KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Berkenan Berangkat Menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Uitm Ke-94

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Berkenan Berangkat Menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Uitm Ke-94

Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan menyempurnakan sidang pertama Istiadat Konvokesyen UiTM ke-94 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Shah Alam, bermula hari ini.

Turut berangkat ke majlis pagi tadi, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, Pro-Canselor UiTM yang diiringi oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi bersama barisan Lembaga Pengarah UiTM.

Dalam sidang pagi tadi, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menganugerahkan kurnia gelaran Profesor Emeritus kepada Dr Normah Haji Omar atas sumbangan dan kepakaran beliau dalam bidang Kriminologi Kewangan Islam.

Sumbangan beliau di peringkat nasional telah berjaya menaikkan taraf kedudukan usahawan wanita dengan membangunkan produk-produk baharu Kewangan Islam hingga pernah dinobatkan sebagai Wanita pertama paling berpengaruh dalam bidang Kewangan Islam oleh Cambridge International Finance Advisory pada tahun 2020.

Istiadat konvokesyen kali ini akan berlangsung secara bersemuka bermula 10 hingga 29 September 2022 dengan 21,851 graduan akan menerima sijil penganugerahan ijazah dan diploma dalam bidang masing-masing.

Turut hadir Prof. Dato' Dr. Husaini Omar, KPPT, dan Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 3767
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 Julai 2024, 10:52:23.