logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK TS. MUSTAPHA SAKMUD
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi

Majlis Pelancaran Perkhidmatan Baharu
SIHAT@UKM

25 Julai 2024 (Khamis)


Terima kasih Saudara/i pengacara majlis!

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan

Salam Sejahtera

Salam Malaysia Madani.

[RUJUK SALUTASI]

1. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat-NYA kerana dengan limpah kurnia dan izinnya dapat kita berkumpul di sini bagi MAJLIS PELANCARAN PERKHIDMATAN BAHARU SIHAT@UKM.

2. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sangat berbangga dengan dedikasi dan usaha Fakulti Sains Kesihatan UKM dalam memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Inisiatif seperti perkhidmatan penjagaan kesihatan SIHAT@UKM ini adalah langkah progresif yang sejajar dengan aspirasi negara kita untuk meningkatkan capaian kesejahteraan kepada rakyat. Di samping itu, saya ingin menekankan pentingnya pendekatan holistik dalam penjagaan kesihatan yang tidak hanya terhad pada aspek fizikal semata-mata tetapi juga mental dan sosial. Perkhidmatan penjagaan kesihatan yang ditawarkan oleh SIHAT@UKM merangkumi perkhidmatan kesihatan yang pelbagai. Saya dimaklumkan SIHAT@UKM adalah perkhidmatan klinik bersepadu yang melibatkan klinik psikologi, audiologi, pertuturan, cara kerja, optometri, fisioterapi, diet dan pengimejan diagnostik. Ia mencerminkan visi kita untuk sebuah negara yang mengutamakan kesejahteraan rakyatnya.

3. Perkhidmatan SIHAT@UKM ini bukan sekadar platform kesihatan; ia merupakan simbol harapan bagi masa depan yang lebih cerah di mana generasi profesional kesihatan Malaysia dilahirkan. Klinik - klinik SIHAT@UKM ini juga merupakan medium di mana para pelajar Fakulti Sains Kesihatan menimba pengalaman dalam bidang klinikal. Oleh itu, graduan yang dilahirkan adalah kompeten dari segi teori dan klinikal.

4. Kerjasama antara UKM dengan pelbagai entiti seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, 20dB Hearing, Syarikat Unigold Strategi Sdn. Bhd., IHH Healthcare dan Hospital Islam Az-Zahrah menunjukkan sinergi yang kuat antara sektor awam dan swasta serta komuniti dalam memajukan agenda kesihatan di Malaysia. Saya yakin, dengan kerjasama dan komitmen dari semua pihak, kita dapat mencapai matlamat untuk membentuk masyarakat yang lebih sihat dan sejahtera. Ini bukan sahaja akan meningkatkan kualiti hidup individu tetapi juga akan menyumbang kepada pembangunan negara secara keseluruhan.

5. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada UKM atas peningkatan ketara dalam World University Rankings. Ini membuktikan bahawa UKM bukan sahaja unggul dalam pendidikan dan penyelidikan tetapi juga dalam sumbangan sosial dan komuniti setanding dengan universiti lain di peringkat antarabangsa. Sebagai sebuah institusi pendidikan yang terkemuka, UKM telah menunjukkan komitmennya tidak hanya dalam mencipta ilmu tetapi juga dalam mengaplikasikan ilmu tersebut untuk kebaikan umum. Melalui perkhidmatan penjagaan kesihatan SIHAT@UKM,kita dapat melihat bagaimana ilmu pengetahuan dapat diterjemahkan menjadi tindakan nyata yang memberi impak positif untuk kebaikan kepada masyarakat.

6. Hari ini kita menyaksikan pelancaran beberapa perkhidmatan baharu oleh SIHAT@UKM. Ucapan tahniah kepada Fakulti Sains Kesihatan atas kejayaan dalam melebarkan sayap perkhidmatan sains kesihatan. Contohnya, Audiometric Mobile Booth di mana perkhidmatan audiologi menjadi lebih mudah diakses menggunakan van tersebut. Seterusnya, Klinik Satelit di mana SIHAT@UKM melebarkan sayap perkhidmatan ke luar premis UKM. Saya juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada syarikat - syarikat yang merealisasikan semua perkhidmatan baru ini.

7. Akhir kata, marilah kita sama-sama berdoa agar usaha murni ini diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT. Semoga pelancaran perkhidmatan baharu SIHAT@UKM ini menjadi titik tolak kepada lebih banyak inisiatif bermanfaat di masa hadapan dan menjadi platform yang efektif untuk memberi manfaat kepada masyarakat luas serta membawa nama UKM ke persada antarabangsa dalam bidang kesihatan.

Enak rambutan semanis gula,
Berbuat lebat di Batu Pahat;
Dapatkan rawatan secara berkala,
Hidup hebat terjamin sihat.

8. DENGAN LAFAZ BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, SECARA RASMINYA SAYA MELANCARKAN PERKHIDMATAN BAHARU SIHAT@UKM.

Sekian, Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Muat Turun:

  pdf Teks Ucapan YBTM - Majlis Pelancaran Perkhidmatan Baharu SIHAT@UKM (90 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1131
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim