KPT, JKR Sarawak Selaras Pelaksanaan Projek Infrastruktur IPT

KPT, JKR Sarawak Selaras Pelaksanaan Projek Infrastruktur IPT

2 September 2026 | Kuching, Sarawak

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menyelaraskan gerak kerja bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bagi memastikan projek pembangunan infrastruktur institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) di Sarawak dilaksanakan mengikut jadual, berkualiti serta memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan telah mengetuai kunjungan hormat kepada Pengarah JKR Sarawak, Datu Adj. Prof. Ir. Ts. Gs. Br. PMr. QPr. Is. Dr. Cassidy anak Morris di Ibu Pejabat JKR Sarawak pada 27 Ogos lalu.

Pertemuan tersebut telah menjadi platform penyelarasan antara KPT dengan JKR Sarawak, khususnya dalam memastikan pelaksanaan dan pemantauan projek pembangunan infrastruktur IPTA berjalan lancar serta menepati keperluan institusi.

Antara tumpuan utama perbincangan ialah penyelarasan teknikal dan penyelesaian isu yang timbul di lapangan bagi memastikan sebarang kekangan dalam pelaksanaan projek dapat dikenal pasti serta ditangani secara bersama.

Kerjasama antara kedua-dua pihak juga telah diberi perhatian bagi memastikan projek yang dilaksanakan memenuhi spesifikasi, standard kualiti dan keperluan fungsi Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Penyelarasan secara berterusan turut membolehkan KPT, JKR Sarawak dan institusi berkaitan mengambil tindakan secara lebih bersepadu terhadap perkara yang berpotensi menjejaskan kemajuan projek, sekali gus memastikan pelaksanaan pembangunan dapat berjalan dengan lebih teratur.

KPT telah menzahirkan penghargaan kepada JKR Sarawak atas sokongan serta kepakaran teknikal yang diberikan dalam menjayakan agenda pembangunan infrastruktur pendidikan tinggi di Sarawak.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah delegasi KPT yang terdiri daripada wakil Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) serta pengarah-pengarah politeknik di Sarawak.

  • Last updated on .
  • Hits: 250
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 10 September 2026, 09:59:34.

logo-sirim