Kajian “Digitalising of Teaching and Learning in Higher Education: A Reality Check”. Laporan ini memuatkan cadangan inisiatif berhubung dengan dasar serta polisi pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian di IPT, yang akan menjadi rujukan dan panduan KPT bagi menambah baik pendekatan pelaksanaan PdP dalam talian.
- Pelbagai program juga sedang dilaksanakan bagi memperkasakan pendigitalan pendidikan tinggi, mencakupi pembangunan kandungan digital dan peluasan program Open and Distance Learning, ODL serta mempertingkatkan kerjasama dengan Commonwealth of Learning. Pendigitalan pembelajaran TVET juga rancak direka bentuk dengan program 4IR Flagship, IEntertainment dan seumpamanya.
Hadirin sekalian,
- Bagi fokus strategik kedua, “Memantapkan Jaringan Kolaborasi Strategik”, kita telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara. Sepanjang tahun 2021, KPT terlibat dalam rundingan MoU dengan beberapa negara luar, antaranya Jepun, Republik Arab Mesir, Australia, Hungary, Poland, Perancis, Georgia, Itali dan satu pertubuhan antarabangsa, iaitu Bank Pembangunan Islam (IsDB).
- KPT juga terlibat dalam Minggu Pendidikan Expo 2020 Dubai yang telah berlangsung dari 13 hingga 18 Disember 2021, dengan 34 penyertaan daripada agensi kerajaan, IPTA, IPTS serta syarikat-syarikat francais pendidikan. Hasilnya, sebanyak 18 MoU bernilai RM44.3 juta telah dimeterai melibatkan universiti dan syarikat tempatan dengan rakan kerjasama luar. Sebanyak 179 sesi business matching juga telah dilaksanakan dengan pihak-pihak berkepentingan dalam sektor pendidikan di UAE.
- KPT turut menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi, syarikat dan badan tertentu. Misalnya, kerjasama dengan Huawei Malaysia untuk program Seeds for the Future 2021; Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC), TalentCorp dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk pelaksanaan program reskilling dan upskilling; serta dengan yayasan seperti Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR), Yayasan Tenaga Nasional (YTN) dan Yayasan Hasanah untuk biasiswa dan bantuan peranti kepada pelajar.
- Menerusi inisiatif Public Private Research Network (PPRN) pula, sebanyak 13 projek baharu diluluskan pada tahun 2021 dengan kos hampir RM850 ribu. Saya juga berbangga dengan pelaksanaan program Festival of Ideas (FOI), yang sehingga kini mengandungi 103 video sesi sumbang saran.
- Selain itu, kita juga telah menganjurkan beberapa mesyuarat utama seperti Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Tinggi (JPPT), serta Persidangan Meja Bulat dan Mesyuarat Penasihat Industri Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang melibatkan seramai 21 peneraju industri, dengan beberapa keputusan penting yang perlu dipantau pelaksanaannya.
Para hadirin yang dimuliakan,
- Dalam fokus strategik ketiga “Memperkukuh Kebolehpasaran Graduan” pula, KPT komited membantu graduan IPT untuk mendapatkan pekerjaan melalui pelbagai program. Penurunan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 1.8 peratus kepada 84.4 peratus pada tahun 2020 berbanding 86.2 peratus pada tahun 2019 menunjukkan pandemik COVID-19 sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap kebolehpasaran graduan.
- KPT terlibat aktif menyumbang kepada sasaran 500,000 penciptaan dan penempatan pekerjaan bagi tahun 2021 yang ditetapkan oleh Majlis Pekerjaan Negara (NEC). Peranan KPT sebagai sekretariat bersama untuk STF TVET serta STF National Education menyaksikan sebanyak lebih 120,000 orang telah menerima manfaat sama ada dari segi peningkatan kemahiran, penciptaan dan penempatan pekerjaan, serta penjanaan pendapatan sepanjang tahun 2021. Di bawah payung program PENJANA KPT, kita ada PENJANA KPT-CAP di UA, Politeknik dan Kolej Komuniti, IPTS serta PENJANA KPT-PACE. Pada tahun lepas, sejumlah 603 program telah diluluskan yang memanfaatkan seramai 41,309 orang graduan.
- Bagi merancakkan lagi momentum ini, Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2021 – 2025 telah dilancarkan pada 16 Oktober 2021. PSKG merupakan satu dokumen dasar dan strategi penting untuk memberikan panduan berhubung dengan aktiviti kebolehpasaran graduan kepada semua IPT bagi tempoh lima (5) tahun akan datang. Kita juga telah bangunkan Modul Pemadanan Pekerjaan (JobMatching@GREaT) di Portal GREaT.
- Sejajar dengan perubahan norma baharu kaedah PdP, kita juga telah berjaya membangunkan kerangka Experiential Learning and Competency-Based Education Landscape (EXCEL). Seterusnya bagi mendukung kelestarian agenda keusahawanan di IPT, kita telah melancarkan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT (PTK IPT) 2021–2025 dan MOHE Guide to Entrepreneurship Integrated Education (EIE). Majlis Keusahawanan Pendidikan Tinggi Nasional (MKPTN) turut diaktifkan semula dengan pelantikan seramai 30 orang ahli baharu. Malah bagi membantu meningkatkan kemahiran dan mengembangkan perniagaan mahasiswa, MoHE-Shopee: Siswa Mall telah dilancarkan pada 25 November 2021 lalu, dan bakal memanfaatkan seramai 5,000 graduan.
- Bagi pencapaian fokus strategik seterusnya, iaitu “Memacu Kesejahteraan Komuniti”, kita telah beri suntikan baharu kepada program Service-Learning Malaysia, Universiti for Society (SULAM) dengan penganjuran pertandingan e-SULAM INNOVATE 2021. Sejumlah 887 kumpulan dari pelbagai IPT seluruh negara telah mengambil bahagian. Persidangan SULAM buat julung kalinya juga telah diadakan pada Oktober 2021 dan insya Allah akan dijadikan sebagai acara tahunan selepas ini.
- KPT juga komited memberikan pendidikan yang adil dan saksama kepada semua golongan pelajar. Kita telah berjaya membangunkan National Inclusive Open Educational Resources policy (iOER), polisi yang pertama seumpamanya di dunia bagi menyokong inklusiviti dalam penyediaan bahan PdP serta penyelidikan yang boleh diakses secara terbuka, dan akan dikongsikan dengan pihak UNESCO untuk diadaptasi oleh negara lain.
- Dalam fokus strategik kelima iaitu “Mempersada Kecemerlangan Institusi”, kita diberi kepercayaan untuk menjadi sekretariat Majlis TVET Negara (MTVET). Mesyuarat pertama MTVET pada 11 Februari 2021 telah dipengerusikan oleh Mantan YAB Perdana Menteri ketika itu, iaitu Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Muhammad Yassin, diikuti oleh Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (JKE) yang saya pengerusikan bersama dengan YB Menteri Sumber Manusia. Sesungguhnya, gabungan pelbagai Kementerian, agensi penyedia TVET, wakil industri dan juga tokoh akademia dalam platform ini berupaya mengangkat agenda pemerkasaan TVET sebagai agenda utama nasional.
- Selain itu, kita juga telah berjaya menerbitkan Kod Pendidikan Nasional atau National Education Code 2020 (NEC-2020). NEC-2020 ini dibangunkan berpandukan kepada piawaian antarabangsa oleh UNESCO, serta disesuaikan dengan program dan latihan yang terdapat di negara ini.
Keluarga KPT yang saya hormati,
- Kita amat berbangga dengan penyertaan atlet IPT dalam Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 yang lalu. Daripada 30 orang atlet yang mewakili Malaysia, seramai sembilan (9) orang atau 30 peratus ialah atlet IPT. Selain insentif kewangan kepada semua atlet IPT terlibat, Biasiswa Atlet Cemerlang IPT 2021 turut diberikan kepada empat (4) orang UOlimpian. Kita juga melancarkan Projek Larian Bawah 10 Saat (B10) bertujuan mencipta sejarah baharu dalam acara pecut 100 meter dengan melahirkan atlet yang mampu berlari di bawah masa 10 saat.
- Tidak ketinggalan, kejayaan politeknik-politeknik kita dalam FIRA Roboworld Simulcup 2021 yang diadakan di Brazil pada 1 hingga 7 Disember 2021 baru-baru ini. Kita memperoleh dua (2) anugerah emas, empat (4) perak dan tiga (3) gangsa. Kejayaan yang dicapai oleh pelajar IPT kita, seperti, saudara Dineswaran a/l Jayakumar dari Langkawi Tourism Academy@Kolej Komuniti Langkawi yang terpilih mewakili Malaysia dalam bidang Restaurant Service di Worldskills Competition Shanghai, diharapkan dapat memberikan inspirasi kepada pelajar-pelajar yang lain.
- Pencapaian inovasi dan pengkomersialan Politeknik dan Kolej Komuniti juga cukup membanggakan kerana berjaya merangkul 32 pingat emas dalam pelbagai pertandingan inovasi di peringkat antarabangsa. Manakala dalam penghasilan produk, sebanyak 281 pendaftaran harta intelek berjaya didaftarkan dengan 19 daripadanya berjaya dipatenkan. Syabas dan tahniah diucapkan!
- Bagi fokus strategik keenam, iaitu “Menyemarak Semangat #KPTPrihatin”, di samping misi bantuan banjir yang telah saya kongsikan sebelum ini, KPT juga bekerjasama dengan beberapa syarikat telekomunikasi untuk menyediakan pakej pelan data istimewa untuk manfaat 1.2 juta pelajar IPT. Bantuan dalam bentuk peranti dan kemudahan ICT juga dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM13.4 juta yang memanfaatkan seramai 8,965 orang pelajar.
- Selain itu, sebagai manifestasi kecaknaan KPT kepada mahasiswa, KPT turut melaksanakan beberapa siri Jelajah Sentuhan Kasih Mahasiswa@KPT; moratorium bayaran balik pinjaman PTPTN; serta pengurangan yuran 20 peratus kepada semua pelajar warganegara di UA bagi Semester 1 Sesi 2021/2022 yang memanfaatkan seramai 555,340 pelajar dengan nilai keseluruhan RM175 juta. KPT juga sentiasa terbuka dan mendengar suara mahasiswa yang dipancarkan melalui penganjuran program bersama serta siri libat urus bersama Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), persatuan-persatuan pelajar dan mahasiswa.
- Sesungguhnya, catatan kejayaan gemilang yang saya kongsikan tadi tidak akan tercapai tanpa usaha keras setiap individu dalam keluarga besar KPT. Justeru, sekali lagi saya merakamkan ucapan terima kasih, syabas dan tahniah atas sumbangan Tuan-tuan dan Puan-puan!
MELAKAR HALA TUJU STRATEGIK KPT BAGI TAHUN 2022
Saudara-saudari hadirin yang saya hormati,
- Dalam satu laporan “The Future of Higher Education In A Disruptive World”, KPMG menyatakan “The future has just arrived inconveniently early”. Deloitte pula menyatakan meskipun masih dibelenggu ketidakpastian, dunia pendidikan tinggi pasca-COVID-19 akan beroperasi dalam persekitaran yang berbeza. Justeru, kita perlu mencari solusi yang lebih kreatif dan inovatif dalam menghadapi cabaran-cabaran mendatang. Seperti yang dinyatakan oleh Deloitte, kita perlu melangkah ke hadapan ke arah “the next normal”.
- Pada tahun ini, kita perlu memfokuskan peranan KPT dalam menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara. Dalam RMKe-12, tiga (3) fokus KPT adalah: Pengukuhan ekosistem pengajian tinggi; Pemerkasaan TVET; dan Pengupayaan pendidikan swasta sebagai satu industri. Berteraskan kepada asas tersebut, tahun ini saya memperkenalkan Rangka Tindakan Kesejahteraan Pendidikan Tinggi atau Sejahtera IPT. Sejahtera IPT yang mengandungi tujuh (7) strategi utama ini adalah pelan jangka masa sederhana KPT bagi meneruskan momentum kecemerlangan pendidikan tinggi yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
- Strategi pertama iaitu “Mengukuhkan Ekosistem Kampus Yang Selamat”, adalah bagi memperhebat program pengukuhan ekosistem kampus sebagai langkah untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif dan selamat. Di sini, saya teringat petikan daripada buku The Art of War oleh Sun Tzu, katanya: “The art of war teaches us to rely NOT on the likelihood of the enemy not coming, but on our own readiness to receive him; NOT on the chance of his not attacking, but rather on the fact that we have made our position unassailable.”
- Saya terfikir, sekiranya berlaku lagi krisis lain di masa hadapan, sejauh manakah kita bersedia menghadapinya? Aspek pengurusan risiko seperti komunikasi risiko dan komunikasi krisis perlu ditangani oleh pihak IPT sebaik-baiknya. Saya lihat telah ada usaha ke arah itu, namun pada tahap yang berbeza-beza mengikut institusi. Sepasukan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya membangunkan Modul Komunikasi Risiko dan Krisis bagi IPT. Oleh itu, saya minta supaya KPT dan setiap IPT mengkaji perkara ini dan mengadaptasikannya dalam konteks masing-masing. Selain itu, saya juga ingin mencadangkan agar aspek infrastruktur dan kemudahan kepada golongan OKU perlu disediakan sebaiknya. Bagi membentuk ekosistem kampus yang kondusif juga, saya mohon agar dasar dan perkhidmatan berkaitan kesihatan mental di IPT perlu diberi perhatian serius dan diperkukuhkan.
- Menerusi strategi kedua iaitu “Memperkukuh Kebolehpasaran Graduan”, Kerajaan akan meneruskan agenda Majlis Pekerjaan Negara (NEC) bagi tahun 2022, dengan sasaran yang lebih tinggi. Sebelum ini, pencapaian kita dibatasi dengan PKP dan SOP. Namun tahun ini, saya minta supaya program-program seperti PENJANA KPT-CAP dan program KPT-PACE diperhebatkan dan dipantau dengan rapi bagi memastikan pencapaian outcome yang ditetapkan.
- Bagi pengukuhan agenda keusahawanan, kita perlu meneroka pendekatan baharu supaya lebih terfokus. Saya mencadangkan pada tahun ini, tumpuan diberikan kepada pembangunan keusahawanan graduan wanita sebagaimana pelaksanaan program Women Enterpreneurship atau WE Innovate di Imperial College, London. Saya juga ingin IPT mengambil pendekatan agar menawarkan lebih banyak program yang bersifat lintas disiplin (transdisciplinary program) seperti industri kreatif dengan keusahawanan digital bagi menghasilkan Creativepreneur. Eksplorasi bidang Creativepreneur di IPT khususnya melalui platform digital dapat mendorong pelajar untuk menjadi lebih proaktif dalam mencari peluang yang membolehkan lebih ramai golongan muda berupaya mencipta produk inovasi dan pekerjaan sendiri.
- Seterusnya di bawah strategi ketiga iaitu “Memperkasakan Agenda Pendigitalan”, saya minta supaya Pelan Pendigitalan Pendidikan Tinggi yang telah dibangunkan untuk dilancarkan sebelum pertengahan tahun ini. Pada masa yang sama, program-program yang telah dirancang seperti MOHE Innovative Digital Educators (MINDS); MoHE Micro-Credential Based Learning (M.CREDIBLE); MoHE Immersive Learning Spaces (MILES) dan Hyflex Learning perlu dilaksanakan sewajarnya.
- Tahun ini juga kita akan memulakan pembangunan pelantar pembelajaran digital kebangsaan yang akan memberi ruang dan peluang kepada lebih ramai individu untuk mendapat akses kepada pembelajaran di samping memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat. Kita sebenarnya mempunyai banyak sistem yang dibangunkan tetapi tidak dintegrasikan antara satu sama lain. Dalam hal ini saya difahamkan satu kajian telah dilaksanakan oleh pihak UKM Pakar Runding. Justeru, saya harap, dapatan kajian ini hendaklah diterjemahkan dalam bentuk dasar dan pelaksanaan. Bagi memantau pelaksanaan semua agenda pendigitalan ini, saya cadangkan agar sebuah jawatankuasa khusus yang dipengerusikan oleh YBhg. Dato Seri KSU sendiri, ditubuhkan.
- Pelaksanaan agenda pendigitalan sememangnya memerlukan kos yang tinggi. Namun, pergantungan kepada sumber kewangan daripada Kerajaan sahaja tidak mencukupi. Oleh hal yang demikian, kita perlu kreatif mencari ruang dan peluang kerjasama dengan pihak lain yang boleh membantu KPT mempercepatkan agenda pendigitalan ini. Justeru, saya menyeru kepada badan-badan korporat yang berminat supaya tampil ke depan untuk menjalin kerjasama dengan KPT.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
- Dalam strategi keempat “Memantapkan Jaringan Kolaborasi Strategik” pula, beberapa inisiatif utama di bawah MTVET yang telah diluluskan sebelum ini seperti TVET Collaboration Hub (TCH); Government – Industry TVET Coordination Body (GITC); dan Pelan Penjenamaan TVET Nasional, hendaklah dipantau dan diukur keberkesanan pelaksanaannya. Pada masa yang sama, saya ingin supaya kita memantapkan keurussetiaan dan gerak kerja MTVET. Saya memahami, landskap TVET yang luas menyukarkan kita untuk mengkoordinasi TVET ke arah sebuah ekosistem yang bersepadu dan terselaras. Jadi, MTVET perlu dijadikan sebagai fokus utama KPT. Oleh itu, saya minta kerjasama pihak JPT dan MTUN bagi membantu Sekretariat MTVET dalam memastikan agenda pemerkasaan MTVET pada tahun ini dilaksanakan dengan lebih lancar dan cepat. Saya juga mahu agar program Festival of Ideas (FOI), yang telah pun kita laksanakan pada tahun lepas, dipelbagaikan dan diperhebatkan lagi kaedah pelaksanaannya agar lebih banyak lagi idea dan inovasi pendidikan dapat disumbang serta dimanfaatkan.
- Melalui strategi kelima iaitu “Memacu Kesejahteraan Komuniti” pula, saya mengharapkan agar kita dapat menggunakan bidang kepakaran IPT kita untuk membangunkan masyarakat setempat berdasarkan kepada pendekatan inovasi sosial. Melalui inisiatif yang saya namakan program ‘University for Society@Keluarga Malaysia atau UNiTY’ ini, setiap IPT boleh memilih komuniti angkat di lokaliti tertentu dan membangunkan mereka mengikut bidang kepakaran atau tujahan masing-masing. Sebagai contoh, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), boleh menjalankan program pembangunan keusahawanan di komuniti terpilih di Kelantan dengan membimbing mereka sehingga berjaya dalam bidang keusahawanan tertentu.
- Saya juga ingin supaya diperbanyakkan program-program bersifat turun padang. Pada tahun ini, saya mahu memfokuskan kepada Kolej Komuniti yang menjadi touch-point rakyat dengan KPT. Kita perlu tonjolkan peranan Kolej Komuniti dalam membantu golongan B40 menjana pendapatan seterusnya mengubah tahap sosio-ekonomi mereka. Jadi saya mohon JPPKK untuk melihat perkara ini. Saya juga mohon diperbanyakkan sesi libat urus bagi mendengar idea dan pandangan daripada pelajar, kesatuan akademik dan pentadbir. Satu fakta menarik, kita mempunyai lebih 13 ribu orang pensyarah muda di IPT yang berusia bawah 40 tahun. Jika dikumpulkan satu idea bernas daripada setiap seorang, sudah ada 13 ribu idea yang boleh dikembangkan. Bayangkan jika kita sinergikan kelebihan ini.
- Selain itu, pendekatan turun padang juga boleh dijalankan bagi memberi kesedaran dan literasi politik berkaitan pelaksanaan Undi 18 kepada pelajar-pelajar di IPT. Ini lebih-lebih lagi apabila seramai 452,559 orang atau 38 peratus daripada 1.2 juta yang layak mengundi, merupakan pelajar yang berumur antara 18 – 20 tahun berada di bawah kawal selia KPT. Jadinya, adalah sangat signifikan untuk kita memberikan perhatian terhadap Undi 18 ini.
- Manakala bagi strategi keenam, “Mempersada Kecemerlangan Institusi”, ada beberapa perkara yang ingin saya tumpukan bagi tahun 2022. Pertama, berhubung kelestarian pengoperasian UA dan pemerkasaan 26 Anak Syarikat UA serta 86 Anak Syarikat Subsidiari. UA Holdings yang ditubuhkan sepatutnya dapat memberikan pulangan yang positif kepada sumber kewangan universiti dan mengurangkan kebergantungan UA kepada dana Kerajaan. Perkara ini perlu diberi perhatian serius. Tokoh-tokoh korporat yang terkenal dalam bidang pelaburan misalnya, boleh dilantik untuk membantu kita merangka model bisnes yang lebih baik atau mencari peluang pelaburan yang lebih menguntungkan. Oleh yang demikian, saya minta Bahagian Pembangunan untuk memperhalusi mekanisme pelaksanaan perkara ini. Tetapkan sasaran KPI bagi setiap UA holdings dan pantau prestasinya melalui Dashboard Pemantauan UA Holdings.
- Dalam konteks yang sama, pembiayaan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada masa ini amat bergantung kepada prestasi bayaran balik pinjaman sebagai sumber utama dana. Namun, kadar bayaran balik yang rendah menyebabkan kebergantungan berterusan PTPTN terhadap jaminan dan subsidi Kerajaan. Maka satu model pembiayaan baharu PTPTN perlu dirangka untuk memastikan kelestarian PTPTN pada masa akan datang. Selain itu, bagi menjamin kelestarian IPTS yang merupakan antara penyumbang kepada sektor ekonomi negara, maka saya harap PEMUDAH IPTS dapat berfungsi dengan lebih berkesan untuk melaksanakan semua inisiatif yang telah dikenalpasti sebelum ini dalam kadar sesegera mungkin.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
- Kita telah ada kerangka EXCEL sebagai panduan tansformasi program akademik. Pada tahun ini, saya berharap semua UA dapat menyemak semula program akademik berteraskan kerangka EXCEL ini. Dalam ucapan amanat tahun baharu YAB Perdana Menteri, beliau meminta supaya sistem pendidikan sedia ada disesuaikan kepada aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus atau ESG; serta menambahbaik kurikulum TVET bagi memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan dalam konteks ESG. Saya mohon JPT dan JPPKK untuk meneliti perkara ini.
- Bagi mencapai 17 sasaran dalam Sustainable Development Goals (SDG), kebanyakan IPT telah melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan. Dalam hal ini, Education for Sustainable Development atau ESD merupakan pembolehdaya utama dalam mencapai SDG. Justeru, kita perlu menyatukan kekuatan dan mengoptimumkan sumber kepakaran di IPT ke arah keseimbangan persekitaran, masyarakat dan ekonomi. Kita juga perlu perkasakan ESD melalui satu mekanisme penyelarasan bagi pemantauan insiatif ESD di IPT.
- Perubahan iklim dan alam sekitar yang sedang dialami di seluruh dunia mutakhir ini memerlukan perhatian dan analisis secara kritikal. Kita mempunyai pakar-pakar dalam perubahan iklim dan teknologi ICT yang boleh membantu Kerajaan merangka solusi terbaik menangani isu berkaitan, misalnya kaedah terbaik mengatasi banjir atau penyelesaian sistem komunikasi semasa bencana sebagaimana Integrated Heterogeneous Wireless System (IHWS) yang dihasilkan oleh Queen’s University Belfast di Vietnam. Oleh hal yang demikian, pemberian geran penyelidikan bagi perkara ini perlu diberi keutamaan.
- Ketiga, bagi memantapkan tadbir urus di JPPKK, saya ingin mencadangkan supaya KPT dan JPPKK mengkaji keperluan pewujudan akta khusus bagi Politeknik dan Kolej Komuniti. Satu akta yang jelas merangkumi aspek pembangunan akademik, tadbir urus institusi, pembangunan sumber manusia, pengurusan hal ehwal pelajar, kolaborasi industri dan komuniti serta pengiktirafan oleh badan profesional dan berfokus harus diwujudkan. Justeru, sesi libat urus dengan pihak-pihak terlibat perlu digerakkan.
- Akhir sekali, dalam strategi ketujuh, “Menyemarak Semangat #KPTPRIHATIN”, pertamanya, saya ingin supaya diwujudkan di Malaysia ini, satu program khusus seumpama program “First in Family” di USA dan Australia, dan “First-Generation College Student” di United States serta beberapa negara luar yang lain. Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) ini akan memberi peluang kepada generasi pertama dalam keluarga B40 yang belum ada ahli keluarga melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi. Kita akan bantu dari segi kemasukan, bantuan kewangan dan bantuan mendapatkan pekerjaan apabila tamat pengajian nanti. Harapannya supaya mereka dapat mengubah nasib keluarga dan sebagai pencetus motivasi kepada ahli keluarga yang lain. Saya mohon supaya dicadangkan mekanisme terbaik pelaksanaan aspirasi ini dan beberapa IPT boleh dipilih sebagai projek rintis pelaksanaan.
- Kedua, saya minta supaya Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) untuk mengkaji secara komprehensif berhubung skim perkhidmatan bagi skim-skim yang ketua perkhidmatannya ada di KPT, elaun yang sudah lapuk, kemudahan biasiswa melanjutkan pelajaran dan kemudahan-kemudahan lain yang disediakan untuk Keluarga KPT. Kebajikan dan kesejahteraan Keluarga KPT perlu dijadikan sebagai mantera kita untuk tahun 2022 ini.
- Saya penuh yakin dan percaya kita akan dapat mendepani cabaran tahun 2022 ini dengan langkah yang lebih teguh melalui perancangan tindakan yang rapi, selaras dengan tema majlis kita petang ini iaitu “Memperhebat Strategi, Melonjak Kecemerlangan”. Menjadi harapan saya supaya bagi setiap aspirasi yang saya nyatakan tadi dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan oleh pengurusan tertinggi KPT dan jabatan serta agensi terlibat.
KISAH WIRA IPT YANG TIDAK DIDENDANG
Hadirin yang saya muliakan,
- Ramai yang tahu tentang Abang Viva Viral atau saudara Azwan Omar yang turun padang membantu mangsa banjir dengan hanya membawa sebuah kereta Viva, bot angin dan duit RM50. Di KPT juga, kita ada dua orang wira, yang kisahnya seumpama Abang Viva Viral ini. Dua wira ini diberikan jolokan nama “Dua Yo”. Dua Yo yang saya maksudkan ialah saudara Shaharul Anuar Ismail yang bertugas sebagai Pembantu Operasi di Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama rakan baiknya, saudara Kamarul Azam Kamat Audah. Kedua-duanya sukarelawan telah menyabung nyawa untuk menyelamatkan mangsa banjir di Kuantan.
- Begitu juga dengan pasukan Taskforce daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang proaktif mengambil tindakan segera membuka masjid UiTM Shah Alam sebagai penempatan sementara kepada semua mangsa banjir di sekitar Shah Alam. Saya sendiri bersama-sama dengan Dato’ Seri KSU, Naib Canselor dan Taskforce UiTM turun meninjau beberapa kawasan penempatan mangsa dan terlibat dalam misi pemindahan mangsa di Padang Jawa sehingga dinihari.
- Saya ingin kita semua mengambil iktibar daripada bencana banjir yang berlaku. Di sinilah peri pentingnya kita menyusun gerak kerja yang cekap, berkesan dan pantas apabila berhadapan dengan situasi krisis. Natijahnya, setiap misi akan dapat disempurnakan dengan baik hasil kerjasama erat semua pihak. Namun sekiranya satu pihak gagal menjalankan fungsinya dengan baik, maka pincanglah misi tersebut. Dalam situasi krisis, nyawa yang menjadi galang gantinya.
AKHIR KALAM
Keluarga KPT sekalian,
- Pelaksanaan aspirasi yang saya lontarkan, saya akui ia bukanlah semudah saya menyebutnya. Sudah pasti kita akan menempuh perjalanan yang penuh halangan dan cabaran. Namun, saya percaya jika kita semua bersatu hati, bersedia merobohkan tembok keterasingan dan mendakap kemas iltizam yang dipertanggungjawabkan dengan penuh amanah, kita mampu memperhebat strategi demi membina citra baharu KPT dalam melonjakkan momentum kecemerlangan pendidikan tinggi negara.
- Akhir kata, saya menyeru kepada seluruh ahli Keluarga KPT untuk bersama-sama mempertingkatkan prestasi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing yang menyumbang kepada pencapaian visi dan misi KPT. Semoga usaha murni kita untuk memartabatkan perkhidmatan khususnya dalam sektor pendidikan tinggi tercapai dengan jayanya.
Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 84281