TEKS UCAPAN
Datuk Ts. Mustapha Sakmud
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi
PROGRAM KARISMA PEMIKIR MADANI
Khamis, 15 Ogos 2024
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan
Salam Malaysia MADANI
[Salutasi – Disediakan Berasingan]
1. Bersyukur kepada Allah kerana dengan limpah kurnianya dapat kita bersama-sama hadir di Program Karisma Pemikir Madani Pengurusan Tertinggi UKM. Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian Universiti Kebangsaan Malaysia menjemput saya untuk menyampaikan ucapan untuk Program ini. Pada hari ini, kita berkumpul untuk Program Karisma Pemikir Madani Pengurusan Tertinggi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di World Trade Center Kuala Lumpur. Program ini, yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), dan UKM, bertujuan untuk membentuk universiti berteraskan negara bangsa, khususnya dalam konteks UKM sebagai peneraju pendidikan tinggi di Malaysia. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur atas usaha murni ini yang sangat bertepatan dengan keperluan dan cabaran semasa.
2. Program Karisma Pemikir Madani Pengurusan Tertinggi UKM adalah inisiatif penting dalam merangka masa depan pendidikan tinggi negara. Melalui program ini, diharapkan dapat melahirkan pemikir dan pemimpin di UKM yang mampu menerapkan prinsip Malaysia MADANI - Maju, Aman, Damai, Inklusif dan Sejahtera dalam pengurusan dan pentadbiran universiti serta terus menjadi universiti berteraskan negara bangsa. Ini adalah langkah penting untuk memastikan UKM bukan sahaja memenuhi standard institut pengajian tinggi semasa tetapi juga memacu dalam kecemerlangan akademik, penyelidikan, dan sumbangan kepada komuniti.
Hadirin yang saya hormati,
3. Dunia hari ini sedang melalui transformasi yang sangat pesat melalui Revolusi Industri Ke-4, atau IR 4.0, yang mencakupi pelbagai inovasi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), data raya, dan automasi. Revolusi ini bukan sahaja mengubah cara kita bekerja dan berinteraksi, tetapi juga memberikan cabaran baharu dalam memastikan bahawa nilai-nilai kebangsaan kita tidak terhakis dalam arus perubahan global yang serba pantas ini.
4. Sebagai sebuah negara yang kaya dengan warisan budaya, identiti, dan sejarah yang unik, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan bahawa pembangunan teknologi dan inovasi ini tidak mengenepikan prinsip-prinsip asas yang membentuk jati diri bangsa Malaysia. Inilah tanggungjawab besar yang terletak di bahu kita, khususnya di bahu institusi pendidikan tinggi, untuk melahirkan generasi pemimpin yang mampu memacu negara ke hadapan tanpa mengabaikan identiti dan nilai-nilai kebangsaan.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
5. Sebagai sebuah institusi yang membentuk masa depan negara, institut pengajian tinggi perlu menjadi perintis dalam menggabungkan teknologi terkehadapan dengan nilai-nilai negara bangsa. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sebagai contoh, perlu memperkasa pengajaran dan penyelidikan yang bukan sahaja memanfaatkan teknologi terkini tetapi juga mengekalkan keutuhan budaya dan warisan kita.
6. Saya percaya bahawa UKM mempunyai potensi besar untuk menjadi pusat kecemerlangan yang berasaskan identiti nasional. Ini boleh dicapai melalui aspek-aspek tersebut. Pertamanya, IPT secara amnya, dan UKM secara khususnya, memperkukuh Pendidikan dan Penyelidikan Berasaskan Identiti Nasional. Universiti haruslah meneruskan usaha untuk menggabungkan elemen teknologi dengan pengajaran dan penyelidikan yang berteraskan budaya, bahasa, dan sejarah Malaysia. Ini termasuklah penerapan teknologi IR 4.0 dalam kajian yang mempromosikan dan melindungi warisan negara. Keduanya, UKM boleh melahirkan Graduan Berkemahiran Tinggi dengan Jati Diri Kebangsaan. Dalam era IR 4.0, kita memerlukan graduan yang bukan sahaja mahir dalam teknologi terkini tetapi juga memahami dan menghargai nilai-nilai kebangsaan dalam dunia fizikal dan dunia digital. Kursus dan program latihan di universiti perlu memastikan keseimbangan ini tercapai.
7. Seterusnya, kerjasama antarabangsa dengan fokus tempatan perlu terus dijalankan. UKM sebagai universiti Watan mesti mengambil peluang daripada kerjasama global untuk membawa pulang teknologi terkini yang relevan dengan keperluan tempatan. Namun, fokus utama tetap kepada bagaimana teknologi tersebut boleh digunakan untuk pembangunan negara kita, dengan mengekalkan identiti kebangsaan.
8. Dalam pada itu, penggunaan AI atau kecerdasan buatan mesti terus diintegrasi bagi meningkatkan kualiti pendidikan tinggi di Malaysia, termasuk UKM. AI boleh digunakan untuk memperibadikan pengalaman pembelajaran bagi setiap pelajar, mengesan keperluan dan kelemahan mereka secara automatik, serta menyediakan sumber-sumber pembelajaran yang disesuaikan dengan kemampuan mereka. Ini boleh membantu pelajar mencapai potensi mereka sepenuhnya sambil mengekalkan semangat kebangsaan dalam diri mereka.
Hadirin dan hadirat sekalian,
9. Bagi menyahut konsep “Sederap Mencorak Masa Depan UKM,” UKM boleh terus menjalankan penyelidikan berfokuskan cabaran nasional melalui teknologi revolusi industri ke-4. UKM perlu terus menggerakkan penyelidikan yang memanfaatkan teknologi IR 4.0 untuk menangani isu-isu kebangsaan seperti perubahan iklim, kesihatan awam, dan pembangunan sosioekonomi. Hasil penyelidikan ini boleh membantu memperkuatkan dasar-dasar negara dan meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia.
10. Dalam pada itu, IPT secara amnya, dan UKM secara khususnya, perlu mengembangkan kurikulum futuristik berteraskan Negara Bangsa. Kurikulum universiti perlu dikemas kini untuk mencerminkan keperluan masa depan yang selari dengan perkembangan teknologi global, namun tetap berpandukan nilai-nilai kebangsaan. Ini termasuklah penerapan konsep sosial dan etika dalam dunia fizikal dan dunia digital dalam konteks Malaysia.
11. Seterusnya, UKM dan IPT di Malaysia boleh mengukuhkan pembelajaran sepanjang hayat dengan memperkenalkan program pembelajaran sepanjang hayat yang menggunakan platform digital dan teknologi IR 4.0 untuk menyediakan peluang pembelajaran kepada rakyat Malaysia sepanjang hayat mereka. Program ini boleh membantu rakyat menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi sambil memelihara identiti dan budaya negara.
12. Selain itu, pembinaan kampus pintar yang berteraskan kebangsaan juga boleh terus menjadi agenda universiti ini. Selari dengan konsep watan, UKM boleh terus meningkatkan keberkesanan operasi dan penyampaian perkhidmatan, sambil memastikan bahawa identiti dan warisan kebangsaan tetap dihormati. Ini termasuklah pembangunan ruang-ruang pembelajaran yang menggabungkan elemen-elemen kebudayaan Malaysia dengan teknologi terkini.
Hadirin yang saya hormati,
13. Dalam bersama “Sederap Mencorak Masa Depan UKM,” pemerkasaan pengajian kebudayaan dan sejarah melalui teknologi boleh terus dijalin. Pengajian kebudayaan dan sejarah di universiti boleh diperkukuh dengan penggunaan teknologi seperti realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR) untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan mendalam. Ini akan membantu pelajar menghayati warisan negara dengan lebih baik kerana pembelajaran lebih imersif dan konteksual.
14. Selain itu, UKM boleh terus menyokong inovasi dan keusahawanan berteraskan nilai kebangsaan dengan menggalakkan inovasi dan keusahawanan di kalangan pelajar yang selari dengan nilai-nilai kebangsaan. Ini termasuklah pembangunan produk dan perkhidmatan yang bukan sahaja berinovasi tetapi juga mencerminkan identiti Malaysia.
15. UKM juga harus terus menggalakkan pembangunan modal insan berteraskan kebangsaan dengan terus memainkan peranan dalam membangunkan modal insan yang mempunyai kemahiran teknologi tinggi tetapi juga nilai-nilai kebangsaan yang kukuh. Ini termasuklah program pembangunan kepimpinan yang menekankan kepentingan identiti negara bangsa dalam konteks global.
16. Akhir sekali, adalah penting untuk merancang masa depan universiti dengan mengambil kira cabaran dan peluang yang dibawa oleh arus pendigitalan. Universiti perlu bersedia untuk menjadi lebih fleksibel dan adaptif, sambil terus memastikan bahawa nilai-nilai negara bangsa tetap menjadi asas dalam setiap keputusan dan strategi yang diambil.
Hadirin yang saya kasihi,
17. Program Karisma Pemikir Madani Pengurusan Tertinggi UKM hari ini adalah bukti komitmen kita semua dalam menjayakan matlamat ini. Saya yakin perbincangan dan idea-idea yang dikemukakan serta resolusi yang dibangunkan dalam program ini dapat memberikan sumbangan yang bermakna ke arah membina universiti yang benar-benar berteraskan negara bangsa dalam era Revolusi Industri Ke-4.
18. Akhir kata, marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam memastikan bahawa institusi pendidikan tinggi kita terus memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan negara, dengan menjadikan identiti nasional sebagai tunjang kepada segala usaha inovasi dan pembangunan.
Dengan lafaz BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, saya dengan ini merasmikan Majlis Penutup Program Karisma Pemikir Madani Pengurusan Tertinggi.
Sekian.
Wabillahittaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Muat Turun:
pdf Teks Ucapan YBTM - Program KARISMA Pemikir MADANI (147 KB)
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1527