YB Menteri Berdiskusi Bersama Para Pensyarah Muda UA Di Program Karisma: Pemikir Madani Anjuran AKEPT

YB Menteri Berdiskusi Bersama Para Pensyarah Muda UA Di Program Karisma: Pemikir Madani Anjuran AKEPT

Golongan pensyarah muda di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) memiliki atribut yang dihormati sebagai golongan profesional yang bijak, terbuka dan fleksibel, serta memiliki kompetensi sebagai pemangkin kepada pelbagai perubahan yang bermanfaat kepada rakyat dan negara.

Berteraskan enam nilai teras Malaysia MADANI serta penguasaan ilmu yang mendalam, golongan ini juga diharap mampu menerbitkan ilmu baharu, sekali gus berupaya mengemudi negara ke mercu dunia melangkaui cabaran zaman pasca normal.

Justeru, penganjuran program Kepimpinan Muda Kebangsaan (KARISMA): Pemikir MADANI oleh Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang turut disertai oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir tengah hari tadi, telah menjadi platform terbaik menghantar cadangan, harapan dan isu yang melingkari para pensyarah muda di Universiti Awam (UA).

Pada Mac lalu, YB Menteri telah hadir ke program yang sama, tetapi bersama para pemimpin gerakan pelajar IPT, namun kali ini golongan pensyarah muda telah diberi peluang mendengar pengisian bertemakan kepimpinan dan kenegaraan daripada para pensyarah yang berpengalaman luas dan berkaliber.

Dalam sesi diskusi antara YB Menteri bersama para peserta yang terdiri daripada lebih 120 orang pensyarah muda dari semua 20 UA, beliau turut berkongsi pengalamannya bertugas sebagai seorang pensyarah dahulu.

Topik-topik diskusi meliputi tujahan kecerdasan buatan (AI - Artificial Intelligence) serta implikasinya terhadap proses pengajaran dan pembelajaran (PdP); meningkatkan bilangan geran-geran penyelidikan; serta mencari cara baharu mendekati generasi alfa.

Selain itu, YB Menteri menerima beberapa input seperti melatih edufluencer dalam menyebarluas ilmu dan pengetahuan di media sosial; termasuklah mewujudkan pelbagai bengkel berkaitan kepimpinan bagi kesiapsiagaan para pensyarah di masa depan.

Malah, YB Menteri turut berkongsi cerita tentang pertemuannya dengan Timbalan Menteri Pendidikan, Budaya, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun, Akio Fujiwara bulan lalu berkenaan cara negara tersebut mengembangkan minat rakyatnya terhadap pendidikan STEM sehingga ke tahap yang dibanggakan sekarang.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman; serta Pengarah AKEPT; Prof. Dr Harshita Aini Haroon. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 664
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim