YB Menteri Pendidikan Tinggi Serah Surat Pelantikan Timbalan Naib Canselor 3 Universiti Awam

YB Menteri Pendidikan Tinggi Serah Surat Pelantikan Timbalan Naib Canselor 3 Universiti Awam

YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menyampaikan surat pelantikan kepada tiga (3) orang Timbalan Naib Canselor Universiti Awam (TNC UA) di pejabatnya petang tadi.

Pertama-tama, YB Menteri Pendidikan Tinggi telah menyerahkan surat pelantikan sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaya (UM) yang baharu kepada Prof. Dr. Zamri Radzi yang berkuat kuasa 28 Jun 2024 depan.

Beliau yang perpengalaman luas dalam urusan pentadbiran universiti, sebelum ini pernah menyandang jawatan Dekan Fakulti Pergigian UM semenjak tahun 2021, serta turut dilantik sebagai Pengerusi Majlis Dekan Pergigian Malaysia.

Prof. Dr. Zamri turut aktif dalam pelbagai organisasi pergigian antarabangsa seperti Southeast Asia Association of Dental Education dan ASEAN-China Education Committee, malah merupakan antara tokoh utama pembangunan kerangka pendidikan pergigian yang kini digunakan di rantau Asia.

Selain itu, dua (2) orang penyandang jawatan Timbalan Naib Canselor turut menerima surat pelantikan semula mereka.

Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi telah menerima surat pelantikan semula sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Memiliki kepakaran dalam bidang sistem pengurusan maklumat, perkhidmatan beliau di UiTM telah menjangkau tempoh 20 tahun dan pelantikan semulanya ini bakal meneruskan agenda pembangunan dan pemerkasaan mahasiswa yang telah digarapnya di peringkat universiti dalam mendokong aspirasi Kementerian.

YB Menteri Pendidikan Tinggi turut menyampaikan surat pelantikan semula Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kepada Prof. Ir. Dr. Rizalafande Che Ismail.

Berlatar belakangkan bidang kejuruteraan elektronik yang mengkhusus kepada kejuruteraan mikroelektronik dan teknologi semikonduktor, sumbangan beliau dalam bidang penyelidikan dan inovasi di UniMAP melalui konsep pembinaan Rumah Lestari dan konsep Rumah Ibadat Hijau telah memberikan impak signifikan kepada komuniti dan masyarakat di negeri Perlis umumnya.

Justeru, pelantikan semula ini akan membolehkan beliau untuk terus memperkasakan hasil penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan di UniMAP ke peringkat yang lebih tinggi di dalam dan di luar negara.

Pelantikan kedua-dua TNC UiTM dan UniMAP ini berkuat kuasa mulai 24 Jun 2024 dan ia signifikan dalam memastikan kesinambungan kecemerlangan akademik, pembudayaan ilmu dan peneguhan tradisi intelektual pendidikan tinggi negara.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 341
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 Julai 2024, 10:52:23.