TEKS UCAPAN
YB DATUK TECHNOLOGIST MUSTAPHA SAKMUD
TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI
MAJLIS PENUTUPAN
PROGRAM IMPACT DIGITAL WITH COMMUNITY TOURISM (IDCT 2023)
Sabtu, 10 Ogos 2024
Terima Kasih Saudara/Saudari Pengacara Majlis
Salutation:
1. Yang Berbahagia Prof. Dr. Ahmad Hata bin Rasit, Naib Canselor, UNIMAS.
2. Yang Berusaha Puan Fazidah binti Mustafa, Setiausaha Bahagian, Bhgn. Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya.
3. Yang Berbahagia Prof. Ir. Ts. Dr. Al-Khalid bin Hj. Othman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UNIMAS.
4. Yang Berusaha Prof Madya Dr. Norazirah Haji Ayob
Pengarah, UNIMAS Entrepreneurship Centre.
5. Mentor dan peserta daripada IPT Awam.
6. Mahasiswa-mahasiswi.
7. Tuan-tuan dan puan-puan, hadirin yang dihormati sekalian
1. Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana di atas limpah, rahmat dan kurniaNya dapat kita bersama-sama berhimpun di Sarawak Negeri Kenyalang pada hari ini sempena Majlis Penutupan Program Impact Digital with Community Tourism (IDCT2023).
2. Saya ingin membalas pantun daripada pihak UNIMAS:
Mentari bersinar di waktu pagi,
Muncul pelangi di waktu petang,
Terima kasih menjemput KPT,
Bertemu kita di Bumi Kenyalang.
3. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Sekretariat Pengarah Pusat Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (SPPK) di atas kesudian hadir untuk majlis penutupan kita pada petang ini.
4. Terima kasih kepada pihak UNIMAS kerana memberi kerjasama yang amat tinggi dalam menjayakan program yang berimpak tinggi bagi memperkembangkan sektor pelancongan negara kita dan memberi peluang keterlibatan kepada pelajar-pelajar.
5. Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Pusat Keusahawanan UNIMAS yang telah bertungkus-lumus menganjurkan Program Impact Digital with Community Tourism (IDCT2023).
Para hadirin yang saya hormati sekalian,
6. Sukacita dimaklumkan, pelbagai program dan aktiviti keusahawanan telah dijayakan sepanjang tahun dengan galakan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk melahirkan graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.
7. Dalam menghadapi cabaran global, Universiti Awam diseru untuk menjadi peneraju dalam menggalakkan pembangunan berteraskan masyarakat. IDCT menjadi wadah untuk memupuk keusahawanan sosial, memberdayakan komuniti tempatan, dan memperkukuhkan sinergi antara digitalisasi dan pelancongan komuniti.
Hadirin yang dihormati sekalian,
8. Marilah kita bersama-sama menjadikan Program Impact Digital with Community Tourism (IDCT2023) sebagai pemangkin kejayaan dan penyumbang kepada pembangunan mampan masyarakat tempatan.
9. Program ini merupakan satu langkah penting dalam pembangunan keusahawanan sosial di kalangan mahasiswa dan masyarakat sekitar. Seiring dengan semangat inovasi dan transformasi digital, Program IDCT2023 membawa misi untuk mencipta impak positif dalam sektor pelancongan komuniti.
10. Program IDCT2023 turut memperkuat keusahawanan tempatan melalui pelancongan komuniti. Dengan sokongan teknologi digital, usahawan tempatan dapat mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka secara lebih meluas, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka dan memperbaiki taraf hidup masyarakat setempat.
11. Program ini juga bertindak sebagai pencipta peluang pekerjaan dengan memperkenalkan model perniagaan baharu yang berasaskan digital. Ini memberikan peluang kepada masyarakat setempat untuk terlibat dalam industri pelancongan dan meningkatkan ekonomi tempatan secara keseluruhan. Selaras dengan tujahan Ekonomi MADANI Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), inisiatif ini membantu melahirkan job creator yang berupaya mencipta peluang pekerjaan baharu dan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia.
12. Selain itu, Program ini turut melibatkan pelajar dari 16 Universiti Awam, termasuk UNIMAS, dalam usaha memajukan pelancongan komuniti. Pelajar-pelajar ini telah memanfaatkan kemahiran digital mereka untuk membantu mempromosikan destinasi pelancongan, sekali gus memperoleh pengalaman berharga dalam bidang keusahawanan dan pelancongan.
13. Dengan melibatkan masyarakat setempat dan pelajar universiti dalam program ini, kita telah berjaya membina asas ekonomi yang berdaya tahan dan mampan bagi generasi akan datang. Ini seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goal) yang kita perjuangkan.
14. Saya menyokong penuh program IDCT ini yang memberi impak yang positif kepada komuniti setempat dan juga pelajar Universiti Awam dan diharap akan diteruskan di tahun hadapan.
15. Syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua pihak yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Majlis Penutupan Program Impact Digital with Community Tourism (IDCT2023).
16. Bagi pihak Kementerian Pendidikan Tinggi, Malaysia, saya rakamkan ucapan tahniah serta setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak termasuk warga UNIMAS, semua 16 Universiti Awam yang terlibat dan rakan strategik yang turut serta menjayakan program.
17. Tidak dilupakan juga para pengunjung, pelajar dan komuniti dari seluruh pelosok Kuching dan Samarahan yang telah hadir memeriahkan Grand showcase ini yang telah memaparkan 16 projek pelancongan komuniti yang telah diusahakan sepanjang program sebagai aktiviti perkongsian dan pemindahan ilmu kepada komuniti. Saudara dan saudarilah tunjang kekuatan dan kejayaan majlis ini.
18. Dengan kata-kata itu, sukacita saya merasmikan Majlis Penutupan Program Impact Digital with Community Tourism (IDCT2023).
Sekian.
Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1342