UUM Meterai Kerjasama Akademik Dengan Lima Universitas Islam Negeri (UIN) Indonesia
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Sekretaris Jenderal Kementerian Agama Republik Indonesia (Kemenag), Prof Dr Muhammad Ali Ramdhani petang tadi telah menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan Kemenag.
MoU bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan kedua-dua negara tersebut telah ditandatangani oleh Naib Canselor UUM Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan dan Direktur Pendidikan Tinggi Keagamaan Islam Kemenag, Prof. Dr. Ahmad Zainul Hamdi.
UUM akan bekerjasama dengan lima (5) Universitas Islam Negeri (UIN) di bawah Kemenag iaitu UIN Ar-Raniry Banda Acheh, UIN Raden Fatah Palembang, UIN Sunan Ampel Surabaya, UIN Sunan Gunung Djati Bandung dan UIN Mataram merangkumi program mobiliti pelajar, persidangan akademik bersama, penyelidikan kolaboratif dan penerbitan ilmiah.
Menurut YBhg. Dato' TKSU (Dasar), seramai 43 pelajar daripada kelima-lima UIN yang ditaja Kemenag melalui Biasiswa Indonesia Bangkit (BIB) akan mengikuti pengajian peringkat sarjana setahun di UUM dan setahun di UIN.
"Ini kali pertama kerjasama antara UUM dan Kemenag, kita harap MoU ini dapat dimanfaatkan serta makin ramai cendekiawan dan ilmuan dilahirkan selain mengeratkan hubungan dalam sektor pendidikan tinggi," jelas beliau lagi.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 730