UTHM Diseru Mantapkan Bidang Teknologi Lestari Dan Pengangkutan

UTHM Diseru Mantapkan Bidang Teknologi Lestari Dan Pengangkutan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) komited dalam misi mereka menjadi sebuah universiti teknopreneur bertaraf global (GTU) yang berupaya melahirkan tenaga kerja mahir selari dengan keperluan industri menjelang 2030.

Justeru, UTHM diseru untuk memantapkan lagi pelaksanaan hala tuju mereka yang bertujahkan kepada teknologi lestari dan pengangkutan agar bidang-bidang tersebut dapat menyumbang kepada penciptaan pekerjaan serta pendapatan negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin berkata demikian ketika membuat lawatan kerja ke kampus utama UTHM di sini pagi tadi

Beliau telah menerima taklimat berkenaan halatuju dan pencapaian UTHM sepanjang 30 tahun penubuhannya daripada Naib Canselor, YBhg. Prof. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim.

Sebagai antara empat (4) anggota Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), YB Menteri turut menyeru pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh UTHM untuk menggiatkan jalinan kerjasama dengan industri berkaitan tujahan mereka bagi memperbanyak program perantisan yang bakal memanfaatkan semua pihak berkepentingan.

Beliau turut menyarankan UTHM untuk meneroka kebolehlaksanaan serta potensi program 'Work-Based Learning' dan bidang TVET Termaju dalam meningkatkan bilangan enrolmen, di samping memberi nilai tambah kepada graduan di pasaran kerja kelak.

Pada majlis yang sama, beliau turut dibawa melawat pameran yang memaparkan produk-produk inovasi UTHM serta meninjau perlaksanaan Menu Siswa Rahmah di situ.

Selain itu, beliau turut menyaksikan penyerahan dua (2) Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani antara UTHM dengan Elsevier dan juga Fuzi Dream Sdn. Bhd.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Dr. Mohd. Zabri Yusoff; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UTHM, YBhg. Dato' Sri Ibrahim Ahmad; dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato' Prof. Dr. Norzaini Azman.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2174
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 28 Februari 2024, 20:42:11.