TEKS UCAPAN
YB DATUK TS. MUSTAPHA SAKMU
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi
PERSIDANGAN ANTARABANGSA INOVASI & KEUSAHAWANAN DALAM PERKOMPUTERAN, KEJURUTERAAN DAN PENDIDIKAN SAINS (InVENT2024)
19 Ogos 2024, Isnin
Bismillahir Rahmanir Rahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan
Salam Sejahtera
Salam Malaysia Madani.
{RUJUK SALUTASI}
Saya ingin menyampaikan salam maaf daripada YAB Perdana Menteri yang tidak dapat hadir merasmikan atas urusan yang memerlukan beliau untuk hadir. YB Menteri juga tidak dapat mewakili YAB PM kerana perlu hadir dalam satu program yang sudah dijadualkan lebih awal.
Oleh yang demikian, izinkan saya untuk membacakan teks ucapan YAB Perdana Menteri.
1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, hari ini kita diberi peluang berada dalam satu perhimpunan yang amat bermanfaat. Kita berpeluang berwacana tentang fenomena impak kecerdasan buatan atau AI yang melanda masyarakat sejagat hari ini.
2. Kini AI diangkat sebagai teknologi yang bersifat revolusioner, mempunyai potensi untuk mengubah pelbagai aspek kehidupan manusia. AI juga mampu merancang masa depan, membawa perubahan paradigma, malahan mentransformasi zaman.
3. Ziauddin Sardar dalam rencananya `Welcome to Post-normal Times’ berbicara tentang zaman pasca normal atau post-normal times di mana kita sedang memasuki era berteras kompleksiti, kekacauan, dan percanggahan. Inilah juga fasa dimana ketidaktentuan serta kejahilan akan meningkat dengan drastik.
4. Kepesatan perubahan itu berlaku terlalu cepat sehingga menekan kita untuk menggerakkan arahan baharu yang mencabar peraturan pentadbiran yang lama.
5. Memetik kata-kata Dr. András Koltay, Profesor Undang-Undang dan Presiden National Media and Infocommunications Authority and the Media Council, yang memperingatkan, “walaupun mungkin kelihatan AI memahami kita, keputusannya berdasarkan model matematik,ia tidak mempunyai kecerdasan sebenar”
Para hadirin sekalian,
6. Dalam kehidupan hari ini, kita perlu akui betapa pentingnya AI. AI berperanan membantu kita meningkatkan kualiti hidup, kecekapan dan kreativiti manusia. Aplikasi AI berupaya mencipta pengalaman perbualan interaktif dan dinamik. Algoritma boleh digunakan untuk merangkum jumlah teks yang besar, imej bergerak, interaktif, dan mencapai tahap realiti peribadi yang baharu.
7. Makanya, saya menaruh sepenuh keyakinan bahawa para penyelidik, pembangun dan pembuat keputusan harus bekerjasama untuk membangunkan teknologi dan mengaplikasikannya secara bertanggungjawab dan beretika.
8. Saya juga ingin menegaskan, bahawa nilai- nilai manusia, perlindungan data dan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab semuanya terkesan serta diberi makna yang baharu oleh teknologi ini.
9. Namun, kita perlu sedar tentang sisi gelap AI: teknologi deep fake menghakis kepercayaan terhadap realiti digital. Berita palsu dan kandungan yang mengelirukan secara asasnya mengubah persepsi kita terhadap realiti, mengancam integriti maklumat dan menimbulkan keraguan.
10. Kini, semakin sukar untuk dibezakan antara yang sebenar dengan yang palsu di alam maya. Disebabkan oleh kesan AI, kita dengan mudah kehilangan keupayaan untuk mengenal pasti sumber yang boleh dipercayai.
11. Saya ingin membangkitkan isu-isu fundamental yang masih sukar untuk ditangani dengan tuntas, antaranya:
Bagaimana kita boleh menjamin perlindungan data? Apakah standard etika yang diperlukan untuk pembangunan dan penggunaan kecerdasan buatan? Bagaimana kita boleh memastikan teknologi kekal mudah diakses dan adil untuk segenap lapisan masyarakat?
Hadirin sekalian,
12. Hakikatnya, AI mempunyai potensi yang besar: ia boleh membantu kita mencari penyelesaian kepada cabaran yang kita hadapi, sama ada perubahan iklim, penjagaan kesihatan atau pendidikan. AI bukan entiti terasing tetapi sebahagian daripada kehidupan seharian kita, dan kita semua bertanggungjawab untuk memanfaatkannya sebaik mungkin.
13. Selagi kita terus berfikir dalam paradigma usang tanpa kesepaduan antara kederasan teknologi, peraturan dan penyertaan sosial, kita akan sentiasa ketinggalan. Justeru, kehadiran sosok ilmuwan berpemikiran hebat yang bergabung dengan kepakaran tempatan dalam Persidangan InVENT2024, saya lihat amat tepat pada masanya.
14. Kita ingin memastikan bahawa kita berhubungan dengan pemikir terkemuka yang sebenarnya tidak hanya peka terhadap apa yang berlaku, malah terhadap apa yang akan berlaku.
15. Jadi, mari kita keluar dari mod reaktif dan beralih ke mod proaktif. Bertepatan dengan gagasan Malaysia MADANI, saya amat berbangga bahawa UiTM telah menyemarakkan lagi mekanisme ini dan memastikan semua orang memainkan peranan masing-masing.
Hadirin sekalian,
16. Dalam era pasca normal ini, kita dituntut membuat perubahan dengan pantas. Keperluan kepada `sense of urgency’ ini sangat jelas. Kita harus menggalakkan penerokaan pasaran Malaysia dalam kecerdasan buatan contohnya menerapkan teknologi AI bagi menderaskan proses pensijilan halal.
17. Dalam masa yang sama, kita memerlukan dasar dan undang-undang demi mengelakkan isu ketirisan tatakelola AI. Pendekatan umum kita adalah untuk meminimumkan risiko: untuk mengenal pasti risiko yang berkaitan dengan impak AI ke dalam masyarakat dan kehidupan kita.
18. Lihat sahaja beberapa contoh antaranya, penggunaan AI di tempat awam, sistem kamera pengawasan yang mampu mengesan identiti biometrik; pengenalpastian emosi pelajar dan pekerja; aplikasi AI untuk tindakan pencegahan jenayah.
19. Kesan aplikasi AI pada tahap pendedahan tertinggi patut diteliti mencakupi kes-kes berkait hak sosial, kebajikan atau warga berisiko. AI digunakan untuk membuat profiling atau menapis pencari kerja, menjejak proses perkembangan kanak-kanak yang sihat sehinggalah ke proses di mana amalan demokrasi di pertaruhkan. Ringkasnya, impak positif yang tercetus dari AI juga datang bersama-sama dengannya risiko tertentu.
20. Tekad kita perlu jelas. Justeru, saya menyeru semua pihak menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi antara 20 negara teratas dalam teknologi AI.
21. Kita telah bersetuju membantu membangunkan ekosistem AI negara dari segi membina pusat kecemerlangan bagi memudahkan pembelajaran dan penyelidikan AI, termasuk membina sistem pengkomputeran awan AI Malaysia sendiri. Mengenai bidang kawal selia, Malaysia kini terlibat secara aktif dalam membentuk kerjasama ekonomi digital di peringkat ASEAN.
22. Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) sememangnya sangat dinanti- nantikan. DEFA diunjur memanfaat nilai berjumlah sehingga US$2 trilion (US$1=RM4.70) bagi ekonomi digital ASEAN menjelang 2030 melalui peraturan perdagangan yang diselaraskan, standard saling kendalian dan kerjasama yang dipertingkatkan dengan negara anggota. Selain daripada Rang Undang-undang Keselamatan Siber 2024 baharu yang dibentangkan Mac lalu, Jabatan Perlindungan Data Peribadi sedang dalam peringkat akhir merangka rang undang-undang untuk meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709]. Pada masa yang sama, rang undang-undang perkongsian data nasional sedang digubal oleh Jabatan Digital Negara (JDN), sebuah lagi agensi di bawah Kementerian Digital.
23. Peranan penting sektor awam dalam mengatur kecerdasan buatan memang tidak dapat disangkal. Gianluca Misuraca telah berbicara mengenai peranan negara dalam konteks kecerdasan buatan dan secara luas:
iaitu peranan negara sebagai pengatur, pengguna, dan perantara.
24. Sebagai pengatur, kita perlu menetapkan rangka kerja, prinsip, dan garis-garis merah yang tidak boleh dilanggar oleh sesiapa pun. Negara juga adalah pengguna teknologi ini apabila menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada warganya. Sebagai perantara, ia memudahkan penerimaan sosial kecerdasan buatan dengan menggalakkan inovasi dan kerjasama antara pemacu kepentingan di peringkat tempatan, kebangsaan mahu pun global.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
25. Sekali lagi, saya menyeru masyarakat akademik dan profesional, masyarakat, dan pemerintah untuk terlibat dalam menilai, merancang, dan menerapkan teknologi ini demi kesejahteraan sejagat.
26. Saya berharap, lebih banyak kolaborasi, lebih banyak kemitraan, dan pengintegrasian ilmu dpaat dilaksanakan. Adalah amat penting untuk membina kesatuan dalam tindakan (wahdatul-‘aml) di sebalik kerencaman pemikiran supaya tercetus lebih banyak inovasi.
27. Tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat menjayakan program dan persidangan hari ini.
28. DENGAN LAFAZ BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM,
SAYA MERASMIKAN PERSIDANGAN ANTARABANGSA INOVASI DAN KEUSAHAWANAN DALAM PENGKOMPUTERAN, KEJURUTERAAN DAN PENDIDIKAN SAINS (INVENT), 2024.
Sekian. Selamat bersidang.
Terima kasih.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1778