YBM Ucap Selamat Ulang Tahun Keputeraan Ke-63 Maharaja Jepun

YBM Ucap Selamat Ulang Tahun Keputeraan Ke-63 Maharaja Jepun

KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mencemar duli ke majlis resepsi sambutan ulang tahun keputeraan ke-63 Maharaja Naruhito yang telah dianjurkan oleh kedutaan besar Jepun di sini malam tadi.

Ketibaan SPB Permaisuri Agong telah disambut oleh YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi bersama TYT Takahashi Katsuhiko, Duta Besar Jepun ke Malaysia serta dif-dif kehormat yang lain.

Sebelum itu, YB Menteri mewakili kerajaan Malaysia telah menujukan ucap selamat ke atas Maharaja Jepun sempena hari keputeraan baginda yang disambut pada 23 Februari setiap tahun.

YB Dato' Seri Mohamed Khaled turut menyatakan harapan kerajaan agar hubungan baik antara Malaysia-Jepun yang telah terbina selama ini akan terus erat dan kukuh hingga ke masa-masa akan datang.

YB Menteri dan TYT Duta Besar Jepun seterusnya telah mengiringi SPB Permaisuri Agong singgah ke reruai pameran jenama-jenama besar serta aneka juadah tradisional dari negara Matahari Terbit tersebut.

Hadir sama TYT Tun Seri Setia Dr. Hj. Mohd Ali Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka juga Canselor UTeM, YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, serta YBhg. Dato' Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, TKSU (Dasar) KPT.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1495
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 08 Disember 2023, 17:12:30.