URIIS 2026: Penyelidikan Universiti Diseru Selari Transformasi Ekonomi Negara

URIIS 2026: Penyelidikan Universiti Diseru Selari Transformasi Ekonomi Negara

22 September 2026 | Kuala Lumpur

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim menegaskan penyelidikan universiti perlu bergerak seiring dengan keutamaan pembangunan negara bagi memastikan hasil penyelidikan tidak terhenti pada peringkat percubaan, sebaliknya dapat diterjemahkan kepada inovasi, pasaran dan manfaat kepada masyarakat.

Beliau berkata universiti perlu memperluas hubungan dengan industri dan kerajaan, selain memanfaatkan kemudahan komunikasi, infrastruktur digital serta sumber pembiayaan yang tersedia bagi membina laluan lebih jelas daripada penyelidikan kepada pasaran.

Katanya, peranan universiti juga perlu dilihat melangkaui fungsi pendidikan dengan merangkumi pembangunan penyelidikan, harta intelek, bakat teknologi, keusahawanan dan sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta negara.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Sesi Pleno 1, “Menentukan Hala Tuju Malaysia ke Arah 2030: Penyelidikan, Inovasi dan Pelaburan untuk Pembangunan Negara” pada Sidang Kemuncak Pelaburan Penyelidikan dan Inovasi Universiti (University Research & Innovation Investment Summit – URIIS) 2026 yang menampilkan Menteri Komunikasi, YB Dato’ Seri Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai panel.

YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah berkata universiti perlu memahami sektor yang menjadi keutamaan negara dan menyelaraskan agenda penyelidikan dengan hala tuju ekonomi bagi meningkatkan peluang hasil penyelidikan untuk dikomersialkan serta membina keupayaan tempatan.

Beliau berkata pendekatan itu penting dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi negara melalui sektor yang dikenal pasti menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu (New Industrial Master Plan – NIMP), Strategi Semikonduktor Nasional (National Semiconductor Strategy – NSS) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (National Energy Transition Roadmap – NETR).

Menurutnya, Kerajaan turut menyediakan sumber pembiayaan melalui institusi pelaburan serta insentif bagi menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menyokong agenda nasional, termasuk pembangunan harta intelek dalam negara.

Dalam pada itu, YB Dato’ Seri Ahmad Fahmi berkata keterhubungan digital merupakan asas kepada pembangunan penyelidikan dan inovasi, termasuk membolehkan penyelidik menjalankan kajian serta menguji penyelesaian di kawasan luar bandar dan pedalaman yang sebelum ini berdepan keterbatasan akses komunikasi.

Beliau berkata universiti perlu meningkatkan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi dan industri kerana pemain sektor berkenaan mempunyai kepakaran, kemudahan serta peruntukan penyelidikan dan pembangunan yang boleh dimanfaatkan untuk membangunkan penyelesaian berdasarkan keperluan sebenar.

Secara keseluruhannya, perbincangan pada Sesi Pleno 1 URIIS 2026 tadi menekankan bahawa kejayaan penyelidikan universiti bukan hanya diukur melalui penghasilan ilmu dan inovasi, tetapi juga keupayaan menghubungkannya dengan keutamaan negara, pembiayaan, industri, infrastruktur digital serta keperluan masyarakat bagi menghasilkan nilai ekonomi dan sosial yang lebih besar menjelang tahun 2030.

  • Last updated on .
  • Hits: 282
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 28 September 2026, 10:34:15.

logo-sirim