YB Timbalan Menteri Rasmikan Jom Masuk U Di Tawau
Program Jom Masuk U (JMU2024) yang memasuki siri jelajah lokasi ke 5 (Zon Sabah I) disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud di Tawau hari ini.
JMU2024 merupakan 'Signature' program tahunan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) diadakan di Dewan Sukan Tertutup, Kompleks Sukan Tawau dengan kerjasama rakan strategik Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Penyertaan turut melibatkan Universiti Awam (UA), Jabatan Pendidikan Politeknik Dan Kolej Komuniti (JPPKK), Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), agensi-agensi di bawah KPT seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), serta penglibatan hampir 30 Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) yang terpilih.
YB Timbalan Menteri dalam ucapannya menyifatkan, sebagai medium interaksi yang informal dan bersifat santai, Jom Masuk U membolehkan pelajar, ibu bapa, pendidik, kaunselor dan masyarakat umum untuk mendapatkan maklumat berkenaan peluang pengajian dan pembiayaan yang ditawarkan oleh IPTA, IPTS, ILKA, ILKS dan agensi pembiayaan secara langsung di bawah satu bumbung.
Tambahnya, terdapat sebanyak 504 buah program pengajian ditawarkan kepada lepasan SPM dan 1,114 buah program pengajian ditawarkan kepada lepasan STPM/Setaraf oleh UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA seluruh negara.
JMU2024 yang dilaksanakan di sepuluh (10) zon seluruh Malaysia jelasnya dilihat dapat memperluas akses dan ekuiti ke pendidikan tinggi sejajar dengan aspirasi Kementerian.
Turut hadir, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor; Pegawai-pegawai Kanan kementerian; Pegawai Utama dan Kanan UMS dan; Pegawai-pegawai Kanan dan guru-guru Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 825