Timbalan Menteri Luang Masa Temui Pemimpin Pelajar Di USM
Sementara di Pulau Pinang, YB Timbalan Menteri telah turut singgah ke Universiti Sains Malaysia (USM) bagi melakukan lawatan kerja sambil meninjau perkembangan para pelajar dari Sabah dan Sarawak yang sedang melanjutkan pengajian mereka di situ.
Diiringi oleh Naib Canselor USM, Dato' Seri Prof. Ir. Abdul Rahman Mohamed, beliau telah turut meluangkan masa beramah-mesra bersama ahli-ahli majlis tertinggi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Pertubuhan Siswa Siswi Sabah (PERSIS) dan Perkumpulan Anak-anak Sarawak (PERKASA) di The Bricks USM.
Di kesempatan itu, kesemua mereka telah membentangkan program-program yang telah dijalankan termasuklah pelbagai inisiatif persatuan yang telah dirangka untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini.
YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud turut menzahirkan penghargaan kepada USM kerana mengaturkan pertemuan ringkas namun bermakna itu dan menyifatkan ia satu ruang yang baik untuk berdiskusi dalam pelbagai hal pemerkasaan pelajar.
“Saya sentiasa mengambil kesempatan untuk bertemu dan melihat sendiri pembangunan anak-anak Sabah dan Sarawak dalam mengemudi kepimpinan di Universiti,” jelasnya.
Beliau turut berharap kerjasama rapat di antara persatuan-persatuan pelajar terbabit sentiasa diperkasakan dan turut menggalakkan apa jua program yang dianjurkan dapat dijayakan secara bersama, seterusnya dapat mencorak masa depan pendidikan tinggi negara yang bersifat inklusif.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Akademik) USM, Prof. Dr. Shaharum Shamsuddin; serta Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM, Mohammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 804