YBM Lawat Unisza Kampus Besut

YBM Lawat Unisza Kampus Besut

YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi telah menyempurnakan Majlis Perasmian Kompleks Akademik dan Pentadbiran, Bangunan Perpustakaan Al-Wathiqu Billah, Taman Rimba Ilmu Ramah Bris (TRIBE) dan Agropreneur Incubator Park (AIP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Besut di sini, hari ini.

Kompleks Akademik dan Pentadbiran, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dilengkapi dengan kemudahan dua buah dewan auditorium, sebuah bilik mesyuarat Senat, sebuah bilik seminar dan 12 buah bilik kuliah bagi kemudahan warga kampus.

Kompleks tersebut turut menempatkan Perpustakaan AlWathiqu Billah yang dapat memuatkan 500 pengguna dan mempunyai kemudahan lengkap termasuk ruang belajar, bilik perbincangan, bilik mesyuarat, bilik tesis serta bilik siswazah.

YB Menteri turut merasmikan TRIBE yang merupakan satu usaha merealisasikan kampus hijau di UniSZA Kampus Besut (UKB). Usaha pemeliharaan dan pemuliharaan pokok-pokok hutan tropika dan pokok-pokok lain yang bersesuaian bakal dilakukan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.

AIP pula merupakan satu projek inisiatif UniSZA untuk menyediakan ruang niaga kepada alumni IPT menceburi bidang keusahawanan tani secara professional. Projek ini berkonsepkan usahawan tani dengan penglibatan 20 orang peserta dengan kontrak selama 3 tahun. Antara tanaman yang diusahakan ialah labu, ubi dan tembikai serta Melon Manis Terengganu (MMT).

Turut hadir Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, TKSU (Dasar), Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff, TKSU (Pengurusan dan Pembangunan), Prof Dato’ Dr. Husaini Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Fadzli Adam, Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar, Naib Canselor UMT.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 3839
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 29 Mei 2024, 21:46:47.