logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI

MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN ANTARA AGENSI KELAYAKAN MALAYSIA DENGAN PEMBERI PENDIDIKAN TINGGI (PPT) UNTUK PROGRAM RINTIS ‘STAND-ALONE MICRO-CREDENTIALS (SAMC)’

12 APRIL 2022


MUKADIMAH PERBICARAAN

  1. Terlebih dahulu marilah kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran terhadap Allah S.W.T., kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berhimpun dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dengan Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) untuk Program Rintis ‘Stand-Alone Micro-Credentials (SAMC)’ pada pagi ini.
  1. Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada semua yang hadir – pimpinan Kementerian Pengajian Tinggi, ketua-ketua jabatan, wakil-wakil daripada universiti awam dan universiti swasta.
  1. Terima kasih kepada Yang Berbahagia Dato' Profesor Dr. Mohammad Shatar Sabran, Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia, yang telah memberikan penerangan serba ringkas sebentar tadi berkenaan dengan Program Rintis ‘Stand-Alone Micro-Credentials (SAMC)’ yang sedang diusahakan oleh MQA.

KEPENTINGAN PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT

Hadirin dan hadirat sekalian,

  1. Umum mengetahui, keadaan dunia kini telah berubah secara pesat akibat daripada perubahan pantas dalam pengetahuan, teknologi dan kemahiran. Revolusi Industri 4.0 ialah pemangkin perubahan pesat dalam cara kita hidup, belajar, bekerja dan bermain.
  1. Setiap graduan dan pekerja pula perlu berterusan meningkatkan dan memperkukuh kemahiran untuk terus berdaya saing. Inilah yang dikatakan pembelajaran sepanjang hayat dan seumur hidup.
  1. Peri pentingnya perkara ini telah saya sentuh dalam ucapan amanat saya pada Februari lepas di bawah strategi ketiga, iaitu “Memperkasakan Agenda Pendigitalan”. Saya telah meminta supaya Pelan Pendigitalan Pendidikan Tinggi dilancarkan sebelum pertengahan tahun ini mengambil kira MoHE Micro-Credential Based Learning (M.CREDIBLE). Ini penting bagi memberikan ruang dan peluang kepada lebih ramai individu untuk mendapat akses kepada pembelajaran di samping memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat.
  1. Saya melihat usaha MQA membangunkan Garis Panduan Amalan Baik: Stand-alone Micro-credentials, bukan sahaja akan dapat menyokong inisiatif M.CREDIBLE, tetapi juga kursus-kursus micro-credentials yang ditawarkan oleh institusi awam dan swasta, khususnya dari aspek pengukuhan kualiti dan pengiktirafan.
  1. Apa yang pasti, kita sedang mengusahakan satu fasa baharu pembelajaran fleksibel yang mana penawaran kursus micro-credentials walaupun pada asalnya tiada sebarang kaitan dengan mana-mana program pengajian tetapi kini boleh diiktiraf untuk mendapat pemindahan kredit.
  1. Ini seterusnya membolehkan individu yang telah mengumpulkan sejumlah kursus micro-credentials, secara fleksibel memohon untuk bergraduasi setelah memenuhi syarat yang ditetapkan oleh sesebuah IPT.
  1. Saya juga melihat potensi besar usaha memperkembang kursus-kursus micro-credentials yang melangkaui manfaat ekosistem upskilling dan reskilling. Dalam hubungan ini, IPT boleh memanfaat kerjasama dengan industri untuk menghasilkan produk-produk pendidikan yang membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan, menyokong edutourism dan menawarkan akses pembelajaran dalam talian kepada pelajar di luar negara.
  1. Dalam lawatan rasmi ke Delhi, India baru-baru ini, penawaran kursus micro-crendentials menjadi antara topik yang kita bincangkan dengan rakan strategik di negara itu. Insya Allah, ruang kerjasama yang terjalin akan menarik lebih ramai pelajar dari negara itu untuk menyambung pengajian di Malaysia.
  1. Bukan itu sahaja, saya turut difahamkan bahawa sayap kolaborasi penawaran kursus micro-credentials akan dikembangkan ke universiti-universiti di benua lain seperti Eropah, Afrika, Amerika Selatan serta benua Amerika termasuk di Kanada dan Amerika Syarikat, tanpa melupakan negara-negara di bumi Asia.
  1. Harapan kita, ini akan turut membantu melonjakkan usaha negara untuk mencapai 250 ribu pelajar antarabangsa menjelang tahun 2025, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi yang menjadi pilihan pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian mereka.
  1. Justeru, saya amat mengalu-alukan inisiatif MQA untuk melaksanakan program rintis Stand-alone Micro-credentials ini supaya aspek kualiti dapat disesuaikan dengan keperluan Kerangka Kelayakan Malaysia. Dengan penglibatan institusi awam dan swasta yang dipilih, pelbagai perspektif pelaksanaan harus digarap sebaik mungkin agar prinsip-prinsip kualiti yang diketengahkan adalah bersesuaian dan tidak menghalang inovasi.


PELANTIKAN PEMBERI PENDIDIKAN TINGGI RINTIS SAMC

Hadirin yang saya hormati sekalian,

 

  1. Saya berbesar hati mengucapkan sekalung tahniah kepada Pemberi Pendidikan Tinggi yang terpilih dalam Program Rintis ‘Stand-Alone Micro-Credentials’ MQA. Untuk Universiti Awam, kita ada Universiti Sains Malaysia (USM); Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Universiti Teknologi MARA (UiTM); Universiti Malaysia Pahang (UMP); dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
  1. Manakala bagi universiti swasta, kita ada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR); dan Management and Science University (MSU). Begitu juga dengan dua (2) institusi di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.
  1. Semoga dengan penyertaan atau pemilihan ini akan menjadi asbab kepada IPT-IPT lain untuk turut serta dalam Program SAMC ini, lantas, menyemarakkan lagi usaha membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan orang ramai.

 

AKHIR KALAM

Para hadirin yang dimuliakan,

  1. Saya berharap dengan termeterainya MoU ini, program rintis ‘Stand-alone Micro-credentials’ dapat dilaksanakan dengan lancar dan membuahkan hasil yang diharapkan.
  1. Saya juga mengharapkan sokongan semua pihak untuk sama-sama mewujudkan sinergi pelaksanaan M.CREDIBLE dan POISE.
  1. Semoga usaha murni kita yang berterusan memupuk bakat anak bangsa akan sentiasa diberkati dan beroleh kejayaan. Insya-Allah.

Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Muat Turun:

  pdf Teks Ucapan YBM Sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Agensi Kelayakan Malaysia Dengan Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) Untuk Program Rintis ‘Stand-Alone Micro-Credentials (SAMC)’ (250 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 16969
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 16 April 2024, 08:56:15.