YBTM Panel Dialog Belia Borneo Program SICO Borneo 2024
Mengangkat tema 'Belia dan Pendidikan' bagi sesi pleno 5, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud sebagai anak jati Sabah hadir penuhi jemputan panel dialog Belia Borneo Program SICO Borneo 2024 di sini pagi tadi.
Kupasan topik 'Antara Pendidikan Pengajian Tinggi atau Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional mana satu pilihan terbaik?' menjadi diskusi perdebatan utama yang menarik minat seramai 120 orang peserta Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) International Conference 2024 (SICO BORNEO 2024) yang terdiri daripada belia dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia.
“Belia masa kini adalah cerminan masa depan. Jatuh bangunnya sesebuah negara terletak di tangan pemuda-pemudi masa kini kerana mereka merupakan waris kepimpinan negara pada masa akan datang.
"Justeru, belia masa kini perlu dididik dan dipimpin dari sekarang bagi mewarnai corak masa hadapan yang lebih baik, tenang dan harmoni," katanya dalam ucapan.
Dalam pada itu, beliau berkata bagi mengangkat martabat negara maju berpaksikan teknologi, kita juga perlulah memantapkan kemahiran tenaga kerja atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.
Pengajian Pendidikan Tinggi dan TVET ini sama penting dan menawarkan nilai signifikan yang tersendiri.
Ibarat simbiosis, dalam konteks pendidikan secara total, pengajian pendidikan tinggi perlukan TVET dan TVET jua memerlukan pengajian pendidikan tinggi.
Justeru, belia negara ini perlu diperkasakan dengan pendidikan sewajarnya bagi mencapai tahap negara maju yang diharapkan kerana belialah bakal peneraju kepimpinan masa hadapan.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, YBhg. Dato’ Mansor Haji Asun; Presiden SSEAYP International Malaysia (KABESA), YBhg. Datuk Che Muhamad Nordin Ismail; Presiden SSEAYP International Indonesia Incorporated, Pia Adiprima; serta Presiden KABESA Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan merangkap Pengerusi Program SICO Borneo 2024, YBhg. Dato’ Juhari Janan.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1405