PM Rasmi Karnival KPT Keluarga Malaysia

18 Februari 2022

YB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi telah mengiringi YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob memyempurnakan perasmian Karnival KPT Keluarga Malaysia bertempat di MRSM Batu Pahat pagi tadi.

Karnival bertemakan semangat Keluarga Malaysia tersebut merupakan manifestasi kementerian dalam merakyatkan perkhidmatan serta produk yang ditawarkan oleh semua UA dan agensi di bawah KPT melalui pameran Jom Masuk IPT, pameran kerjaya dan temuduga terbuka, pemeriksaan kesihatan dan lain-lain lagi.

KPT turut menggerakkan kepakaran dan hasil penyelidikan Universiti, Politeknik dan Kolej Komuniti untuk dikongsikan dengan semua lapisan masyarakat tempatan dalam membantu mereka meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup melalui bengkel, kelas bimbingan serta projek kesukarelawanan.

Orang ramai terdiri daripada para belia, ibu bapa dan pendidik yang mengunjungi Karnival tersebut, rata-rata pulang dengan informasi baharu yang membantu merancang destinasi pendidikan tinggi mereka.

YAB Perdana Menteri turut mengumumkan program SULUNG oleh KPT yang dirangka bagi membantu setiap keluarga B40 mempunyai seorang anak bergelar siswazah.

Beliau turut berharap agar Karnival KPT Keluarga Malaysia ini dapat diteruskan ke komuniti lain di seluruh negara supaya manfaatnya dapat dikongsi bersama segenap lapisan masyarakat.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YAB Datuk Husni Mohamad, Menteri Besar Johor, YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar, KSU KPT, Dr Mohd Zabri Yusoff, TKSU (Perancangan dan Pembangunan) KPT, Prof. Dato' Dr. Husaini Omar, Ketua Pengarah JPT, Ts. Zainab Ahmad, Ketua Pengarah JPPKK, para Naib Canselor UA, dan Dato' Sri Dr. Mohammed Azman Dato' Aziz Mohammed, CEO PERKESO, serta para pemimpin masyarakat tempatan.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 799
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 03 Oktober 2024, 04:17:23.

logo-sirim