PTPTN Anjur Majlis Mesra Bersama Pelanggan 2023

PTPTN Anjur Majlis Mesra Bersama Pelanggan 2023

YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi hari ini telah meluangkan masa bertemu dan beramah mesra bersama wakil daripada Kementerian, agensi kerajaan, agensi swasta, pihak industri dan media dalam Majlis Mesra Bersama Pelanggan 2023 anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Majlis ini diadakan sebagai menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang selama ini telah banyak memberikan sokongan dan kerjasama padu dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan PTPTN.

Dalam ucapannya, YB Timbalan Menteri mengucapkan tahniah atas inisiatif PTPTN yang sentiasa membantu masyarakat Malaysia terutamanya golongan pelajar melalui program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Tambah beliau, usaha PTPTN ini wajar dicontohi oleh agensi-agensi lain dengan menjadikan Simpan SSPN sebagai pilihan utama untuk pemberian sumbangan dalam memartabatkan pendidikan tinggi negara sekali gus akan membantu meningkatkan kesedaran budaya menabung bagi tujuan pendidikan tinggi.

Beliau turut berkesempatan menyampaikan sumbangan CSR berjumlah RM10,000 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime kepada 20 orang pelajar istimewa iaitu 10 orang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan 10 orang pelajar Universiti Malaya (UM). UIAM dan UM telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PTPTN dan sumbangan ini merupakan salah satu bentuk kerjasama strategik, tanda keprihatinan PTPTN dalam aspek pendidikan.

Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiuasaha (Dasar), KPT; YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN; pegawai-pegawai kanan KPT dan PTPTN serta kira-kira 1,500 orang tetamu jemputan.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2153
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 15 April 2024, 21:14:58.