YBTM Promosi Inisiatif KPT Di Karnival Raya Pendidikan Tinggi @Sabah
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud telah menghadiri Karnival Raya Pendidikan Tinggi @Sabah di sini hari ini.
Majlis anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Jabatan dan Agensi di bawah KPT yang diterajui oleh mahasiswa Sabah ini menyaksikan gabungan usaha sama mahasiswa dan pelajar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Politeknik dan Kolej Komuniti dalam pelaksanaan majlis bagi mendedahkan mereka berkenaan kerja lapangan sebenar dengan komuniti.
Dalam pada itu, YBTM dalam ucapannya turut menyentuh berkaitan pengukuhan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
"KPT berpendirian bahawa masih terdapat ruang dan peluang untuk diterokai dalam usaha meningkatkan akses dan kualiti keberhasilan pembelajaran STEM dalam kalangan pelajar.
"Sehubungan itu, tanggungjawab serta sokongan yang utuh daripada semua pihak amat diperlukan bagi memastikan objektif tersebut tercapai," tambahnya lagi.
Turut berlangsung, acara penyampaian sijil perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SPS) dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang disampaikan oleh YBTM sendiri kepada wakil penerima.
Selain itu, YBTM turut menyampaikan sumbangan amal kepada lima (5) orang wakil Rumah Kebajikan Sepanggar.
Diiringi oleh ketua-ketua pengarah di bawah Jabatan dan agensi KPT, YBTM turut mengambil peluang untuk beramah mesra bersama semua penduduk kampung, anak-anak yatim, pelajar sekolah dan mahasiswa dalam usaha merakyatkan KPT melalui program silaturahim ini.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 906