YAB Perdana Menteri melancarkan logo sambutan serta program Larian KPT-YSS-Keluarga Malaysia (1 juta km) bersempena ulang tahun Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) yang ke-10

18 Februari 2022

Dalam majlis perasmian pagi tadi, YAB Perdana Menteri turut melancarkan logo sambutan serta program Larian KPT-YSS-Keluarga Malaysia (1 juta km) bersempena ulang tahun Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) yang ke-10.

Selain itu, beliau turut menyampaikan Sijil APEL kelolaan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) kepada dua orang penerima APEL.A (Access) serta surat tawaran kepada empat orang calon rintis APEL.Q (Qualifications).

Seterusnya, YAB Perdana Menteri telah menyerahkan surat tawaran pengajian serta sumbangan komputer riba, wang zakat UiTM berjumlah RM1000 dan wang tunai berjumlah RM200 kepada empat orang pelajar yang bakal mengikuti Program Pra Pendidikan Tinggi UiTM.

Sumbangan komputer riba turut diserahkan oleh beliau kepada 3 orang pelajar B40 yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Dato' Sri Ismail Sabri turut berbesar hati menyampaikan surat tawaran pekerjaan kepada tiga orang calon yang telah yang berjaya mendapatkan pekerjaan melalui temuduga terbuka anjuran Karnival Jamin Kerja MyFutureJobs kelolaan PERKESO yang diadakan bersempena Karnival KPT Keluarga Malaysia ini.

Akhir sekali, beliau juga menyaksikan simbolik pelancaran Program CSR TVET PolyCC Prihatin@Parit Sulong yang menawarkan khidmat bakti dan kepakaran 15 buah Politeknik dan Kolej Komuniti dalam bidang elektrik kepada masyarakat tempatan.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 8037
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 28 Februari 2024, 20:42:11.