TEKS UCAPAN
YANG BERHORMAT DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI
MAJLIS PELANCARAN INISIATIF MICROCREDENTIAL HRD CORP.
13 APRIL 2022 (RABU)
PENDAHULUAN
- Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama pada petang ini dalam Majlis Pelancaran Inisiatif Microcredential HRD Corp.
- Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Datuk Seri M. Saravanan dan juga Kementerian Sumber Manusia (KSM) kerana telah menjemput Kementerian Pengajian Tinggi untuk bekerjasama menjayakan inisiatif ini. Sesungguhnya, usaha sama ini adalah penting untuk memastikan kesinambungan dalam peningkatan ilmu dan pembangunan kemahiran modal insan negara.
MEMPERKASAKAN AGENDA PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT
Hadirin yang dihormati sekalian,
- Majlis pelancaran pada hari ini memberikan makna yang amat signifikan kepada usaha strategik KPT, melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), yang bertanggungjawab membangunkan Garis Panduan Amalan Baik: Micro-credential (GGP: Micro-credential).
- Inisiatif seperti ini mampu mendukung kelestarian agenda pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat, terutamanya kepada mereka yang bekerja dan memerlukan pendekatan pembelajaran yang fleksibel. Ini seterusnya dapat membantu usaha Kerajaan untuk melahirkan lebih ramai bakat tempatan yang berkemahiran dan berkelayakan.
- Dalam hubungan ini, KPT komited untuk berganding bahu dengan KSM bagi mengoptimumkan sumber pendidikan tinggi sedia ada. Ini penting bagi memacu pembangunan tenaga kerja yang bukan sahaja produktif dan berkemahiran pelbagai, tetapi juga berdaya tahan tinggi.
- Justeru, komitmen dan penglibatan semua pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta seperti HRD Corp., institusi pendidikan tinggi (IPT), pihak industri, agensi pembiaya kewangan dan sebagainya adalah sangat perlu agar iltizam untuk memperkasakan agenda pembelajaran sepanjang hayat ini dapat sama-sama kita jayakan.
IMPAK PENSIJILAN MIKRO
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
- Micro-credential ialah program berakreditasi yang dilaksanakan secara pecahan kecil ataupun melalui kursus stand-alone yang dapat melengkapi pengetahuan dan kemahiran sedia ada. Dengan itu, peluang meningkatkan kebolehan serta mengembangkan lagi kerjaya individu akan lebih luas.
- Dalam pada itu juga, kursus-kursus yang berbentuk micro-credential turut memberikan laluan kepada penganugerahan akreditasi akademik yang lebih besar, bergantung kepada dasar pindahan kredit di IPT dan badan badan kelayakan profesional yang sedia ada.
- Mekanisme ini dilihat mampu menjadi penghubung kepada kerjasama yang lebih erat antara IPT dan industri untuk menyediakan serta mengiktiraf lebih banyak kursus pembelajaran berasaskan pensijilan mikro. Saya yakin, inisiatif ini boleh membantu menyelesaikan masalah ketidakpadanan antara kemahiran sumber manusia yang sedia ada dengan permintaan majikan, industri dan pasaran pekerjaan di Malaysia.
- Pendekatan pembelajaran fleksibel seumpama ini turut memberikan peluang kepada masyarakat untuk menyambung pengajian menurut kehendak, kemampuan dan kadar pembelajaran masing-masing. Malah, kursus pensijilan mikro industri juga memainkan peranan yang penting dalam memantapkan lagi usaha untuk meningkatkan mutu tenaga kerja, mengembangkan keusahawanan dan seterusnya menjamin kebolehpasaran modal insan negara untuk jangka panjang.
MELAKAR HALA TUJU STRATEGIK BERSAMA
Hadirin yang saya hormati sekalian,
- Hasrat KPT adalah untuk memastikan pensijilan pendidikan dan kemahiran tidak lagi dilihat secara berasingan. Proses padanan ke arah kelayakan perlu berjalan seiringan dan bersifat kebolehoperasian atau ‘interoperable’.
- Ini juga harus merangkumi semua sumber latihan, termasuk latihan profesional dan TVET serta sumber-sumber kelayakan antarabangsa tanpa menjejaskan kelestarian kualiti pendidikan
- Ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insya-Allah, jika kita semua berganding bahu, tidak mustahil untuk kita menggapai peluang-peluang kecemerlangan yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat dan pemerkasaan ekonomi n
AKHIR KALAM
Hadirin yang saya hormati sekalian,
- Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia dan seluruh warga Kementerian Sumber Manusia serta HRD Corp. atas usaha untuk menjayakan inisiatif ini.
- Semoga naskhah ini menjadi titik mula dan contoh kepada semua pihak dalam melestarikan agenda pembelajaran sepanjang hayat dan pembekalan kemahiran yang fleksibel kepada negara, seterusnya, membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk berpendidikan, berkelayakan dan berkebolehan tinggi.
- Saya juga mengambil keberkatan di bulan Ramadan ini, mendoakan agar kita semua dipanjangkan umur, diberikan kesihatan yang baik dan berkesempatan lagi untuk menyambut Ramadan yang seterusnya. Selamat berbuka puasa.
Sekian, wabillahitaufik walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Muat Turun:
pdf Teks Ucapan YBM Pelancaran Microcredential HRD Corp (260 KB)
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 14352