UPSI, Alma Mater Timbalan Menteri Bolot Emas 100m SUKIPT 2026

UPSI, Alma Mater Timbalan Menteri Bolot Emas 100m SUKIPT 2026

2 September 2026 | Kuala Lumpur

Masuk hari ke-5 penganjuran Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 semalam menyaksikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), alma mater Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim menguasai pentas pecut dengan membolot emas acara 100 meter (m) lelaki dan wanita.

UPSI menguasai penuh acara 100m wanita apabila Fatin Ilyana Mat Nayan, Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka dan Nur Izzati Eliana Suhaidi masing-masing meraih emas, perak dan gangsa.

Lebih membanggakan, Danish Iftikhar Muhammad Roslee muncul juara acara 100m lelaki dengan catatan 10.36 saat, sekali gus memecahkan rekod kejohanan.

Danish, pelari pecut muda yang merupakan antara prospek masa depan olahraga negara, sebelum ini mencipta sejarah mara ke final 100m Kejohanan Olahraga Remaja Dunia Bawah 20 Tahun 2026 di Oregon, Amerika Syarikat, selain bergelar Raja Pecut SUKMA Selangor 2026 dan pemegang rekod kebangsaan 200m.

Pencapaian atlet UPSI itu turut menjadi antara tumpuan ketika YB Tuan Adam Adli turun padang meninjau beberapa venue pertandingan di Universiti Malaya (UM), selain meluangkan masa menyantuni atlet, pegawai pasukan, sukarelawan, petugas dan para penyokong yang memeriahkan temasya.

Beliau turut meninjau pertandingan bola tampar serta menyaksikan perlawanan akhir sepak takraw dan olahraga sebelum menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Turut hadir mengiringi ialah Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Fazidah Mustafa yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SUKIPT 2026 serta Naib Canselor UPSI, Dato’ Prof. Dr. Md Amin Md Taff.

Kehadiran pimpinan KPT secara langsung di venue pertandingan mencerminkan sokongan berterusan kementerian terhadap pembangunan sukan IPT, bukan sahaja dengan menyaksikan aksi atlet, malah menghargai sumbangan warga yang menggerakkan temasya.

  • Last updated on .
  • Hits: 275
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 10 September 2026, 09:59:34.

logo-sirim