UPM Terima Pengiktirafan MBOR Untuk Projek Solar Suria16

Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatat sejarah baharu apabila menerima dua (2) pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) atas kejayaan pelaksanaan projek tenaga boleh baharu yang berimpak tinggi. Pengiktirafan tersebut adalah bagi Projek “Rooftop Solar Photovoltaic (PV)” terbesar di universiti awam dan sistem “Floating Solar & Walkway @Eng UPM (FSW)” yang merupakan hidroponik-aquavoltaic bersepadu pertama di Malaysia.
Majlis bersejarah tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, bertempat di Fakulti Kejuruteraan UPM.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada UPM atas inisiatif tenaga lestari ini yang sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang mensasarkan kapasiti tenaga boleh baharu sebanyak 70% menjelang 2050.
Projek tenaga suria yang dinamakan SURIA16 melibatkan pemasangan sistem Rooftop Solar PV berkapasiti besar iaitu 16.18 MWp yang direalisasikan melalui kerjasama strategik dengan GSPARX Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB), menerusi perjanjian tanpa modal (Zero CAPEX).
Projek ini dijangka menjimatkan bil elektrik sehingga RM114 juta dalam tempoh 25 tahun, selain mampu mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 14,655 tan metrik setahun.
Pada majlis yang sama, YB Datuk Ts. Mustapha turut merasmikan dua (2) inisiatif strategik baharu UPM bagi memperkukuhkan ekosistem pembelajaran yang inovatif dan lestari iaitu j.Map, sebuah sistem navigasi digital interaktif yang memudahkan pergerakan di sekitar kampus, serta j.Lounge, sebuah ruang pembelajaran fleksibel hasil kolaborasi UPM bersama Kopi Mesin.
Projek ini membuktikan komitmen UPM sebagai peneraju transformasi pendidikan tinggi dalam menangani isu tenaga dan kelestarian. Melalui pendekatan holistik ini, UPM tidak hanya menyumbang kepada pengurangan karbon, malah memperkukuhkan peranannya sebagai pusat penyelidikan berinovasi tinggi di peringkat antarabangsa.
Hadir sama dalam majlis ini ialah Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, serta rakan strategik daripada TNB, GSPARX, dan Kopi Mesin.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 336