URIIS 2026 Medan Hubung Penyelidikan Universiti Dengan Industri dan Pelabur

URIIS 2026 Medan Hubung Penyelidikan Universiti Dengan Industri dan Pelabur

22 September 2026 | Kuala Lumpur

Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pagi tadi merasmikan Sidang Kemuncak Penyelidikan dan Inovasi Universiti serta Pelaburan (University Research and Innovation Investment Summit, URIIS) 2026 yang dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menghubungkan hasil penyelidikan universiti dengan industri, pelabur dan laluan pengkomersialan.

Berlangsung dari 21 hingga 23 September di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), URIIS 2026 menghimpunkan lebih 1,000 orang peserta daripada lebih 20 universiti awam dan swasta bersama para pemimpin industri, pelabur, agensi kerajaan, penyelidik dan inovator.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapan alu-aluannya berkata URIIS diwujudkan bagi menyediakan ruang kepada penyelidik universiti mengetengahkan hasil penyelidikan secara langsung kepada industri, pelabur dan rakan berpotensi.

Menurut beliau, usaha itu bertujuan mempercepatkan peralihan hasil penyelidikan daripada peringkat penerbitan, paten dan prototaip kepada penyelesaian, produk serta peluang perniagaan yang boleh digunakan dan dikembangkan.

Dalam ucapan perasmiannya, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid berkata Malaysia perlu menangani jurang antara penyelidikan dengan pengkomersialan dan pengembangan teknologi bagi memastikan lebih banyak hasil penyelidikan tempatan diterjemahkan kepada produk, harta intelek dan perusahaan milik Malaysia.

Beliau berkata kerajaan boleh membantu membiayai penemuan dan penyelidikan, namun apabila sesuatu teknologi menunjukkan potensi pasaran, industri, pelabur dan modal swasta perlu memainkan peranan untuk membawa inovasi berkenaan ke peringkat seterusnya.

YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid turut menawarkan kawasan luar bandar sebagai makmal hidup (living lab), termasuk dalam bidang kesihatan digital, tenaga boleh baharu, teknologi air dan logistik pintar, dengan Bagan Datuk dan Hutan Melintang antara kawasan yang dibuka kepada penyelidik.

Sehubungan itu, beliau meminta KPT bekerjasama dengan kementerian lain, universiti, industri dan rakan pelaburan untuk membuat susulan terhadap teknologi berpotensi yang diketengahkan menerusi URIIS, termasuk mengenal pasti teknologi yang mampu menarik modal dan bergerak ke arah pengkomersialan.

Pengisian URIIS merangkumi dialog universiti-industri, pameran teknologi dan produk, jaringan perniagaan, penilaian teknologi, pelesenan, pembiayaan serta sesi berkaitan pengkomersialan, termasuk Arena Pelaburan dan Pengkomersialan (Investment and Commercialisation Arena) serta Arena Maklum Balas Penyelidikan dan Industri (Research and Industry Feedback Arena).

Majlis turut menyaksikan pelancaran Garis Panduan Industri Dalam Kampus (Industry on Campus, IOC) bagi universiti awam serta penyampaian memorandum perjanjian (MoU) antara universiti dan rakan strategik industri.

Turut hadir Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; serta naib-naib canselor universiti, wakil industri, pelabur, agensi kerajaan, para Pesuruhjaya Tinggi dan Duta asing.

  • Last updated on .
  • Hits: 263
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 28 September 2026, 10:34:15.

logo-sirim